terima kasih buat kalian semua..

Thursday, April 7, 2011

Pengurusan air macam sebelum merdeka!!!


SAYA terpanggil menulis setelah banyak aduan kepada pihak pengurus bekalan air SAINS di Negeri Sembilan tidak mengambil tindakan terhadap masalah yang dihadapi, malah memberikan maklum balas yang mendukacitakan.

Setelah begitu lama Malaysia merdeka, sejak diurus pihak kerajaan hinggalah diambil alih oleh pihak swasta, keadaannya masih lagi tidak menunjukkan peningkatan.

Setelah 20 tahun, saya kembali semula ke kampung mengikut suami yang berpindah kerja ke sini.

Saya tinggal di rumah ibu bapa buat sementara waktu kerana tempat kerja suami berhampiran dengan kampung saya iaitu Terachi, Negeri Sembilan. Setelah mengecap pelbagai kemajuan, teknologi dan kemudahan di bandar, saya terkejut dengan pengurusan air di kampung saya masih juga sama.

Kemudahan jalur lebar, pengangkutan yang semakin banyak, kemudahan infrastruktur yang bertambah baik, Namun bekalan airnya tetap juga dengan cerita lama.

Saya masih ingat, ketika zaman saya bersekolah, bekalan air sering kali terputus setiap kali selepas hujan. Jika lebih kerap hujan, lebih kerap jugalah air akan terhenti.

Jika diikutkan logik akal, apabila hujan, semakin banyaklah air, tetapi berlaku sebaliknya. Kawasan ini amat hampir dengan loji air terletak 5 kilometer dari rumah saya yang berdekatan dengan Hutan Lipur Ulu Bendul.

Sementara bekalan air disambungkan, tekanan angin memakan masa lima belas minit hingga setengah jam, dan setelah airnya ada, warna airnya tak ubah seperti air yang bercampur susu.

Pernah sekali, rumah saya keputusan bekalan air selama lebih 24 jam seperti yang biasa dihadapi, maka suami menelefon pihak SAINS menanyakan hal ini.

Alasannya ialah penapis air bocor. Selebihnya dia menjawab tidak tahu dan akan menghantar lori air jika masalah ini berlarutan.

Tak sampai sebulan, pada 4 April, perkara yang sama berlaku lagi, kali ini lebih dari dua hari. Bila membuat aduan, katanya akan sampai pukul 6 petang, tak juga sampai, dihubungi lagi berubah pula ke pukul 8. Namun hingga pukul 6 pagi keesokannya masih juga tidak ada.

Pihak SAINS juga tidak memberitahu bila lori air akan menghantar air meskipun telah tiga kali membuat aduan.

SAINS harus bermuhasabah kerana tarif yang dibayar penduduk tidak pernah turun, tapi mutunya tidak pula meningkat.

PRINSIP KAIZEN

Terachi, Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...