terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, April 27, 2011

Ke mana penjaja "junk food" nak bawa diri !!


IZINKAN saya memberikan pandangan berhubung perkembangan terbaru di sekolah iaitu perihal larangan menjual makanan dan minuman ringan di kawasan sekolah. Tujuan larangan penjualan tersebut kepada murid sekolah adalah bagi mengelakkan obesiti.

Namun, apa yang ingin saya utarakan ialah implikasi kepada peniaga-peniaga kecil yang sekian lama bergantung sumber pendapatan melalui aktiviti menjaja di kawasan luar sekolah. Barangan yang dilarang adalah merupakan makanan ringan dan minuman berkarbonat yang mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Melarang kanak-kanak sekolah daripada membeli bahan jualan boleh dilaksanakan, tetapi melarang peniaga menjaja agak keterlaluan. Pastinya, ia memberi kesan kepada kaum Melayu yang sedang belajar berniaga kecil-kecilan. Sudah hebatkah kaum Melayu kita dalam perniagaan masa kini? Bayangkan sekiranya seluruh negara mempunyai penjaja kecil mencari makan di kawasan luar sekolah. Bukankah banyak jumlahnya?

Bagaimana pula dengan premis perniagaan di bawah pihak berkuasa tempatan yang kebetulan terletak di lokasi hadapan sekolah? Sejauh mana keberkesanan penguatkuasaan dapat dijalankan? Berapa banyakkah penjaja kecil yang berkecil hati dan terluka perasaan apabila petugas atau guru melakukan penguatkuasaan di premis berkaitan sewaktu diserbu kanak-kanak sekolah?

Saya adalah peniaga di salah sebuah pusat pelancongan di Kedah. Pengalaman saya beberapa kali berhadapan dengan 'keegoan' guru-guru petugas yang tanpa mempedulikan perasaan peniaga kecil memarahi murid-murid di bawah jagaannya kerana membeli barangan di premis saya.

Premis saya punyai lesen perniagaan yang sah. Namun, amalan ketegasan membuta tuli melalui penggunaan alat pembesar suara di tempat umum melarang kanak-kanak membeli dengan alasan menghindarkan keracunan, amat menghiris hati saya dan peniaga lain. Sedangkan terpampang pelabelan Jabatan Kesihatan yang secara berkala mengesahkan premis saya telah diperiksa dan selamat untuk dikunjungi.

Aktiviti rombongan dan riadah sekolah rendah ke lokasi perkelahan dan program motivasi jati diri merupakan 'kuasa membeli' kepada penjaja kecil. Justeru, ketegasan mengongkong peserta rombongan amat merugikan peniaga kecil.

Siapa lagi yang harus membantu penjaja kecil jika peluang untuk membantu dinyahkan melalui penguatkuasaan keterlaluan oleh ketua rombongan atau guru bertugas? Di sini dan ketika inilah kebijaksanaan amat diperlukan dalam mencegah kemudaratan peserta rombongan, dan pada masa sama membantu peniaga kecil dengan sumber yang ada.

Saya tidak memprotes langkah 'pengharaman' membeli. Saya cuma mengharapkan kaedah menguatkuasa dan melaksanakan langkah pencegahan biarlah berhemah. Tidak perlulah menggunakan pendekatan keterlaluan atas nama menjaga amanah ibu bapa. Berpesan-pesan secara diam dan berkesan. Tidak perlulah mengenakan hukuman ketuk ketampi kepada murid di hadapan pemilik premis kerana ia cukup menyayat hati penjaja kecil.

Saya juga tertanya-tanya bagaimana pula dengan kanak-kanak yang berdekad-dekad lamanya mengunjungi kedai-kedai runcit yang menjual barangan yang dilarang dijual di kawasan sekolah? Bagaimana pula dengan pusat-pusat membeli belah yang penuh kepelbagaian makanan segera?

Langkah menegah penjualan makanan dan minuman ringan di kawasan sekolah memang boleh dianggap proaktif. Tetapi fikirkanlah sama implikasinya kepada orang lain.

ZUL
Yan, Kedah.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...