terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, April 6, 2011

Kastam mesti buat 'pembersihan' kembalikan keyakinan rakyat..


STATISTIK dibentangkan Pengarah Bahagian Siasatan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mustafar Ali cukup menggerunkan, memalukan serta mengecewakan rakyat Malaysia. Operasi 3b membongkar kes salah laku, penyelewengan dan rasuah pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) di seluruh negara membawa kepada penangkapan 62 pegawai pelbagai peringkat. SPRM menganggarkan kerugian RM108 bilion itu adalah daripada kes yang dilaporkan kepada semua agensi penguatkuasaan dalam negara, bukannya hasil pendapatan negara.

Ternyata pendedahan ini membawa malapetaka besar serta menjejaskan imej kastam. Masyarakat seolah-olah tidak boleh percaya dengan pendedahan ini kerana selama ini kita yakin sebagai penguat kuasa yang penting, semua anggota kastam mengutamakan disiplin dan integriti tinggi dalam menjalankan tanggungjawab mereka dengan amanah dan dedikasi.
Memang tidak adil untuk kita menghukum seluruh jabatan dan anggota kastam disebabkan tingkah laku segelintir anggota, namun kita tidak boleh lari daripada kenyataan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Bagi penulis dua perkara sangat serius dan menarik perhatian ialah kerugian pendapatan negara serta bilangan anggota yang ditangkap.

Bilangan 62 orang yang ditangkap daripada staf yang baru bekerja hingga ke pegawai kanan perlu dipandang serius. Ia bukan jumlah kecil dan kita percaya melalui operasi ini SPRM bakal menangkap lebih ramai anggota yang bersekongkol dengan mereka.

Justeru, kastam perlu bertindak segera untuk membersihkan nama dan imej jabatan. KDRM juga perlu berusaha meraih kembali keyakinan rakyat yang terus merudum selepas pendedahan ini. Seperkara lagi, kita percaya moral dan semangat anggota kastam lain turut terjejas yang juga perlu dipulihkan segera agar mereka dapat terus menjalankan tugas.

Untuk itu, seluruh anggota dan pegawai kastam perlu melalui proses pembersihan dan penyucian secara menyeluruh pada semua peringkat demi memupuk semula nilai integriti, amanah, tanggung-jawab serta keikhlasan dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.
Perkara kedua, kerugian akibat penyelewengan ialah RM108 bilion tidak boleh dilupakan begitu saja. Dengan jumlah ini kerajaan mampu melaksanakan pelbagai program pembangunan dan kebajikan untuk rakyat. Sayangnya RM108 bilion hilang begitu saja angkara sifat tamak dan mementingkan diri pegawai yang membelakangkan amanah rakyat dan negara.

Mereka lupa negara dan rakyat meletakkan harapan yang besar kepada mereka untuk menjaga pintu masuk negara seterusnya membantu menambah pendapatan melalui kutipan cukai. Apa yang mengecewakan ialah ketika kerajaan komited memartabatkan sektor awam sebagai nadi pentadbiran dan harapan rakyat, pendedahan ini mencemarkan nama baik kerajaan serta sektor awam, sekali gus membuka peluang pihak tidak bertanggungjawab memburukkan nama baik kerajaan di mata masyarakat.

Kita berharap pendedahan ini dijadikan iktibar oleh agensi kerajaan lain terutama penguat kuasa yang turut berpotensi terlibat rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Tahniah kepada SPRM yang melaksanakan tugas dengan berani, telus dan dedikasi. Semoga operasi seperti ini dilipatgandakan demi membanteras rasuah dan penyelewengan di negara kita.

Oleh Noor Mohamad Shakil Hamed


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...