terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, April 5, 2011

Kenali dan fahami si dia...


ASAS kepada perkahwinan yang bahagia ialah nilai persahabatan yang mendalam sehingga lahir keintiman, rasa hormat dan gembira apabila bersama dengan pasangan.

Keadaan inilah yang sering menjadi rungutan pasangan suami isteri yang beranggapan pasangan masing-masing tidak prihatin.

Perhubungan yang intim bukan persahabatan biasa. Sebaliknya, ia satu perhubungan di mana kedua-dua pasangan boleh meluahkan apa sahaja yang terbuku di hati tanpa berasa takut atau malu ditempelak atau disindir.

Pasangan boleh benar-benar menerima dan mendengar keluhan dengan penuh empati. Dia dapat merasai perasaan yang ditanggung oleh pasangannya sama ada perasaan gembira atau duka.

Dalam erti kata lain, pada tahap ini, perhubungan telah berlaku antara dua jiwa. Ia sudah dapat bergabung menjadi satu.

Kita dan pasangan bukan lagi rakan biasa tetapi sudah menjadi rakan sehati sejiwa dengan tahap komunikasi berada di peringkat paling atas.

Menurut pendakwah bebas Datuk Siti Nor Bahiyah Mahmood, perkahwinan adalah satu sumber untuk mencapai kebahagiaan abadi dalam hidup di dunia dan di akhirat.

Melalui perkahwinan seseorang itu akan menikmati sakinah, mawadah dan rahmah. Iaitu ketenangan, cinta mencintai dan belas kasihan yang menjadi intipati kepada perkahwinan bahagia.

Namun begitu, ia tidaklah datang sendiri sebaliknya perlu dipelajari dan dipupuk bagi mencapai kebahagiaan hakiki.

Memang banyak pasangan yang mengharapkan kebahagiaan dalam perkahwinan akan datang sendiri sebaik lafaz nikah diucapkan.

"Sebenarnya, berkasih sayang di alam percintaan tidak sama dengan kehidupan sebenar di alam perkahwinan.

"Mengharapkan kebahagiaan sendiri adalah sesuatu yang mustahil. Dengan itu, suami isteri perlu berusaha untuk menjadikan diri masing-masing sebagai kawan akrab kepada pasangan sehingga berjaya menjadi teman sehati sejiwa,'' katanya yang dipetik dalam buku yang bertajuk Suami Hebat Rahsia Keintiman Sejati.

Memang ramai pasangan suami isteri, meskipun yang sudah lama mendirikan rumah tangga masih tidak mengenali pasangan mereka dengan mendalam.

Ini termasuk tidak faham akan kehendak fizikal, emosi mahupun seksual pasangan sendiri. Malah, mereka hanya mengenali sekadar luaran semata-mata.

Buta terhadap kehendak itu menyebabkan pasangan tidak dapat memenuhi segala kehendak tersebut.

Keadaan itu, sekiranya dibiarkan berlarutan akan mencetuskan rasa tidak puas hati. Akhirnya akan mencetuskan pergeseran dalam perhubungan.

Memang banyak berlaku keadaan di mana pasangan yang telah berbelas-belas tahun mendirikan rumah tangga, akhirnya terpaksa berpisah atau membawa haluan masing-masing.

Apa yang lebih menyedihkan lagi kemanisan perkahwinan bertukar menjadi pahit apabila mereka terpaksa naik turun mahkamah menghadapi kemelut perceraian.

Oleh itu, mengenali pasangan dengan mendalam adalah satu kemestian jika ingin sentiasa berada dekat di hatinya. Memahami kehendak dan keinginan pasangan adalah lebih penting daripada kehendak sendiri.

Untuk membolehkan berbuat demikian, anda perlulah dapat membaca fikirannya bagi mengetahui apa sebenarnya yang dikehendaki pasangan.

Anda perlu tahu apa yang menyebabkan seseorang itu terangsang kemudian barulah anda faham kenapa dia berkata atau bertindak sebegitu.

Apabila anda mengetahui dan faham akan rahsia yang dapat mencuit hati mereka, sudah pasti anda akan sentiasa berada di hati si dia.

Oleh ZUHAYATI YAZID

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...