terima kasih buat kalian semua..

Thursday, April 28, 2011

Nasi lemak elakkan murid lapar waktu belajar...


SAYA sebagai bekas pelajar sekolah ingin menyentuh sedikit mengenai isu cadangan larangan penjualan makanan ringan dan nasi lemak di sekolah. Jika dilihat daripada segi tujuan, memang amat baik cadangan tersebut. Tetapi adakah kerajaan terfikir tentang kesannya terhadap pelajar?

Semasa saya bersekolah dahulu, dari darjah satu sehinggalah ke tingkatan lima, masalah kami sebagai pelajar adalah kekurangan makanan di kantin. Pihak pengurusan kantin tidak menyediakan makanan yang secukupnya bagi menampung keperluan pelajar-pelajar.

Namun kami sebagai pelajar tidak menyalahkan pihak pengurusan kantin. Kami faham faktor masa adalah punca pihak kantin tidak dapat menyediakan makanan yang lebih banyak.

Oleh itu, bagi mengelakkan pelajar kelaparan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran, maka koperasi sekolah menjadi sasaran kami bagi mendapatkan makanan ringan untuk mengalas perut.

Jadi, pada pandangan saya adalah tidak patut jika cadangan larangan penjualan nasi lemak dan makanan ringan dilaksanakan. Sanggupkah kerajaan membiarkan pelajar- pelajar meneruskan sesi pembelajaran dengan perut kosong?

Jika ada sesetengah pihak mengatakan nasi lemak menjadi punca obesiti dalam kalangan pelajar sekolah, saya sama sekali tidak bersetuju. Adakah jaminan makanan yang diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka tidak menyebabkan anak-anak mereka menjadi obes?

Daripada pemerhatian saya, ibu bapa kini lebih gemar memasak makanan segera atau sekadar makan di luar lantaran kesibukan dan komitmen yang tinggi terhadap kerjaya mereka.

Jika tidak dibenarkan penjualan nasi lemak, lantas apa hidangan lain yang disediakan? Adakah nasi ayam, mi bandung, nasi goreng Pattaya atau hidangan-hidangan lain yang pastinya lebih mahal harganya berbanding nasi lemak?

Inikah tujuannya, menyebabkan pelajar perlu meminta duit belanja yang lebih daripada ibu bapa lantas meningkatkan lagi kos perbelanjaan sesebuah keluarga?

Sedarkah juga cadangan ini boleh menjejaskan peniaga Melayu yang pasti akan terasa kesan larangan ini kerana sebahagian besar mereka yang terlibat dalam perniagaan nasi lemak dan makanan ringan ini adalah orang Melayu?

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...