terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, May 18, 2011

Jangan cari salah Hikayat Merong Mahawangsa !!


SAYA telah menonton Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) dan amat bangga dengan penghasilan sebuah filem yang nyata telah keluar daripada kepompong filem Melayu sekarang. Teknik dan cara persembahan amat menarik. Kita sepatutnya ada lebih banyak filem sebegini untuk meningkatkan harga diri dan kebanggaan rakyat. Ia filem yang menterjemahkan slogan Malaysia Boleh.

Agak sedih apabila filem ini telah dikritik dengan hebat oleh beberapa profesional yang hanya pandai mencari kesalahan. Adakah apabila membuat sesuatu filem kita mesti mengangkat bahasa Melayu, budaya Melayu?

Kita sudah berada di abad yang lain sebenarnya. Jika sesuatu filem itu terpaksa mengangkat bahasa Melayu, adat Melayu dan bangsa Melayu maka bagaimana kita ingin menembusi pasaran dunia?

Kita lihat filem Bollywood. Filem mereka penuh dengan nyanyian dan tarian serta pergaduhan. Adakah ini budaya mereka? Kita lihat bagaimana filem ini mampu menembusi pasaran dunia bahkan dapat menyaingi filem Hollywood.

HMM bukan sebuah dokumentari, ia dihasilkan oleh anak muda yang gigih bekerja tanpa sempadan budaya Melayu dan bahasa. Apa yang dihasilkan mereka mampu menaikkan nama Malaysia di mata dunia di mana filem kita mungkin bakal ditayangkan di beberapa negara luar. Ia juga bakal memberi pulangan pada negara. Mereka ini adalah sebahagian daripada hasil Wawasan 2020.

Mengapa kita perlu hadkan hanya kepada budaya Melayu dan bahasa Melayu dalam setiap karya kita? Generasi akan datang berbeza, tiada sempadan dalam pemikiran dan karya mereka. Apa yang mereka sukai akan mereka tonton. Jika kita masih di takuk lama maka terkebelakanglah kita.

Jangan terlalu mengongkong anak-anak muda kita berkarya dengan mengkritik mereka tetapi hendaklah membantu mereka.

Adakah filem Avatar mencerminkan bahasa dan budaya mereka? Bagaimana dengan filem Rocky, First Blood dan lain-lain? Adakah filem atau drama seram yang disiarkan saban hari di kaca televisyen dan layar perak mencerminkan budaya kita?

Saya ingin mencadangkan agar pihak yang mengkritik filem tersebut membuat semula Hikayat Merong Mahawangsa yang akan memartabatkan budaya dan bahasa Melayu, seterusnya dapat dipasarkan ke peringkat antarabangsa serta dicalonkan di Festival Filem Antarabangsa.

Saya juga mencadangkan agar Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) membuat satu forum yang membincangkan keberkesanan mereka mengangkat budaya dan bahasa Melayu di peringkat dunia.

Inilah orang Melayu dan budaya Melayu, suka mengkritik. Nampaknya Melayu yang paling hebat ialah Melayu yang hebat kritikannya, bukan cadangannya! Untuk KRU, teruskan usaha anda. Ramai generasi muda di belakang anda!

FAUZI ABU BAKAR
Guar Cempedak, Kedah

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...