terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, May 4, 2011

Bukan semua untung jika dolar AS susut !!


“SERONOK betul beli barang secara online sekarang. Semuanya murah sebab mata wang Amerika jatuh. Elok beli sekarang, jimat banyak. Masuk saja Ebay, macam-macam kita boleh beli dengan lebih murah berbanding dulu. Tak payah lagi ke kedai.” Pasti itu antara perbualan paling hangat ketika ini di kalangan mereka yang suka membeli-belah menggunakan internet.

Penurunan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) memberi faedah paling besar kepada mereka. Ebay kini menjadi antara laman wajib dilayari setiap masa jika berniat membeli barang, meskipun ada dijual dalam negara.
Kesannya bukan kecil. Jika sebelum ini, nilai AS$1 sentiasa sekitar RM3.30, hari ini ia menurun sehingga RM2.97. Angka yang dilihat tidak sebesar mana tetapi jika dibuat perkiraan ketika membeli barangan bernilai ribuan ringgit, kesannya pasti terasa.
Dulu barangan berharga AS$1,500 perlu dibayar sehingga RM4,950, kini sekitar RM4,449. Justeru, ia berita baik kepada kaki shopping di internet dan syarikat yang banyak mengimport barang dari AS dan negara yang menggunakan dolar AS negara itu.

Realitinya, adakah penurunan dolar dan pengukuhan ringgit memberi kesan positif kepada negara? Benarkah semua sektor mendapat manfaat dan kerajaan beruntung dengan senario sekarang?

Pakar Ekonomi dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Abdul Ghaffar Ismail, berkata secara teorinya banyak faedah dinikmati rakyat dan firma dalam negara dengan pengukuhan ringgit terutama yang banyak bergantung kepada barangan dan perkhidmatan AS. Paling merasai kesan positifnya ialah pelajar kita di AS yang mendapati yuran pengajian dapat dikurangkan dengan ketara.

“Kerajaan dan firma yang berhutang menggunakan dolar AS juga mendapat impak positif ketara kerana jika dulu, hutang AS$1 bilion perlu dibayar sehingga RM3.3 bilion, kini ia menurun kepada RM2.97 bilion, satu pengurangan yang dikira sangat banyak.
“Syarikat yang banyak mengimport barang dari sana juga mendapati kos pengimportan berkurang dan ia pasti menguntungkan jika mereka menjual dengan harga seperti dulu. Begitu juga individu yang suka membeli menggunakan internet. Namun, keadaan ini tidak semestinya hanya memberi kesan baik kepada negara kerana dalam jangka masa panjang, kita turut kerugian dan boleh menyebabkan ketidakseimbangan import dan eksport. Ia dikenali sebagai imbangan dagangan terherot,” katanya.

Beliau berkata demikian dengan mengambil kira hubungan perdagangan yang kuat antara Malaysia dan AS. Selama ini, kita bukan hanya banyak mengimport dari negara itu tetapi banyak juga barangan kita yang dieksport dan dibayar menggunakan dolar AS.

Secara matematik, syarikat yang banyak mengeksport barang ke AS atau negara yang berurusan menggunakan dolar AS akan merasai kerugian, sekali gus mengurangkan minat mereka untuk mengeksport dalam jumlah yang banyak. Kesannya, berlaku ketidakseimbangan import dan eksport apabila barangan diimport lebih banyak daripada dieksport, sekali gus menjejaskan ekonomi dalam negara.

“Pengaliran mata wang ke luar menjadi lebih banyak. Ia kesan yang tidak begitu positif dan boleh mendatangkan kesan kepada ekonomi negara. Orang ramai akan lebih suka membeli dari luar negara dan pasaran tempatan akan merosot,” katanya.

Kedudukan mata wang AS berbanding ringgit mula menunjukkan perubahan apabila mata wang kita diapungkan untuk ditentukan pasaran sejak 2003. Selepas 1998, kerajaan menetapkan nilai mata wang Malaysia RM3.8 bagi setiap AS$1 dan keadaan itu membolehkan pasaran import, eksport berlaku secara seimbang.

Pengukuhan mata wang negara ketika ini, menurut Dr Abdul Ghaffar disebabkan pertukaran bersilang dengan negara turut mendapat impak daripada pengukuhan dolar Australia dan mata wang China. Ia sekali gus memberi impak kepada penurunan dolar AS.

Malah, menurutnya, keadaan ini akan mengubah trend perdagangan Malaysia yang mula beralih mengimport barangan dari AS berbanding China dan Australia. Oleh itu, berlaku sekali lagi ketidakseimbangan perdagangan luar negara.

“Jika senario sebegini berterusan, berlaku imbangan dagangan terherot dan mewujudkan defisit imbangan dagangan iaitu kesan kepada imbangan pembayaran negara. Duit lebih banyak keluar daripada masuk yang akhirnya menjadikan ringgit lemah.

“Bagi syarikat seperti pengangkutan udara yang menjalankan proses perlindungan nilai pasti merasai sedikit kerugian kerana jika harga setong minyak ditetapkan dengan nilai beberapa bulan dulu, kini harga itu lebih murah tetapi kerana ada perjanjian untuk melindungi nilai itu, mereka terpaksa membayar pada harga lama.

“Saya yakin Sidang Negara Maju (G8) melihat senario yang tidak seimbang ini dan melakukan sesuatu untuk melindungi dolar AS kerana situasi ketika ini bukan sekadar memberi kesan kepada AS tetapi banyak negara lain. Namun, ia akan mengambil masa.

“Pengukuhan ringgit dan penyusutan dolar AS menguntungkan mereka yang berhutang menggunakan mata wang AS tetapi menyebabkan pasaran perdagangan dunia terutama negara ini tidak stabil,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...