terima kasih buat kalian semua..

Saturday, April 16, 2011

Padah apabila mudah lafaz talak, taklik !!!


JADI tak keruan Z. Siang malam, wajah bekas isteri terbayang-bayang. Tak senang duduk dibuatnya hingga sanggup 'menebeng’ di tembok rumah, kalau-kalau bekas isteri 'melintas' di depan rumah.

Menyesal tak sudah dia. Hanya kerana cemburu buta, isteri yang dikahwini lebih sedekad tidak lagi bersamanya.
“Inilah lelaki. Mentang-mentang kuasa talak di tangan kita, kita selalu salah guna. Saya terlalu sayangkan isteri dan hanya kerana cemburu buta, dia bukan lagi isteri saya,” ceritanya kesal.
Lebih malang buat Z, dia tiada harapan untuk merujuk kerana rupanya, sudah tiga kali talak dijatuhkan pada isteri, semuanya secara taklik.

Akui Z, dia memang banyak kelemahan sepanjang melayari hidup sebagai suami tetapi sebagai lelaki, egonya terlalu tinggi walaupun berasa rendah diri kerana pendapatan isteri yang jauh lebih tinggi daripadanya.

Kerana keadaan itu juga, Z berkata, dia sering lepas tangan memberi perbelanjaan buat keluarga, menyerahkan segala-galanya kepada isteri.

“Isteri mengadu juga sekali-sekala, meminta saya bertanggungjawab sebagai suami. Dia tak menuntut yang bukan-bukan, malah segala perbelanjaan anak-anak, dia dengan rela memberi kerana kebajikan dan pendidikan anak-anak adalah segala-galanya pada isteri saya.
“Dia tak meminta banyak juga, pada isteri saya, memadai saya bagi nafkah, setakat yang mampu untuk rumah tangga. Tetapi, bukan permintaan dia saya penuhi, sebaliknya, banyak perkara yang dia hendak buat, saya sekat,” katanya.

Tambah Z, dia tidak pernah membelikan pakaian buat isteri dan anak-anak tetapi marah apabila isteri berbelanja untuk diri sendiri dan anak. Dia juga tidak mahu menghantar dan menjemput isteri ke tempat kerja, tetapi tidak membenarkan isteri memiliki kereta sedangkan isteri sangat mampu berbuat demikian.

“Saya suruh dia guna perkhidmatan awam, tak kiralah naik bas ke, naik teksi dan syarat saya, tak boleh tumpang kereta lelaki. Padahal, kerja dia, banyak berurusan dengan rakan sepejabat yang rata-rata lelaki. Saya buat syarat taklik, kalau dia baik dengan mana-mana lelaki, antara saya dan dia tak ada apa-apa hubungan,” katanya.

Z tahu dia kejam, hinggakan ketika isteri sarat mengandung juga, dibiarkan bersesak dalam bas atau berjalan jauh untuk mendapatkan teksi.

Semuanya gara-gara cemburu buta, kata Z. Dia sentiasa beranggapan isterinya mempunyai hubungan sulit dan apabila berasa tertekan, selalunya disebabkan beban kerja, dia akan melafazkan taklik berulang kali.

“Rupa-rupanya isteri saya memendam rasa. Senyap-senyap dia mendapatkan nasihat dan pandangan jabatan agama. Tiba-tiba saja surat permohonan cerai tiba ke rumah. Apabila saya tanya kenapa dia buat begitu, dia kata sudah tiga kali saya lafazkan cerai taklik dan dia bimbang dari segi hukum-hakam,” katanya.

Perbicaraan pagi itu menyesakkan dada. Pertanyaan hakim mengenai taklik yang dilafazkan membuatkan Z risau, tambah pula apabila dia dimarahi hakim kerana begitu mudah mengeluarkan kata-kata sedemikian.

Kata Z, dia menjelaskan kepada hakim, lafaz taklik itu dibuat sekadar untuk `menakutkan’, memberi amaran kepada isteri dan dia menarik balik lafaz itu.
“Hakim berkata kepada saya, `awak ingat ini kapal, boleh main tarik-tarik?’ Kata-kata hakim itu membuatkan saya tertekan, gusar kerana seolah-olah dia membayangkan, akan jatuh talak.

“Apa yang saya takutkan itu, benar-benar berlaku. Pada hari keputusan, hakim mengesahkan jatuh talak antara saya dan isteri. Taklik yang dilafazkan bukan perkara yang boleh ditarik balik. Saya menyesal dan lebih menyesal apabila hakim memberitahu ia talak tiga sebab saya melafazkannya tiga kali, pada waktu dan keadaan berbeza,” katanya sedih.

Nasihat Z, lelaki, suami jangan terlalu mudah melafazkan talak atau taklik walaupun kuasa itu mutlak di tangan mereka. Jangan bersikap cemburu buta sebaliknya hubungan perlu dijalin dengan rasa percaya satu sama lain.

Paling penting, jangan sesekali mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan memandang mudah pengorbanan serta keluhan isteri.

Z berharap, apa yang berlaku itu menjadikannya seorang lelaki dan suami yang lebih baik. Sungguhpun terkilan, isteri yang dicintai terpaksa dilepaskan pergi, dia gembira melihat bekas isterinya kini bahagia di samping suami baru

3 comments:

  1. Assalamualaikum,
    Lelaki zaman sekarang memang suka mempermainkan isteri. Isteri sering membantu suami dengan niat ikhlas dan jujur kerana ingin mendapat keredaan Allah. Namun Sifat EGO yang ditanam, dibaja oleh para suami menyebabkan lelaki yang bergelar suami ini LUPA DARATAN sehingga pengorbanan isteri sudah tidak dihargai..ISTERI SEPATUTNYA MELEPASKAN TANGGUNGJAWAB INI KEPADA SUAMI BIAR MEREKA LEBIH BERTANGGUNGJAWAB.
    ATY BRUNEI DARUSSALAM

    ReplyDelete
  2. SALAM....
    suami mmg mmpunyai kuasa mutlak tetapi tidak bermakna suami blh bt sesuka hati kpd isteri...knp mest nak maen takliq sedangkan diri sendiri pon tak pasti ape hukum hakamny..bila da lafaz bru nk rujuk pd yg lbh tahu..tp da lambat,bila da lafaz tak blh ditarik balik...kadang2 sampaikan perkara yg remeh temeh pon nak takliq isteri,sdangkan perkara tu keperluan seharian..seperti contoh diatas,isteri ditakliq tidak blh bgaul dgn mane2 lelaki sedangkan isteri tu bekerja,dipjbt mest ada lelaki,misalnya bos..takkan tak blh bgaul dgn bos,patot ke mcmtu? mcmane nk bincang soal kerja law mcmtu...adik beradik pon ada lelaki,mcmane tu? sepupu sedara mara? klu mcmtu simpan isteri dalam almari then kuncikan,tyme mkn,bru bkak bg isteri mkn...kan senang...yan,perak..

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...