terima kasih buat kalian semua..

Saturday, May 7, 2011

Elak anjur pertandingan makan durian !!


DALAM sensasi media dan pemimpin melontar pandangan terhadap isu makanan dalam kalangan kanak-kanak sekolah yang mungkin menjadi penyumbang obesiti, seperkara yang kita tidak boleh lupakan ialah tabiat makan atau upacara-upacara makan dalam kalangan dewasa juga tidak harus dipandang sebelah mata.

Memang benar pendidikan amalan pemakanan harus dimulakan sejak kecil, namun tabiat yang berakar dalam tradisi juga harus dimodifikasi demi lestarinya sebuah nikmat bernama kesihatan.

Musim durian datang lagi setelah saban lama lama menanti. Raja segala buah ini pastinya tidak pernah menghampakan penggemarnya dengan hidangan yang boleh dimakan dalam pelbagai bentuk yang digemari baik dimakan secara segar dari ladang, mahupun dibuat lempuk atau tempoyak.

Para pemilik atau pemajak ladang juga pastinya pula sedang mencongak-congak keuntungan yang bakal diperoleh kerana mengikut trend pasaran buah durian sentiasa mendapat pulangan yang menguntungkan.

Dengan kualiti buah yang baik pastinya ia juga mampu menjadi tarikan pelancong yang ada antaranya mungkin mulanya menjauhi durian oleh sebab baunya tetapi kemudian tidak jemu merasanya akibat jatuh cinta pandang pertama.

Dalam keghairahan kita menyambut kehadiran musim buah durian ini kita janganlah alpa dengan penjagaan kesihatan yang selama ini kita pupuk bukan sahaja pada diri kita bahkan dalam keluarga dan masyarakat dalam mengamalkan budaya hidup sihat yang lestari.

Saban tahun dengan kehadiran musim durian, ada sahaja pihak yang menganjurkan pertandingan makan paling banyak durian dengan ganjaran menanti pemenang yang mampu menghabiskan paling banyak ulas durian dalam jangka masa yang ditetapkan.

Dalam kita menghayati ayat al-Quran yang menyatakan bahawa buah-buahan diciptakan sebagai makanan tambahan (Surah At-Thur ayat ke-22), kita seharusnya ingat bahawa makanan tambahan mempunyai kuantiti yang menjadi sebagai pelengkap atau penyeri hidangan makanan biasa, contohnya seperti yang dicadangkan oleh Piramid Makanan dan tidak wajar ia dijadikan bahan untuk dipertandingkan untuk melihat amaun terbanyak yang boleh dimakan.

Lantas dalam al-Quran juga kita diingatkan bahawa sekali-kali tidak boleh berlebih-lebihan dalam sesuatu perkara termasuklah makanan.

Firman Allah dalam Surah Al-A'raf ayat 31 yang bermaksud, '..Makan dan minumlah dan jangan kamu berlebih-lebihan, kerana Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan'.

Makanan walau apa jua jenis dan kelasnya, tidak terlepas daripada kesan sampingan jika berlebih-lebihan dalam pengambilannya, apatah lagi dengan mengetepikan norma-norma pemakanan yang bersopan santun dan bertata-susila pasti akan mendedahkan seseorang itu kepada keburukan.

Benarlah sabda Nabi Muhammad SAW bahawa segala penyakit itu berpunca daripada perut. Apatah lagi jika amaun yang dimakan itu dibuat untuk pertandingan yang perlu dihabiskan boleh mengundang padah yang tidak sudah.

Kuantiti fizikal yang banyak ini mencerminkan nilai gizi yang dikandunginya. Lantas kandungan kalori dan gula dalam ulas-ulas durian itu antara aspek yang harus diberi pertimbangan sebelum kita menelan semua ulas yang ada di hadapan mata.

Menjadi adat suatu pertandingan juga bahawa yang paling banyak atau paling cepat dialah yang menang. Lantas dalam memakan buah durian yang bijinya begitu keras dan besar ditambah pula dengan kontur bijinya yang licin dan dimakan dalam waktu yang menghambat seperti dalam pertandingan, pastinya risiko-risiko seperti tercekik dan tertelan menjadi bertambah tinggi.

Perlu diingat bahawa tercekik biji durian akan membawa kepada tiga kemungkinan. Ia boleh dikeluarkan dengan cepat jika saiz biji, lokasi dan kepakaran yang ada mengizinkan, atau ia tertelan dan masuk ke saluran makanan atau yang lebih bahaya jika ia menutupi saluran pernafsan.

Penutupan saluran pernafasan walaupun dalam masa singkat mampu mengundang komplikasi yang menyebabkan sesal yang tak sudah. Pernafasan akan terhenti dan muka mula menjadi biru akibat lemas.

Beberapa kes tertelan biji durian yang dilaporkan dalam jurnal perubatan antarabangsa memaparkan pesakit datang gejala saluran makanan terutamanya usus kecil tersumbat yang memerlukan pembedahan kecemasan dilakukan bagi mengelakkan kerosakan kekal pada usus.

Sewajarnya kita mengambil pengajaran dari apa yang telah atau diketahui boleh berlaku dengan sedikit ilmu yang ada pada kita.

Musimnya telah datang, buahnya telah dibentang, isinya kuning emas menggiurkan mata memandang, makan berhemah tanda zahirnya kesyukuran, telan berlumba musibah diundang.

Terlajak perahu boleh undur, terlajak kata boleh diminta ampun tetapi terlajak biji durian mungkin membawa penyesalan yang tiada gunanya.

DR. IRFAN MOHAMAD
Pensyarah Perubatan ORL-HNS
Universiti Sains Malaysia
Kelantan

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...