terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, April 27, 2011

Rasulullah perangi bapa mentua di Perang Uhud..


DALAM mana-mana peperangan sebelum ini, Abu Dujanah sangat terkenal sebagai panglima perang yang begitu menggerunkan pihak musuh. Apabila beliau mula melilitkan serban merah di kepala semua orang tahu kerana ia menandakan dirinya siap bertempur sampai mati.

Maka ia terkenal dengan jolokan Ashabatul Hamra atau Ashabatul Maut bermakna Si Ikat Kepala Merah atau Ikat Kepala Maut!

Abu Dujanah seorang yang sangat berani. Laksana harimau keluar daripada semak belukar, beliau akan maju menyerang musuh dan membunuh siapa saja dari kaum musyrikin yang berani mendekatinya.

(Nama Abu Dujanah menjadi satu lambang perjuangan sehinggalah ia menjadi satu nama gelaran kepada seorang anggota kepimpinan Jemaah Islamiah (JI) Indonesia, Ainul Bahri, 43 yang dipercayai kini sedang menjalani tempoh penjara 15 tahun. Pada tahun 2008 dia di dapati bersalah terlibat dalam pelbagai kegiatan keganasan)

Dalam sebuah riwayat yang terkenal, selepas mendapat pedang daripada Rasulullah itu, Abu Dujanah pun berjalan dengan megahnya di tengahtengah barisan tentera. Kelihatan seperti seorang yang sombong atau meninggi diri sehingga baginda pun berkata; "Sesungguhnya gaya berjalan seperti itu dimurkai Allah kecuali di dalam suasana perang seperti ini."

Tetapi anda tahu bahawa Abu Dujanah benar-benar seorang pahlawan apabila dalam Perang Uhud itu entah berapa ramai musuh yang tumpas dan maut dek penangan libasan pedangnya.

Di pihak musyrikin Mekah yang diketuai oleh Abu Suffian bin Harb yang tidak kurang hebat mengatur strategi peperangan walaupun dengan jumlah 3,000 anggota tentera beliau sudah menempah kemenangan dengan mudah.

Namun tahukah anda bahawa pada masa ini Abu Suffian sebenarnya bukan orang lain kepada Rasulullah, bahkan merupakan bapa mertua atau dengan lain perkataan bahawa baginda merupakan menantu kepada Abu Suffian.

Ini apabila baginda mengahwini anak perempuan Abu Suffian, Ramlah atau lebih dikenali sebagai Ummu Habibah.

Namun demi menegakkan kebenaran dan kesucian Islam, baginda terpaksa juga bertempur dengan Abu Suffian.

Bukit Uhud kemudiannya menyaksikan kedua-dua belah pihak memulakan peperangan dengan perlawanan satu lawan satu pun bermula. Ini apabila pihak tentera-tentera musyrik mula mencabar pihak tentera Islam.

Ini dimulai oleh Thalhah bin Abi Thalhah al Abdari, salah seorang anggota pasukan berkuda Quraisy yang paling berani maju ke hadapan dan mencabar untuk berlawan dengan mana-mana pahlawan Islam.

Thalhah sememangnya pahlawan Quraisy yang digeruni kerana itu beliau sering digelar "Kambing Jantan Tentera Quraisy." Tetapi beliau langsung tidak diberi peluang untuk beraksi dan mempamerkan kehebatan apabila sahabat baginda, Az Zubair dengan tangkas melompat ke arah Thalhah dan menarik pahlawan Quraisy itu terus menyembam ke bumi dan dipancung lehernya oleh pahlawan Islam itu.

Menyaksikan kemenangan pertama itu, baginda pun bersama-sama tentera Islam yang lain terus bertakbir bagi menyemarakkan lagi semangat di saat terlalu lebar jurang antara jumlah tentera Islam dan tentera Quraisy itu; Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Kata Rasulullah dengan penuh semangat; "Setiap Nabi memiliki pengikut-pengikut yang setia (hawari) dan pengikut setiaku adalah Az Zubair!"

Pertempuran satu lawan satu ini berlarutan sehingga seramai 12 pahlawan Quraisy mati kesemuanya di tangan pahlawan-pahlawan Islam yang gagah perkasa terutamanya Ali bin Abi Talib, Hamzah bin Abdul Mutalib, Zubair bin Awwam, Saad bin Abi Waqas dan lain-lain lagi.

Sebagai ketua perang di pihak Quraisy, Abu Suffian sangat marah dan kecewa apabila satu demi satu pahlawannya tumbang dan beliau sendiri akhirnya melaungkan suara dengan kuat mengisytiharkan perang untuk menyerang tentera Islam.

Kesemua anggota tenteranya serta merta bangkit dengan begitu bersemangat dan terus menyerbu tentera Islam.

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...