terima kasih buat kalian semua..

Thursday, May 26, 2011

Antara Naif di Dubai dan Chow Kit di Kuala Lumpur...


Dari New York saya singgah di bandar raya mega ini untuk beberapa hari. Kebetulan tiada penerbangan terus ke Malaysia dari New York. Dulu ada, kini tiada lagi. Rakyat Malaysia yang mahu ke New York misalnya terpaksa transit di beberapa lokasi negara lain sebelum ke negara tersebut.

Dubai ialah salah satu lokasi transitnya. Ia adalah salah sebuah emiriah dalam Emiriah Arab Bersatu atau juga dikenali sebagi UAE. Enam emiriah lain ialah Abu Dhabi (ibu negara dan pusat pentadbiran kerajaan), Sharjah, Ajman, Umm Al Quwain, Ras Al Khaimah dan Fujairah.

Negara ini ialah ahli Majlis Kerjasama Teluk Arab (GCC), sebuah perkumpulan ekonomi yang terdiri daripada Bahrain, Kuwait, Oman, Arab Saudi dan Qatar. UAE mempunyai simpanan minyak keenam terbesar dunia dan mempunyai ekonomi termaju di Asia Barat, rakyatnya mempunyai kuasa beli tertinggi di Asia. Juga menikmati pendapatan perkapita AS$47,407 dan ditakrif oleh IMF sebagai negara sedang membangun berpendapatan tinggi.

Kali terakhir saya di Dubai ialah kira-kira 15 tahun lalu. Itu pun transit dalam tempoh sehari sahaja. Kini Dubai sudah berubah. Ia berubah 1,000 kali ganda sejak itu.

Di Dubai saya menginap berhampiran dengan Burj Khalifah, menara tertinggi di dunia, yang jika mahu tengok cucur atapnya setinggi 828 meter dari tepi menara itu, kita terpaksa mendongak 90 darjah ke langit. Kawasan penginapan saya di sini adalah sama seperti kawasan di sekitar KLCC, menara berkembar yang menjadi kemegahan semua rakyat Malaysia. Rata-ratanya dihuni oleh rakyat asing dan pegawai dagang yang sama-sama membangunkan negara ini.

Begitu juga rakyat Dubai, mereka juga cukup berbangga dengan menara itu. Barat juga cemburu dengan Dubai yang dapat membangunkan emiriah ini dengan cukup berjaya. Sehinggakan pada tahun lepas apabila ekonomi dunia merudum, Dubai dikatakan oleh Barat antara kawasan yang akan jatuh bankrap dahulu kerana kepesatan infrastrukturnya yang terlalu rancak. Mereka meramalkan Dubai akan menjadi bandar hantu. Tapi ia meleset.

Banyak musuh yang mahu melihat wilayah ini jatuh terduduk. Perlu diingat wilayah Arab kini sedang menghadapi satu keadaan yang paling getir dalam sejarah sosio-politiknya apabila kebangkitan rakyat tercetus satu persatu. Di kalangan negara Teluk yang terkena ialah Bahrain, yang paling hampir ialah Yemen, setelah Mesir dan Libya. Mereka mahu menjatuhkan pemerintahannya.

Kita tidak pasti apakah ia ada unsur-unsur luaran, atau faktor dalaman semata-mata. Tapi dalam politik dunia kini, macam-macam boleh berlaku. Salah satu rangkaian televisyen satelit Barat kelmarin menyiarkan satu forum bertajuk Arabvolusi. Atau revolusi yang sedang melanda Arab.

Barat mahu supaya rejim-rejim yang ada ditukar mengikut acuan demokrasi mereka. Ia termasuklah rejim-rejim yang didakwa mereka sebagai diktator, autoritarian, diraja dan pelbagai istilah lagi.

Mereka masih mahu terus membincangkan isu kebangkitan itu walaupun Palestin kini begitu beria-ia melobi kuat untuk menuntut kemerdekaan.

Namun, berbalik kepada Dubai. Saya berani katakan ia kini adalah sebuah negara maju dalam lingkungan Arab, mahu pun Asia yang lain. Bukan sahaja bangunan fizikalnya yang hebat-hebat, namun mentaliti rakyatnya dan para pekerjanya yang terdiri daripada orang asing, cukup tertib.

Bandar raya ini amat bersih. Tandas-tandas awamnya jauh lebih baik dari Malaysia. Pintu-pintu tandasnya cukup tegap, bukan kayu plywood atau plastik murah yang dipasang di tandas-tandas awam kita. Tiada contengan-contengan lucah dalam tandas awamnya. Kunci bilik tandasnya juga standard negara Barat.

Orang berkata, jika mahu melihat orangnya, lihatlah tandasnya. Kerana itulah saya membuat perbandingan itu kerana tandas melambangkan mentaliti masyarakatnya.

