terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, April 27, 2011

Penduduk flat tak prihatin kebersihan !!!


MENJALANI kehidupan di tengah kesibukan kota yang pesat membangun ini kadangkala merunsingkan kita. Ini akibat pencemaran bunyi dari kawasan pembinaan dan juga asap kenderaan yang dikeluarkan ke udara membuatkan kita kurang selesa.

Paling merunsingkan adalah keadaan sampah yang bersepah di tepi jalan daripada puntung rokok sehinggalah plastik sampah yang dibuang dan dibiarkan di tempat yang tidak sepatutnya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab

Ini memberikan satu pemandangan menjelikkan dengan buangan lampin bayi yang mengeluarkan bau busuk serta sisa makanan seperti tulang ayam, ikan yang dihurung lalat dan serangga, amat memalukan rakyat di negara ini.
Masalah pembuangan sampah ini adalah masalah agak serius apabila kita berada di kawasan perumahan flat atau rumah kos rendah.

Jika dikatakan tiada kemudahan seperti tempat pembuangan sampah, ia adalah mustahil kerana hampir di setiap sudut flat mempunyai rumah sampah yang agak besar untuk menampung sampah yang dibuang oleh penduduk kawasan terbabit.

Terdapat juga golongan penduduk flat ini membiarkan saja sampah mereka di pekarangan laluan orang ramai seperti tangga dan koridor jalan. Situasi ini amat mengecewakan kerana mereka tiada sikap bertanggungjawab dan tidak malu dan prihatin serta bertoleransi terhadap penghuni lain.

Keadaan ini semakin teruk apabila haiwan seperti kucing atau anjing dan burung menghurung sampah itu dan seterusnya mengakibatkan plastik sampah terburai. Apabila terjadinya situasi begini, tiada siapa sanggup membersihkan isi sampah berkenaan.
Apabila perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab ini ditegur, mereka memberi seribu satu alasan antaranya, tempat pembuangan sampah jauh, atau pun, mereka hanya mahu meletakkan sampah sebentar di koridor itu kerana mahu keluar rumah kemudian.

Ada juga yang memberi alasan, apa guna membayar duit penyelenggaraan setiap bulan, jika tempat dijaga bersih oleh pemilik sendiri.

Terdapat juga keadaan di mana apabila penduduk bising kerana bau busuk dari rumah sampah berikutan kelewatan lori sampah mengutip sampah, sesetengah daripada mereka menyalahkan pihak pengurusan di atas kelewatan itu.

Alasan yang diberi mereka kebanyakannya adalah kurang munasabah dengan hanya menuding jari kepada orang lain. Jika tiada kesedaran untuk menjaga kebersihan dengan menjaga kawasan rumah sendiri, siapa lagi yang akan menjaga kawasan tersebut untuk kita?

RITA SYAMSURI,
Shah Alam

1 comment:

  1. emm... utk golongan manusia di seperti ini, elok di bina kawasan perumahan khas di dalam kawasan pelupusan sampah utk menempatkan mereka ini... sb takde beza pun... mesti mereka2 nie suka kan...

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...