terima kasih buat kalian semua..

Friday, April 8, 2011

Sistem solar ganti nuklear


MALAYSIA mempunyai perancangan untuk membina dua stesen janakuasa nuklear yang bakal dilaksanakan pada tahun 2021 dan 2022 berikutan kos penyelenggaraan rendah dan tarif yang lebih rendah dalam jangka panjang.

Perancangan itu telah mendapat tentangan daripada segelintir pihak. Ada yang menentang kerana merasakan keburukan penubuhan pusat janakuasa nuklear adalah jauh lebih besar berbanding kebaikannya, dan ada juga yang menyokong atas sebab kebaikan pusat janakuasa nuklear yang boleh menghasilkan lebih banyak tenaga elektrik berbanding pusat janakuasa elektrik yang sedia ada.

Seperti yang kita tahu, pembinaan pusat janakuasa nuklear mempunyai keburukan dan kebaikannya tersendiri.

Antara kebaikannya ialah jumlah tenaga yang boleh dihasilkan oleh dua empangan yang digunakan untuk menjana tenaga elektrik ketika ini tidak dapat menandingi keupayaan satu pusat janakuasa nuklear.

Sebagai contoh, gabungan dua buah empangan di Malaysia iaitu Empangan Chenderoh dan Empangan Temenggor masih lagi tidak dapat menandingi keupayaan sebuah pusat janakuasa nuklear di Ikata, Jepun. Sebuah pusat janakuasa nuklear itu boleh menghasilkan minimum kapasiti elektrik sebanyak 566 (megawatt) MW dan maksimum sebanyak 890 MW sedangkan gabungan dua empangan hanya mampu menghasilkan sebanyak 784 MW tenaga elektrik.

Negara lain seperti Rusia, Thailand, Iran, Korea dan lain-lain lagi berlumba-lumba untuk membina pusat janakuasa nuklear.

Malaysia juga tidak ingin ketinggalan mengikuti trend ini, tetapi negara-negara luar tersebut mempunyai kawasan atau tapak yang sesuai untuk didirikan pusat janakuasa nuklear, sedangkan Malaysia masih lagi memikirkan kawasan yang sesuai untuk didirikan pusat janakuasa nuklear.

Di manakah kawasan yang sesuai untuk penubuhan pusat janakuasa nuklear di Malaysia?

Adakah ia sesuai didirikan di kawasan pedalaman Sabah? Di persisiran pantai timur? Ataupun di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur?

Pokoknya, memang tiada. Tiada manusia di dunia ini yang sanggup merisikokan diri mereka dan membenarkan penubuhan stesen janakuasa nuklear berhampiran tempat tinggal mereka kerana seperti sedia maklum, terdedah terlalu lama kepada radiasi nuklear boleh mendatangkan pelbagai komplikasi dan lebih teruk lagi, ia boleh membawa maut.

Isu keselamatan haruslah dititikberatkan dalam soal pembinaan pusat janakuasa nuklear di Malaysia. Seperti yang kita tahu, nuklear boleh mendatangkan kesan radiasi yang sangat teruk kepada kita jika kita terdedah terlalu lama dalam radiasi.

Mengapa perlunya stesen janakuasa nuklear jika adanya sistem tenaga solar? Tenaga solar merupakan satu sumber tenaga alternatif yang kian meningkat popular. Penggunaan tenaga solar juga adalah jauh lebih selamat berbanding penggunaan tenaga nuklear.

MOHAMAD KHAIRUL ASRAF ABU BAKAR

Shah Alam, Selangor.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...