terima kasih buat kalian semua..

Friday, April 1, 2011

Usah ragui etika doktor lelaki...


Mutakhir ini mula kedengaran beberapa rungutan daripada anggota masyarakat kita yang tidak begitu selesa dengan kehadiran doktor lelaki di wad bersalin. Segelintir masyarakat kita mahukan doktor wanita menguruskan semua urusan kelahiran di wad terbabit.

Walaupun tuntutan ini ada rasionalnya dari pelbagai aspek, terutama melibatkan soal maruah dan keaiban seorang wanita, kita wajar membicarakan isu ini dalam konteks yang lebih luas dan terbuka secara profesional. Kita perlu buang jauh-jauh pemikiran sempit dan kolot yang memungkinkan kita mempunyai tanggapan yang negatif terhadap doktor lelaki terlibat.

Saya sangat setuju dengan kehendak yang mahukan doktor wanita di semua wad bersalin di seluruh negara. Namun adakah ia mungkin, praktikal dan realistik? Kita perlu merungkai isu ini dari dua perspektif penting. Pertama ialah dari segi etika kerja dan profesionalisme seorang doktor. Kedua ialah statistik bilangan doktor di negara kita.

Kerjaya doktor seringkali dilabel sebagai antara kerjaya yang sangat mulia dan terpuji. Golongan doktor sering dipandang tinggi dan dihormati oleh orang ramai walau di mana sekalipun dan dalam keadaan apa sekalipun.

Persepsi ini memang ada rasionalnya kerana tugas hakiki seorang doktor yang berperanan menyelamatkan nyawa orang serta membantu mengubati segala penyakit yang dihidapi oleh kita semua.

Justeru dalam soal ini, kita perlu memberi perhatian kepada kod etika dan profesionalisme seorang doktor dalam menguruskan pesakit. Misalnya, di negara kita semua doktor yang berdaftar perlu mengikuti dan mematuhi kod etika perubatan yang ditetapkan oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Untuk itu, MMC juga telah menetapkan kod etika dan garis panduan yang perlu dipatuhi oleh semua pengamal perubatan di negara kita. Antara intipati kod etika dan garis panduan yang telah dikeluarkan oleh MMC adalah merangkumi kod kelakuan profesional (Code of Professional Conduct), tugas-tugas seorang doktor (Duties of A Doctor) dan Garis Panduan Etika (Ethical Guideliness).

Mana-mana pengamal perubatan yang didapati melanggar garis panduan dan etika yang telah ditetapkan ini boleh diambil tindakan undang-undang sehingga membatalkan pendaftaran mereka yang menyebabkan mereka tidak boleh lagi mempraktikkan amalan perubatan.

Justeru dalam hal ini kita percaya dan sangat yakin bahawa doktor lelaki kita boleh dipercayai dan tidak akan melanggar kod etika terbabit kerana ia turut akan menjejaskan kedudukan dan reputasi serta masa depan mereka. Malah bilangan kes pelanggaran etika yang melibatkan doktor, terutamanya doktor lelaki, seperti kes mengambil kesempatan ke atas pesakit wanita masih terlalu kecil, terpencil dan terkawal.

Menurut laporan tahunan MMC, hanya 87 kes melibatkan pelbagai salah laku doktor yang dilaporkan sepanjang tahun 2008 berbanding bilangan doktor yang berdaftar seramai 20,280 orang. Ini membuktikan adalah tidak wajar dan tidak adil untuk kita meragui etika profesionalisme para doktor kita, terutamanya doktor lelaki.

Kita juga perlu terima hakikat bahawa jumlah doktor di negara kita masih tidak mencukupi. Sehingga tahun 2010 nisbah di negara kita ialah satu doktor kepada 1,105 orang penduduk. Kita masih berusaha untuk mencapai nisbah satu doktor kepada 600 orang penduduk menjelang tahun 2015. Keadaan semasa ini menyebabkan rungutan pesakit yang terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan perubatan di hospital masih kedengaran dan seolah-olah belum menampakkan kesudahan.

Dalam keadaan seperti ini kita tidak mempunyai banyak pilihan, misalnya hendak memohon untuk mendapatkan perkhidmatan daripada doktor wanita. Pada masa yang sama, sedarkah kita bahawa kebanyakan daripada pakar sakit puan di negara kita adalah doktor lelaki?

Malah bilangan doktor wanita yang ramai juga sebenarnya menimbulkan ketidakselesaan kepada kaum lelaki yang hendak mendapatkan rawatan tertentu, tetapi pilihannya tetap sama iaitu kita tidak mempunyai banyak pilihan.

Apa yang diharapkan pada masa sekarang ini ialah masyarakat perlu mengubah perspektif dan persepsi terhadap doktor lelaki. Pada masa yang sama, berharap agar bilangan doktor di negara kita akan terus meningkat dan mencukupi agar kita mempunyai banyak pilihan pada masa akan datang.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...