terima kasih buat kalian semua..

Friday, April 22, 2011

Sebuah kisah benar mak nyah berumur 52 tahun !! Dari normal jadi mak nyah...


JIKA setakat wajah, susuk tubuh dan penampilan pada hari wawancara ini dibuat, insan ini mungkin tidaklah seperti yang dikatakannya.

Kalau ada pun mungkin sedikit getar serta lenggok suaranya senada pengakuan yang dibuat.

Tanpa segan, tanpa silu, Roslan Hamzah, 52, atau lebih senang dikenali sebagai Atuk membuat pengakuan dia adalah seorang mak nyah.

"Sekarang pun masih mak nyah walaupun fizikal Atuk sudah berubah," katanya kepada penulis dalam satu wawancara yang tidak dirancang. Penulis ketika itu membuat liputan satu persidangan mengenai epidemik HIV dan Atuk adalah seorang daripada peserta persidangan tersebut.

Berasal dari Kajang, Selangor Atuk berkata, dia dilahirkan normal sebagai seorang lelaki, yang aktif bersukan hingga pernah mewakili sekolah di peringkat negeri Melaka dalam acara lari pecut.

Cuma apabila prestasinya merosot kata-kata yang tidak enak mula singgah di cuping telinganya.

"Roslan mengapa awak berlari macam pondan! Roslan awak dah berlari macam pondan!" Menurut Atuk kata-kata yang merentap perasaannya itu dihamburkan oleh gurunya ketika dia di bangku sekolah rendah di Melaka.

"Siapa yang melihat realiti diri Atuk? Guru Atuk sendiri," katanya dan menambah bahawa ketika itu dia tinggal bersama ayah dan emak tiri.

Atuk berkata hidupnya mula tertekan apabila menjadi bahan ejekan pelajar dan menjadi mangsa serangan seksual ketika dalam tingkatan satu.

"Penyerang" Atuk boleh diibaratkan menepati pepatah Melayu harapkan pagar, pagar makan padi kerana dia bekerja dengan ayah Atuk seorang pegawai tentera.

Lelaki itu ditugaskan untuk mengambil anak tentera pulang dari sekolah.

"Atuk ada latihan sukan hari itu dan bila selesai, budak yang lain semua dah balik. Pemandu trak itu mengugut akan meninggalkan Atuk dalam ladang getah jika Atuk tak ikut kehendaknya.

"Dia adalah lelaki pertama yang merosakkan Atuk dan memperkenalkan Atuk dengan seks," ceritanya lagi.

Atuk tidak berdiam diri, sebaliknya menceritakan kisah hitam itu kepada ayah hingga membawa kepada bertukar sekolah dan tinggal di Petaling Jaya bersama emak.

Cuma Atuk tidak dapat bertahan lama di sekolah baru kerana diejek berikutan penampilan lembut hingga tiada kawan lelaki sebaliknya budak perempuan.

"Atuk menjadi semakin tertekan. Macam mana nak belajar kalau setiap hari diejek.

"Lagi pun Atuk terpaksa berpindah dan dipisahkan dari ayah dan emak tiri Atuk. Setiap kali bertengkar dengan emak Atuk akan minta dipulangkan kepada emak tiri.

Mangsa keadaan?

Dalam usia yang boleh dikatakan masih mentah ternyata Atuk melalui pelbagai tekanan. Bukan sahaja dibelenggu isu dengan keluarga dan isu diejek di sekolah, nalurinya terhadap lelaki turut melonjak terutama selepas menjadi mangsa serangan seksual.

Jalan penyelesaiannya? Lari dari rumah. Itulah yang Atuk lakukan. Bergelandangan di sekitar kawasan yang menjadi tempat tumpuan remaja.

Atuk juga mengaku melakukan aksi seksual dengan kawan-kawan yang bergelandangan.

"Kadang kala secara suka sama suka dan ada juga yang dipaksa," demikian pengakuan Atuk kepada Bernama.

Menurut Atuk, emak kandung ada mencarinya tetapi pertemuan mereka sering berakhir dengan pertengkaran.

Atuk juga berkenalan dengan seorang perempuan Melayu yang bekerja di bar di kawasan dia melepak.

"Umur Atuk masa itu sekitar 15 tahun. Atuk kenal satu perempuan di Petaling Jaya. Dia tengok Atuk lembut dan bawa Atuk balik ke rumahnya.

"Perempuan itu bagi Atuk duit, ajar Atuk ambil hormon dan Atuk mula simpan rambut panjang. Dia juga ajak atuk kerja di bar di mana dia bekerja. Atuk berpakaian seperti seorang wanita.

"Masa itu ayah sudah meninggal dunia dan hubungan Atuk dengan emak kandung terputus langsung. Memang emak ada cari tetapi Atuk pilih jalan hidup sendiri.

"Prinsip Atuk di mana ada kebahagiaan di situ Atuk cari. Usia Atuk masa tu masih muda, bila dapat kerja di pub itu satu kebahagiaa. Atuk juga mula mengenali Lorong Haji Taib," Atuk menyambung kisahnya.

Semakin tersasar

Melalui seorang mak nyah yang kerap berkunjung ke bar, Atuk mula berjinak-jinak menyusuri kelam Lorong Haji Taib, lorong yang tersohor dengan kegiatan memperdagangkan tubuh.

"Pergi sekali Atuk rasa seronok. Mengapa? Atuk dijaga dengan baik. Masa itu Atuk tak terfikir langsung dipergunakan dan mak nyah itu ialah ibu ayam," demikian pengakuan Atuk.

Bukan sahaja memperdagangkan diri, Atuk juga terjebak dengan penggunaan dadah.

Bisnes memperdagangkan tubuhnya bukan sahaja di sekitar Kuala Lumpur tetapi kemudian menjalar merentas Tambak Johor ke pulau republik Singapura.

"Ramai pelanggan, nak sikat rambut pun tak sempat. Terlampau banyak sangat duit, sampai komot simpan bawah kain. Balik ke Kuala Lumpur gosok dengan seterika.

"Satu malam boleh dapat antara 30 hingga 40 pelanggan terutamanya hujung minggu. Satu pelanggan boleh dapat 50 dolar," kata Atuk dengan berkata dia terjebak dalam lembah pelacuran selama hampir 20 tahun.— BERNAMA

1 comment:

  1. harap itu semua dijadikan tauladan kepada kita semua.Semoga atuk dapat kembali kejalan yg benar.Atuk memang seorang yg tabah

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...