terima kasih buat kalian semua..

Sunday, April 10, 2011

Tempat letak kereta bukan hak peribadi !!



SAYA ingin menyentuh masalah tempat letak kereta yang semakin kritikal di flet dan apartmen di sekitar ibu negara. Saya kini mendiami salah sebuah flet di Petaling Jaya dan turut sama mengalami nasib sama.

Masalah mula timbul apabila tempat letak kereta yang disediakan tidak mampu menampung kapasiti penduduk yang semakin meningkat dari setahun ke setahun.
Bayangkan jika seunit rumah memiliki tiga kereta, jadi dapat kita anggarkan lebihan kenderaan yang dimiliki setiap penduduk berbanding jumlah tempat letak kereta yang disediakan. Penduduk yang mendiami kawasan di Lembah Pantai, misalnya, saban hari terpaksa bergegas pulang awal untuk berebut tempat letak kereta sedia ada. Ini disebabkan tempat letak kereta disediakan berdasarkan prinsip ‘siapa cepat dia dapat’.

Penduduk yang pulang lewat tiada pilihan kecuali membuat ‘double parking’ atau terpaksa meletak kereta jauh dari kawasan kediaman. Keselamatan kereta terpaksa menjadi taruhan kerana mereka tiada pilihan lain.

Apa yang ingin saya utarakan di sini adalah sikap segelintir penduduk yang menganggap tempat letak kereta itu hak milik peribadi mereka dan membuat tanda seperti meletakkan kon, kerusi dan apa saja benda bagi mengisytiharkan kepada orang lain bahawa ruang letak berkenaan adalah hak mereka.

Kepada penduduk yang mengalihkan tanda itu, tidak hairan jika keesokan harinya kereta mereka dicalar, tayar dipancitkan atau ditampal notis menakutkan berupa ingatan mahupun ugutan agar tidak berbuat demikian selepas ini.
Saya berharap budaya seperti ini dapat dikikis daripada penduduk apartmen mahupun flet yang padat. Perlu wujud sikap saling bertimbang rasa sesama kita demi mewujudkan keharmonian bersama.

JULIANA AZMAN,
Petaling Jaya, Selangor

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...