Sementara itu, jika mahu melihat mentaliti penduduk kotanya pula, lihatlah pemandu teksinya. Di sini pemandu teksinya terdiri daripada – sama ada – India, Bangladesh, Pakistan dan rakyat negara Arab yang lain. Mereka semua makan gaji dengan Pihak Berkuasa Pengangkutan Jalan Dubai (RTA), yang mengendalikan semua jenis pengangkutan awam – termasuk bot-bot teksi dikenali sebagai abra yang menyeberangi sungai di Dubai Creek.

Pemandu teksi di sini tidak cakap politik. Mereka bekerja ala pemandu kepada tuan. Kita duduk belakang, dia pandu dan sesekali beramah mesra. Sesekali terfikir lebih baik pemandu teksi kita hanya makan gaji dan terdiri daripada rakyat asing. Di New York juga pemandu teksinya adalah rakyat asing dari Pakistan, India, Arab, Cina dan lain-lain. Tiada insiden tipu pelanggan atau enggan pakai meter yang kedengaran. Semua teksi dilengkapi dengan mesin resit.

Jalan-jalannya di Dubai ini berkilat. Tiada langsung nampak tinggi rendah, dan lubang-lubang bercompang-camping. Bagi yang banyak berjalan, Dubai kini bukan lagi Dubai dulu, tapi mulai mengatasi banyak bandar raya ternama di Asia.

Saya sempat ke sebelah bandar Dubai lama yang menempatkan kawasan membeli-belah murah iaitu di Naif. Ia sama seperti Jalan Chow Kit. Tapi keadaannya cukup bersih. Walaupun ada kesan berkarat ludahan air pinang di tepi-tepi dinding, tapi lantai-lantainya bersih. Susah hendak cari sampah atau sisa-sisa makanan yang busuk yang tidak diangkat oleh ‘Alam Flora’ mereka.

Kita sanggup makan di kedai-kedai makan yang dikendalikan oleh orang Pakistan atau Afghanistan tanpa rasa was-was di situ. Pengendalian restorannya tertib. Kertas tisunya tersusun – bukan kertas tandas, dan bilik airnya bersih.

Kuala Lumpur harus mencontohi Dubai, walaupun difahamkan oleh orang di sini bahawa pembangunan Dubai baru, antaranya mengambil contoh pembangunan Putrajaya, salah satu mercu tanda bijak Tun Dr. Mahathir Mohamad, namun ia kini lebih matang daripada Putrajaya.

Dubai terus berkembang. Sekarang pun pembangunannya sedang rancak. Kren-kren pembinaan tidak henti-henti bergerak di sekeliling daerah yang menempatkan Burj Khalifa dan Burj Al Arab di Jumeirah.

Jika dulu pembangkang kita mengkritik pembinaan Menara Berkembar Petronas KLCC yang dikatakan membazir, kini cuba lihat di sekeliling garis pusat 5 kilometer darinya, pembangunan mewah (kecuali Kampung Baru) tumbuh bagai cendawan, dan apabila dibuka untuk jualan ia habis direbut orang.

Begitu juga di Burj ini, bangunan sekelilingnya habis terjual. Burj menjadi pusat tarikan kerana keunikannya dan keagungan seni bina yang tiada tandingannya.

Saya sewa kereta dan memandu merentas lebuh raya gurun ke Abu Dhabi, kira-kira 100 kilometer dari sini, yang menjadi ibu kota UAE. Ia juga sama hebat dengan Dubai. Bangunan-bangunan pencakar langitnya juga cukup hebat. Namun, lebih penting ia mempunyai nilai estetika tersendiri yang sama seperti bandar raya utama yang lain.

Sebuah bandar raya yang baik harus mempunyai nilai-nilai budaya dan estetika yang tinggi. Ia bukan sekadar tempat untuk melihat bangunan-bangunan pencakar langit, tapi isi bandar itu dan orangnya.

Souk atau pasar-pasar tradisi di Dubai inilah yang mahu dilihat pelancong. Chow Kit, misalnya juga seharusnya sejak dulu lagi sudah menjadi salah satu tempat tarikan pelancong. Bas-bas lompat naik, lompat turun yang membawa pelancong harus berhenti di Chow Kit dan sekitar Jalan Raja Alang. Tapi syaratnya tandas-tandasnya, lorong-lorongnya haruslah sesuai.

Jika dulu, Chow Kit ada pasar malam ala Bangkok yang menjadi tarikan pelancong asing, kini ia susah mahu digambarkan. Toko-toko jamu, bakso dan apatah lagi sudah menguasai kawasan itu tanpa perancangan (?). Dan pasar basahnya juga sama seperti puluhan tahun dulu, belum berubah. Sampah-sarapnya juga seperti dulu. Saya tidak pasti adakah itu nilai unik dan estetika bagi Chow Kit, atau Kampung Baru dan lain-lain?

Namun, Dubai, New York mahupun kota rayaku, Kuala Lumpur tetap mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Mana yang baik kita ambil, yang buruk kita tinggalkan dan perbaiki.

Zaini Hassan

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...