terima kasih buat kalian semua..

Saturday, May 28, 2011

Harga minyak dan daya saing


SAMBIL pelbagai pihak membincangkan tentang keputusan kerajaan tidak menaikkan harga minyak, disel dan gas, ramai juga pakar ekonomi yang menyarankan pemotongan subsidi sepatutnya disegerakan kerana beban yang bakal ditanggung oleh kerajaan akan menaikkan lagi defisit negara.

Kita patut tanya mereka ini apakah rakyat biasa katakan di Kuala Tembeling atau Arau, Perlis faham apa erti defisit negara yang meningkat atau mereka lebih faham kalau harga minyak atau diesel dinaikkan.

Kenaikan harga minyak akan mendatangkan suatu impak yang menyeluruh kepada pelbagai jenis perkara daripada barang-barang makanan kepada pengangkutan dan lain-lain jenis perkhidmatan.

Lazimnya peniaga akan menaikkan harga barang-barang jauh lebih tinggi peratusannya daripada peratusan kenaikan harga tenaga. Kalau teh tarik dinaikkan daripada RM1.20 kepada RM1.50 suatu kenaikan sebanyak 40 peratus sedangkan harga satu tin susu pekat mungkin naik 10 sen daripada RM2.50, suatu kenaikan tak sampai 5 peratus.

Kita lihat perkara ini berlaku apabila harga gula dinaikkan, kuih yang tiga seringgit sudah jadi RM1.20 kenaikan sebanyak 20 peratus. Kenaikan yang meliputi pelbagai jenis keperluan rakyat sekiranya harga tenaga dinaikkan ini difahami oleh rakyat biasa.

Lagi pun kepada rakyat biasa, mereka melihat kerajaan mempunyai banyak sumber kewangan yang mendatangkan hasil kepadanya. Misalnya lihat sahaja berapa banyak syarikat milik kerajaan yang berderet di Bursa Malaysia dan yang tidak disenaraikan seperti Petronas.

Kebanyakan syarikat milik kerajaan ini membuat keuntungan dan selain daripada dividen yang diterima oleh kerajaan selaku hak miliknya, syarikat-syarikat ini juga membuat laba yang besar dan dividen hanya sebahagian kecil daripada keuntungan yang diumumkan syarikat.

Kerajaan juga dapat bahagiannya daripada cukai yang dibayar oleh syarikat. Selain itu ke mana pergi keuntungan syarikat tersebut. Mungkin sebahagian dilabur semula untuk perkembangan syarikat tetapi kalau kita ikuti laporan tahunan syarikat-syarikat, kita tahulah berapa banyak keuntungan keseluruhan syarikat milik kerajaan. Malangnya bagi yang tidak tersenarai kita tak tahu keuntungan atau kerugian mereka.

Suatu perkara lagi yang melemahkan hujah untuk memotong subsidi ialah golongan-golongan mewah yang sepatutnya tidak menikmati subsidi kerajaan. Ini termasuklah syarikat-syarikat seperti pengeluar tenaga bebas (IPP) yang tenaga yang dijana mereka tidak boleh digunakan tetapi Tenaga Nasional Berhad tetap kena membayar kepada mereka. Mereka ini juga mencatat keuntungan yang besar.

Mungkin perjanjian dengan mereka ini kena dikaji semula walaupun ada pihak-pihak tertentu yang mengatakan kita tidak patut melakukan sesuatu kepada pihak-pihak ini kerana kerajaan tidak akan dihormati kerana melanggar perjanjian yang dipersetujui, walaupun mungkin berat sebelah.

Sebarang rasionalisasi perlu memberi keutamaan kepada golongan pendapatan rendah termasuk petani dan nelayan.

Soal baja dan diesel dijual kepada orang lain selain daripada digunakan oleh pihak yang sepatutnya adalah soal penguatkuasaan dan kewujudan sesuatu sistem pengagihan dan pengedaran.

Apa jua barang yang kita bandingkan dengan negara-negara jiran kita semuanya harga di tempat kita jauh lebih rendah daripada di negara-negara jiran ini. Oleh itu keinginan pihak tertentu untuk menyeludup begitu tinggi. Mereka yang tertangkap ini tak usah didenda tetapi dimestikan masuk penjara kerana denda boleh dibayar oleh sesiapa tetapi penjara paling ditakuti.

Keengganan masyarakat pelabur untuk melabur dalam negara dikatakan sebagai suatu sebab untuk memastikan defisit kita tidak meningkat. Sebenarnya kalau kita perhatikan Laporan Daya Saing Dunia yang diterbitkan oleh Forum Ekonomi Dunia 2010/2011 yang mengambil kira prestasi 139 negara, kita duduk di tempat 26 jatuh daripada tangga 24 pada tahun lepas.

Faktor-faktor yang dikatakan menjadi masalah menjalankan perniagaan di negara kita ialah pertama birokrasi kerajaan yang kurang cekap, kedua kerumitan mendapatkan pembiayaan dan ketiga ialah dasar-dasar kerajaan. Selain daripada itu terdapat juga rasuah sebagai salah satu masalah yang dihadapi mereka yang berurusan dengan kita.

Untuk Laporan Daya Saing 2010/2011 yang diterbitkan oleh IMD, kedudukan kita jatuh daripada nombor 11 pada tahun lepas kepada nombor 16 tahun ini. Dalam huraiannya Prestasi Ekonomi naik daripada angka 8 kepada 7, malangnya Kecekapan Kerajaan jatuh daripada nombor 9 kepada 17 dan Kecekapan Perniagaan jatuh daripada nombor 4 kepada nombor 14. Kedua-dua faktor yang membuatkan penarafan kita jatuh sebanyak 6 tangga.

Terpulanglah kepada kita untuk terima atau tidak penarafan ini. Jangan bila kita naik, riuh sekampung bila kita jatuh, kita tidak mahu terima hakikat yang kita perlu berbuat sesuatu untuk membaiki prestasi kita.

Awam dan swasta adalah dua tunggak yang diperlukan untuk memastikan transformasi kita berjaya. Kalau sudah ada masalah dengan kedua-dua sektor, alamat kita akan berdepan dengan masalah mencapai hasrat untuk menjadi negara maju menjelang 2020. Soal defisit bukan suatu masalah besar asalkan tidak sampai paras negara Greece!

DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas

Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur

(kini Bursa Malaysia)

1 comment:

  1. ala dah lama kuih 1.20....kes latest time hari belia kat putjaya...char keow teow 1 pinggan 5 inggit...air bancuh dlm balang pun 2.00...tue sal tapak...3 hari 3000...sepatutnye pihak penganjur dpt lihat bende nie dulu...cos kebnyakan yg dtg belia...budk sekolah dr pelbagai negeri...depa bw duit sikit shj...

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...