terima kasih buat kalian semua..

Thursday, May 19, 2011

Artikel wanita: Berapa kali anda KEMUT dalam sehari???


LUL jejas perhubungan seksual

DALAM sehari berapa kali anda 'terkucil'? Bagi yang kurang faham maksudnya, terkucil merujuk pada masalah kerap membuang air kecil. Jika anda mengalami keadaan ini, jangan ambil mudah, anda mungkin berhadapan keadaan inkontinens atau lemah kawalan pundi kencing (LUL).
Keadaan inkontinens terjadi apabila wujud masalah pada otot dan saraf yang mengawal dan membebaskan air kencing. Secara lazimnya, kebarangkalian untuk wanita mendapat masalah LUL adalah lebih tinggi, khususnya wanita berusia dan yang kerap melahirkan anak, disebabkan struktur tubuh wanita serta faktor melahirkan anak

Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Seri Suniza Sufian, berkata keadaan inkontinens terjadi apabila ada masalah pada otot dan saraf yang mengawal dan membebaskan air kencing. Ia boleh berlaku kerana otot lantai pelvik menjadi lemah dan tidak cukup kuat untuk mengawal air kencing daripada terkeluar.

Pundi kencing menyimpan air kencing. Ia boleh mengembang untuk menampung 350 mililiter (ml) hingga 550 ml air kencing. Individu biasanya terasa hendak buang air kecil apabila kandungan pundi kencing lebih kurang 150 ml hingga 200 ml. Desakan buang air kecil meningkat apabila isi pundi kencing bertambah kepada 250 ml hingga 300 ml dan apabila ia mencapai 500 mililiter, pundi kencing perlu dikosongkan segera.

Pembuangan air kencing membabitkan dua peringkat iaitu pengisian serta penyimpanan air kencing dan peringkat kedua iaitu pengosongan pundi kencing.

Ketika pembuangan air kencing, otot yang 'memegang' pundi (dipanggil otot sphincter) dalam keadaan rehat, manakala otot pundi kencing pula mengecut supaya air kencing boleh ditolak keluar memasuki salur kencing (uretra).
“Untuk betul-betul mengosongkan pundi kencing, otot pundi dan spinchter perlu bertindak serentak. Kegagalan pada mana-mana bahagian, sama ada pada pundi, otot spinchter atau saraf, menyebabkan masalah ini dan bagi orang yang ada masalah lemah pundi kencing, kebocoran boleh berlaku pada bila-bila masa walaupun pundi kencing tidak penuh,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis pengenalan pelakon/pelawak tempatan, Sharifah Shahirah atau Shiera sebagai duta Poise. Turut hadir, Pengurus Pemasaran Kimberly-Clark Malaysia untuk Poise, Haniza Tahir.

Segelintir wanita mengambil jalan pintas untuk mengurangkan jumlah minum air atau mengambil makanan berair, supaya dapat membantu menangani masalah itu. Tetapi ia tidak banyak membantu sebaliknya menyebabkan air kencing menjadi lebih pekat iaitu penanda individu mengalami dehidrasi atau kekurangan air.

Kekurangan air juga boleh menjejaskan fungsi organ dalam badan menyebabkan pelbagai masalah lain berikutan badan akan cepat berasa letih, tidak bermaya.

“Masalah inkontinens bukan saja memalukan, tetapi membuatkan seseorang berasa rendah diri, tidak selesa, tertekan dan murung. Ia turut memberi kesan psikologi lebih besar kepada wanita sehingga ada yang perlu mengubah gaya hidup dan mengelak terbabit dalam kegiatan sosial kerana bimbang dan malu jika masalah mereka diketahui.

“Malah, menjadi isu penting dalam aspek kebersihan, terutama bagi wanita beragama Islam untuk beribadat,” katanya yang menyatakan faktor kesihatan termasuk obesiti, sembelit, kesan sampingan pelbagai ubat-ubatan dan menopaus boleh menjejaskan kekuatan fungsi otot.

Mengulas mengenai kemungkinan ia menjejaskan perhubungan seksual, Dr Seri Suniza tidak menafikan hal berkenaan berlaku lantaran tidak ramai lelaki yang faham mengenai masalah dihidapi wanita itu selain masalah itu tidak dibincang secara meluas dan terbuka.

Ketika proses bersama, isteri mungkin terkucil dan keadaan itu boleh menimbulkan rasa tidak selesa. Lebih daripada itu, ia sebenarnya menjurus kepada masalah lain, termasuk jangkitan ruam dan gatal kerana kawasan di situ selalu lembap.

Untuk menangani masalah itu, senaman menguatkan lantai pelvik dan otot pada pundi kencing iaitu senaman kegel atau kemut boleh dilakukan lima kali sehari dengan setiap sesi sebanyak 10 kemutan.

Paling penting, pesan Dr Seri Suniza, wanita tidak harus berasa malu dan menyembunyikan masalah berkenaan kerana keadaan boleh menjadi lebih teruk jika tidak mendapat rawatan ,termasuk berjumpa doktor. Pelbagai rawatan tersedia mengikut tahap masalah masing-masing bermula oral (pengambilan ubat-ubatan) hinggalah pembedahan kecil.

