terima kasih buat kalian semua..

Friday, April 8, 2011

Rumah urut ...sampai bila???




SEKIAN lama tak ke kawasan beli-belah Bukit Bintang, tak sangka pula ada banyak premis rumah urut di situ. Mengimbau masa lalu, kegiatan rumah urut memang sedia ada di sana.

Tetapi kemeriahannya semakin malap menjelang tahun 1990-an. Tak tahu sebabnya.

Tetapi kini, rumah-rumah urut bagai dapat nafas baru. Ramai wanita mirip warga China duduk bersantai di depan tangga rumah urut. Mereka tanpa segan silu mempelawa “mahu massage” kepada kaum lelaki yang lalu-lalang di depan mereka. Siap mereka tunjukkan ‘menu’ dan harga ‘hidangan’ khidmat yang disediakan.

Mereka yang sudah lama tak ke sana, memang terkejut. Tapi bagi penguat kuasa termasuk Pihak Berkuasa Tempatan mungkin sudah tahu lokasi dan operasi rumah urut di Bukit Bintang dan kawasan di bawah ‘jajahannya.’

Kegiatan tak bermoral ini sepatutnya dipantau atau dihapuskan sahaja. Gerak geri tukang urut di tempat pejalan kaki di Bukit Bintang bukan sahaja menyusahkan orang awam, tetapi juga mencacatkan pemandangan pusat beli-belah terkemuka negara ini.

Sekali pandang saja, ia memberi gambaran negatif kepada pelancong asing terutama bangsa Arab yang ramai di sana. Apa kata mereka terhadap Malaysia apabila kawasan yang paling digemari itu kini ‘ditawan’ tukang urut.

Sampai bila keadaan ini akan terus dibiarkan? Ini adalah soal imej negara. Bukit Bintang harus diserlahkan sebagai pusat beli-belah bertaraf antarabangsa bukan pusat rumah urut dan pelacuran.

Kalau sesuatu tindakan berani dan tegas tidak dilakukan, imej buruk Bukit Bintang boleh menyebabkan ramai warga Arab akan lari dari sana. Yang akan rugi bukan sahaja peniaga tetapi imej kawasan itu yang silap-silap boleh dilabel seperti Patpong di Bangkok. Jadi tugas murni membasmi maksiat ini ada pada agensi penguatkuasaan kita. Jangan ambil sikap ‘pejam mata’ terhadap kegiatan rumah urut itu.

Jangan kita beri alasan tidak ada peruntukan undang-undang untuk diambil tindakan. Saya yakin kita mempunyai hukuman tegas bagi menangani masalah ini.

Paling utama bertindaklah ke atas tukang-tukang urut warga asing yang sudah terang dan jelas mempersendakan pas lawatan mereka. Sekat mereka dari awal. Caranya jangan keluarkan lagi visa waktu ketibaan (VOA) kepada pelancong dari negara-negara tertentu yang kita tahu banyak menyalahgunakannya.

Kalau tak banyak wanita asing itu datang ke negara kita, mungkin tak banyak juga rumah urut beroperasi. Mungkin ada yang gulung tikar dan ditutup.

Berkuranglah dakwaan pegawai agensi penguat kuasa disogok secara bulanan untuk ‘melindungi’ rumah urut. Malah tak ada tuduhan PBT asyik sibuk saman parkir dan merobohkan gerai tidak berlesen tetapi membiarkan kegiatan haram itu yang diberi lesen terus berleluasa.

Itu saja cara paling berkesan. Kalau tak, jadilah seperti sekarang. Sampai bila ia akan berakhir.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...