terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, April 6, 2011

Mana surat panggilan Guru Sandaran Tidak Terlatih?


SAYA merupakan salah seorang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang telah berkhidmat lebih dua tahun. Saya ditamatkan kontrak perkhidmatan 31 Disember 2010.

Sepanjang tempoh perkhidmatan saya, segala tugas dan amanah yang diberikan kepada saya dilaksanakan dengan sebaik mungkin tanpa mengira waktu dan tempat. Ini termasuklah pada hari cuti umum sekiranya pelajar sekolah terlibat dengan aktiviti luar seperti perkhemahan atau aktiviti sukan.

Di sekolah, kami juga tidak terkecuali bertugas seperti Guru Sandaran Terlatih (GST) yang lain seperti menjadi guru kelas, guru kadet dan sebagainya.

Tujuan saya memperincikan tugas ini bukan untuk mendabik dada atau mengungkit apa yang telah kami lakukan. Tetapi ia adalah sebagai renungan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) supaya tidak mengabaikan nasib guru seperti saya. Apa yang membezakan GSTT dan GST adalah daripada segi ikhtisas sahaja kerana dari segi pengalaman dan mutu kerja ada antara kami yang lebih menyerlah berbanding GST.

Kenyataan dan pengumuman Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 3 Mac 2011 bahawa surat penamatan perkhidmatan yang diberikan kepada guru GSTT ditarik balik selain ingin menyerap golongan guru tersebut sebagai guru tetap melalui Kursus Dalam Cuti (KDC) amat menggembirakan 13,000 orang guru GSTT di seluruh negara. Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Itulah perasaan kami.

Tetapi yang menghairankan sehingga kini berita tersebut yang diumumkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri 'tidak sampai' kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

Buktinya, sehingga kini kami guru GSTT masih belum menerima sebarang surat panggilan bertugas. Saya berasa amat sedih dan rasa seperti kami dipermainkan sedangkan kami percaya dengan prinsip kerajaan untuk mengotakan setiap apa yang dijanjikan kepada rakyat.

Oleh itu saya berharap agar Timbalan Perdana Menteri meninjau sekali lagi sama ada arahan tersebut telah dilaksanakan oleh kakitangan KPM atau sebaliknya.

Kami guru GSTT sedia berkhidmat di mana sahaja asalkan kami berpeluang menjadi guru tetap. Kami tidak meminta lebih daripada itu. Yang kami pinta hanyalah renungan kasih pihak kerajaan tentang nasib kami guru GSTT di seluruh negara.

CIKGU GSTT

Taiping, Perak

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...