Bantu sebar pesanan

APABILA ditawarkan menjadi duta produk Poise, pelakon/pelawak tempatan, Sharifah Shahirah atau Shiera turut terfikir kemungkinan orang ramai mengaitkannya sebagai seorang pengidap LUL.

Tetapi apabila difikir-fikir semula, produk yang dicipta khusus untuk penghidap masalah itu, beliau merasakan ia sesuai dengan tuntutan kerjanya dan bertepatan dengan ‘sediakan payung sebelum hujan’.

“Saya bukan pengidap LUL tahap serius, tetapi menggunakannya sebagai persediaan, lantaran kerja. Berhadapan rakaman televisyen secara langsung kadangkala memerlukan saya ‘bertahan’. Begitu juga dilingkari rakan yang suka berjenaka dan membuatkan saya kerap ketawa besar, menjadikan kadangkala keadaan itu tidak dapat dielakkan.

“Pada saya, masalah ini tidak apa hendak dimalukan kerana kajian menunjukkan semakin ramai wanita muda menghadapinya dan apabila kita mengambil langkah menangani awal, lagi baik. Ketika hamil dulu saya turut menghadapi masalah ini, tidak tahu ke mana untuk dirujuk.

“Apabila isu sebegini ini dibincangkan lebih meluas, ia amat bagus kerana membolehkan penghidap, khususnya tahu ke mana nak dituju dan produk apa yang menjanjikan kesesuaian serta kebersihan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Kimberly-Clark Malaysia untuk Poise, Haniza Tahir, berkata dalam dalam usaha membantu wanita menangani masalah berkenaan, pihaknya melancarkan kempen terbaru ‘Live and Laugh More with Poise’.

Kempen berkenaan bertujuan menyampaikan mesej bahawa masih ada peluang untuk menikmati kehidupan dengan penuh gelak ketawa dan keyakinan. Kempen itu merangkumi siri rencana pendidikan dan program senaman kegel di seluruh negara.

Katanya, kajian Poise juga menunjukkan produk seperti Poise, membantu memenuhi keperluan khusus bagi wanita yang mengalami LUL kerana ia menumpukan kepada setiap ciri yang diingini pengguna.

Jelasnya, kajian turut mendapati 24 peratus wanita mengalami LUL tidak mahu masalah berkenaan menjejaskan kehidupan mereka. Untuk maklumat lanjut, layari www.poise.com.my atau hubungi 1-800-82-1188.

INFO: Punca LUL
  • Kecacatan sejak lahir
  • Berlaku perubahan akibat penuaan
  • Selepas menopaus (akibat perubahan hormon)
  • Pernah menjalani pembedahan atau kecederaan pelvik
  • Menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, strok, Alzheimer atau Parkinson
  • Jangkitan saluran kencing
  • Kehamilan dan melahirkan anak
  • Jangkitan atau keradangan vagina

    Rawatan

  • Kurangkan berat badan jika terlalu gemuk
  • Jangan memakai korset kerana ia menekan lantai pelvik ke bawah
  • Elak pengambilan sesetengah jenis ubat dan minuman mengandungi kafein kerana ia merangsang pembuangan air kecil
  • Kurangkan aktiviti fizikal sehingga masalah dapat dikawal
  • Buat diari buang air kecil dan catatkan berapa banyak air diminum, jenis minuman, berapa kerap anda buang air kecil dan berapa banyak air kencing. Ia dapat membantu doktor meneliti masalah anda. Jangan tahan kencing. Jadikan amalan untuk pergi ke tandas setiap dua jam hingga tiga jam.

    INFO: Kajian Poise

  • Kajian membabitkan kira-kira 3,000 wanita mendapati 70 peratus wanita di negara ini mengalami masalah LUL dengan 30 peratus mengalami keadaan ‘terkucil’, sekurang-kurangnya sekali seminggu dan semakin ramai wanita muda pula menghidapinya.

  • 31 peratus wanita mula mengalami lemah kawalan kencing secara kerap ketika berusia antara 35 tahun dan 44 tahun, manakala 19 peratus lebih muda daripada usia 35 tahun, membuktikan tanggapan LUL dihidapi warga tua, meleset sama sekali.

  • Sikap malu membataskan mereka yang mengalami masalah ini membicarakannya secara terbuka.

  • Batuk menjadi pencetus utama berlaku keadaan itu membabitkan 69 peratus responden, diikuti bersin 66 peratus dan ketawa 55 peratus.

  • Kajian juga mendapati, wanita lebih risau dengan bau hancing (25 peratus) dan majoriti iaitu 85 peratus bergantung kepada liner dan tuala wanita biasa yang digunakan untuk haid.

  • Berdasarkan maklum balas, dua ciri utama yang dianggap amat penting bagi produk lemah kawalan kencing ialah penyerapan dan kawalan bau hancing.

  • Meskipun jumlah mereka yang mengalami LUL tinggi, amat kurang wanita mengambil langkah yang betul untuk menangani masalah ini secara berkesan. Hanya tiga peratus mempraktikkan senaman kegel yang dapat membantu memperkuatkan otot lantai pelvik dan mengurangkan masalah ‘terkucil’ manakala hanya segelintir menggunakan produk perlindungan yang betul

  • Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof


    2 comments:

    1. ingatkan "kegel exercise" salah satu rawatan...

      ReplyDelete

    Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...