terima kasih buat kalian semua..

Sunday, April 10, 2011

Sayang anak, cikgu jadi mangsa !!


TERDETIK di hati saya untuk menyuarakan pendapat mengenai keganasan pelajar sekolah di negara kita pada masa sekarang. Terlalu banyak yang berlaku hingga ada kala membimbangkan kerana isteri saya juga seorang guru.

Tindakan pelajar menumbuk sehingga mencederakan guru, menyerang rakan sekolah lain seperti samseng, bergaduh di dalam kelas dan banyak lagi perkara yang kita tidak sanggup dengar kini semakin menjadi-jadi.
Pada zaman saya bersekolah dulu, tidak pernah kedengaran masalah disiplin melampau seperti ini.
Kita juga nakal, tetapi masih menghormati dan takut kepada guru. Kita ditampar, didenda dan pelbagai hukuman diterima tanpa ada bantahan atau perasaan dendam terhadap guru. Jika mengadu kepada ibu bapa, mereka pula yang meminta supaya hukuman itu ditambah.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) dan guru disiplin adalah individu paling ditakuti. Terdengar saja bunyi tapak kaki terus bertempiaran masuk ke dalam kelas. Guru pada zaman lalu diberikan kebenaran untuk menjalankan hukuman tanpa mencederakan murid, bergantung pada budi bicara guru itu sendiri, tidak tertakluk kepada guru disiplin, Penolong Kanan HEM, pengetua atau pun guru besar.

Tetapi kini, hendak dijentik sekalipun tidak dibenarkan. Bagaimana pula jika guru berkenaan diserang? Adakah mereka berhak untuk mempertahankan diri? Ibu bapa pada masa kini lebih banyak membela anak mereka dengan membuta tuli, termasuk suka mengugut guru dengan tindakan undang-undang. Adakah mereka prihatin berkenaan dengan disiplin anak mereka? Akibat terlalu sayangkan anak, guru dijadikan mangsa.

Dalam Program Transformasi Kerajaan yang dilancarkan baru-baru ini, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk pendidikan hanya lebih ditekankan kepada pengurangan tahap buta huruf pelajar. Kenapa tidak diwujudkan sekali NKRA Pendidikan itu mengenai masalah disiplin pelajar?
Saya memohon supaya perkara ini diatasi segera kerana mereka ini generasi kita pada masa hadapan. Jika tidak ditangani sekarang, bayangkan apa lagi masalah yang mungkin timbul 10 atau 20 tahun lagi.

Rasanya tidak sanggup saya menempuh masa berkenaan. Saya berharap apa yang suarakan ini diberikan perhatian secara serius demi keselamatan guru dan masa depan anak kita.

MUHD HABANI HELMI,
Kuala Lumpur

1 comment:

  1. Saya pun pernah kena sebab nak leraikan murid bergaduh, terseliuh tangan je ler...kurangnya guru lelaki kat SMK, tapi kat SMKA macam terlebih pulak, lagi sakit kepala...banyak cakap, kurang kerja...cikgu perempuan ni memang banyak cakap, tapi kerja pun banyak jugak yang berjalan..kesiannya budak-budak zaman sekarang niiii...generasi lepas ni macam mana lah pulak?

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...