terima kasih buat kalian semua..

Sunday, May 22, 2011

Jerat percintaan buat ramai gadis merana !!!


Mimpi indah bertukar ngeri selepas hati ibu sudah dirobek

CINTA membuatkan dunia berputar. Cinta juga boleh membuatkan orang hilang akal. Biasalah apabila rindu dendam mencengkam perasaan hidup memang tak keruan. Lebih parah apabila cinta tak berbalas, mata terkebil-kebil bagaikan pungguk merindui bulan. Tempat paling tinggi pungguk boleh hinggap atas dahan pun ada hati nak rindu bulan yang jauh beribu batu. Tetapi itu pungguk, jenis unggas yang otaknya mungkin sebesar biji jagung.
Manusia otaknya besar juga. Tetapi acap kali kita pun tak boleh fikir panjang apabila sedang mabuk cinta. Lalu macam-macam kita buat atas nama cinta. Penyanyi Indonesia, Krisdayanti dan kekasihnya ketika itu, Raul Lemos bercium mulut di depan sekumpulan wartawan kerana cinta sedang membara

Episod pahitnya, beberapa hari lalu di Alor Setar, timbul cerita tukang masak berusia 50-an sanggup menikam seorang jurutera gara-gara berang kerana mangsa mahu memutuskan hubungan. Dalam kejadian itu, graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ratna Suffizahriyanti Omar dan lelaki itu dikatakan bertengkar sebelum suspek bertindak menikam mangsa di dada dan tangan bertubi-tubi.

Hancur luluh hati ibu bapa dan keluarga mendengar tragedi sebegitu. Tidak mustahil arwah Ratna adalah harapan keluarga kerana bukan calang-calang kerjanya. Memang sedih kerana gara-gara cinta orang mudah hilang pertimbangan. Namun masa tengah asyik mahsyuk, jangan cuba-cuba lontar nasihat satu atau dua. Reaksinya macam boleh tercetus perang dunia ketiga. Begitulah juga kes sesetengah anak gadis yang sanggup buang emak, buang saudara dan buang segala-galanya gara-gara cintakan pemuda asing.

Bukan lagi rahsia, ada anak gadis yang menjalin hubungan dengan rakyat Afrika, diri sendiri yang sengsara. Berkenalan di laman sosial Facebook akhirnya menjerat diri sendiri apabila mereka dijadikan ‘keldai dadah’. Dek cintalah mereka hilang akal tak boleh berfikir panjang bahawa berurusan dengan dadah memang mengundang padah.

Awal minggu, kita dipaparkan dengan kisah gembira bukan kepalang seorang ibu apabila anaknya yang sudah 13 tahun berkahwin dan tinggal di Lombok, akhirnya mengambil keputusan untuk kembali menjenguk keluarga. Nooriah Abdullah, 30, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Mat Sirat jam 11 malam Ahad lalu daripada Surabaya. Tolak campur, Nooriah ketika nekad tinggalkan keluarga, baru saja berumur 17 tahun.
Maka gugurlah air mata ibunya, Mak Dayah (Dayah Sibun) tatkala menyambutnya di lapangan terbang. Teman faham sangatlah hati seorang ibu macam Mak Dayah. Nooriah ketika hilang masih anak dara, apabila pulang 13 tahun kemudian sudah jadi isteri orang dan sudah beranak, bukan satu tetapi dua. Teman dan barangkali orang lain yang membaca turut berkongsi rasa sebak dan terharu. Macam-macam bersarang di hati dan minda.

Al-kisah, Nooriah hilang selepas kononnya hadir majlis kenduri. Rupa-rupanya dia lari mengikut seorang pemuda Lombok. Kisah yang berlaku terhadap keluarga Mak Dayah bukan kes terpinggir. Mengikut statistik organisasi sukarela Perhimpunan Indonesia Untuk Buruh Migran Berdaulat (Migrant Care), kira-kira 600 wanita negara ini kahwin lari dan kini berada di Lombok. Maklumat Pergerakan Puteri Umno pula mendedahkan lebih 500 wanita dilarikan ke daerah itu.

Ceritanya sama saja – jatuh cinta tak kiralah pandangan pertama atau kali ke seribunya dengan pemuda Lombok. Tetapi cinta dihalang keluarga kerana barangkali kata ibu bapa, belum masa untuk mendirikan rumah tangga. Tetapi itulah... rasa cinta mengatasi segala-galanya. Namun ada juga laporan yang berkata, ada anak gadis yang bagaikan sudah dipukau dan bertindak macam kerbau dicucuk hidung. Ada juga yang mengaitkan kejadian ini kerana adat turun temurun orang Lombok. Macam kes Nooriah, dia mengambil masa 13 tahun untuk kembali menjenguk bonda dan ahli keluarga yang lain.

Ada kes korban cinta Lombok, tahap kesabaran mangsa sekadar sebulan dua saja. Kalau sudah saban hari asyik makan nasi dengan garam bersulamkan air yang belum tentu masaknya, rasa cinta hangat membara boleh sejuk bedi. Ketika itu baru sedar langit tinggi rendah.

Terbaru berlaku pula kepada keluarga Pak Azmi (Azmi Sulaiman). Anaknya Azlina berkahwin dengan pemuda Lombok tiga tahun lalu. Tiga bulan pertama melayari kehidupan sebagai isteri di Lombok, peritnya mula terasa. Hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ada yang tak sempat nak kais-kais lagi, lalu ada hari tak dapat makan. Hidup lebih tertekan apabila sudah beranak pinak lalu Azlina kerap menghubungi keluarga untuk berkongsi sengsara.

Begitulah rona kehidupan kita yang penuh rencah seperti juga akhbar Berita Minggu yang semakin berwarna-warni dengan kisah kehidupan manusia yang melangkaui semua benua. Manis, masin, kelat dan pahit pasti ditelan tetapi yang penting, kita belajar daripada setiap pengalaman. Orang kata, pengalaman itulah mendewasakan kita semua.

Sudahlah tu... jangan lagi dirobekkan sekeping hati seorang ibu, yang kasihnya memang tiada noktah, gara-gara cinta gila. Hakikatnya siapalah kita tanpa seorang wanita yang ‘berkorban nyawa’ untuk melahirkan kita ke dunia dan membesarkan kita daripada tapak kaki sebesar dua jari sehingga kini. Mereka tak minta dibalas segala jasa dan pengorbanan kerana cinta ibu tiada syaratnya. Memadailah dengan menghormati dan mengerti perasaan mereka. Hargailah ibu selagi hayat dikandung badan kerana hidup kita bukan untuk menongkat dunia.

Oleh Hanizam Abdullah


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...