terima kasih buat kalian semua..

Monday, May 16, 2011

Kisah Suamiku dikawal kakak...


SAYA telah berkahwin lebih tahun lalu, kini mempunyai seorang cahaya mata. Hidup kami suami isteri amat bahagia. Tetapi saya tak faham mengapa suami saya masih dikawal oleh kakaknya.

"Sikap kakak ipar beginilah membuatkan hati saya sentiasa membengkak. Lebih malang suami saya, Sham tak berani bersuara sebaliknya sentiasa mematuhi arahan kakaknya." Demikian cerita Farrahaniah dalam e-melnya.

"Sham kehilangan kedua-dua orang tuanya semasa remaja. Dia dibesarkan oleh kakak sulungnya, Kak Nana di rumah pusaka ayahnya. Pada awal perkahwinan saya tak nampak sebarang masalah. Malah kami bergilir pulang ke kampung masing-masing kerana masih belum punya rumah sendiri.

"Sebelum berkahwin Sham tinggal di bilik kecil, tetapi lepas kahwin Kak Nana suruh kami pindah ke bilik lebih besar. Baguslah. Jadi di bilik itulah kami memadu kasih dan saya menjadikan bilik itu amat peribadi buat kami suami isteri.

"Masalah mulai timbul apabila Kak Nana sering benarkan adik-beradik lain serta anak-anaknya malahan orang luar melepak, berkumpul dan berbual di bilik kami. Seolah-olah bilik kami itu bilik untuk tetamu.

"Tentu siapa pun tak suka dengan perbuatan itu. Mungkin pada orang lain masalah ini biasa sahaja, tetapi pada saya perbuatan Kak Nana mengganggu hubungan kami suami isteri, kerana bilik kami amat peribadi dan sulit untuk dikongsi bersama orang lain.

"Kerap kali Sham ingatkan Kak Nana bahawa kami tidak suka bilik kami jadi tempat adik-beradik, ipar duai dan tetamu beristirehat ataupun menjadi tempat persinggahan, namun Kak Nana pekakkan telinga, malah, memberitahu bilik itu memang dah biasa jadi persinggahan tetamu dan adik-beradik. Itu dulu, kini ia menjadi milik kami.

"Rumah pusaka itu ada tiga bilik kosong yang lain. Kerana rumah itu hanya Kak Nana anak beranak saja yang tinggal, yang lain sudah berkahwin dan berpindah. Sementara suami Kak Nana tinggal di selatan tanah air kerana tugas. Kak Nana tidak dapat ikut bertukar.

"Kerana kedegilan Kak Nana kami tidak tinggal lagi ke rumah tersebut, walaupun di bilik itu masih tinggal perabot yang kami beli dari titik peluh kami sendiri. Kalau kami balik pun sekejap sahaja untuk bertemu saudara mara. Sebab saya tak seronok lagi. Kami tinggal di rumah emak saya, kerana bebas dari gangguan.

"Seperkara lagi Kak Nana pantang dapat tahu adik-adiknya nak balik kampung, dia akan pastikan kami mesti balik dan tidur di rumah pusaka. Dia tak peduli sama ada kami sudah ada program sendiri. Namun kami wajib balik. Tak lama selepas kami pindah, Kak Nana dapat pindah ikut suaminya, tetapi bila adik-beradiknya balik kampung dia tetap akan pulang. Tak kiralah sama ada hari raya atau cuti umum yang panting kami mesti balik kumpul adik beradik. Dia lebih rela tinggalkan suami dan anak anak beberapa hari di rumah semata-mata berkumpul bersama adik-beradiknya.

"Akhir-akhir ini sikap Kak Nana semakin melampau, dia suka ambil tahu tentang rumah tangga kami. Bila kami lama tidak pulang kampung, Kak Nana akan panggil semua adik-beradiknya balik dan tanya Sham mengapa kami tidak bermalam di rumah.

"Bagi saya perkara begitu tidak sepatutnya berlaku, Kak Nana patut sedar Sham sudah berkeluarga dan sepatutnya dia dilepaskan daripada kawalannya. Perbuatan Kak Nana seolah oleh tak rela adiknya berkahwin dan bebas daripada cengkamannya.

"Kami suami isteri sering bertengkar kerana sikap dua orang kakak ipar saya itu. Saya pernah beritahu Sham sekiranya terjadi perkara tak baik dalam rumahtangga kami, Kak Nanalah puncanya. Kak Ngah pula bila saja pulang kampung selalu menyuruh kami berjumpanya. Kalau boleh dia ingin kami berada bersamanya selama mana dia ada di kampung. Maklum dia tinggal di luar negara.

"Saya sedar mereka rapat adik-beradik sejak kematian orang tua mereka, tetapi berilah peluang kepada kami suami isteri hidup bebas tanpa cengkaman mereka.

"Seperkara lagi, semua harta pusaka kedua-dua ibu bapanya dikawal selia oleh Kak Nana. Bukannya saya jenis gila harta, tetapi memandangkan sikap Kak Nana suka mengawal, saya sekadar ingin tahu sejauh mana amanah Kak Nana dalam pembahagian harta antara mereka.

Kata Sham, tanah arwah orang tuanya memang ada, tetapi dia sendiri tidak tahu di manakah letak bahagiannya.

"Semuanya Kak Nana uruskan, termasuklah hasil bulanan peninggalan arwah orang tuanya. Perkara yang amat saya tidak puas hati apabila duit hasil bulanan yang diterima sepatutnya dibahagikan mereka adik-beradik akan dikumpul dan disimpan dahulu oleh Kak Nana. Jjika Kak Nana bercadang mengadakan majlis makan atau kenduri, maka duit itulah akan digunakannya. Pada pandangan saya bukanlah lebih baik hasilnya dibahagi sama rata supaya tidak ada umpat keji.

"Bukannya saya nak berkira, tetapi gaji Sham kecil, setaraf kerani saja. Tambahan saya tidak bekerja, sudah tentu pada zaman ini sekadar gaji kerani sahaja tidak cukup untuk menampung hidup kami sekeluarga. Ditambah pula dengan anak yang masih kecil, mana nak beli lampin, susu, pakaian, bil letrik dan bil air?

"Kalaulah duit tersebut diagihkan mengikut hak masing-masing maka ringanlah bebanan suami saya daripada mengadakan majlis makan dan kenduri ikut kehendak Kak Nana sebagai sedekah kepada orang.

"Namun kami suami isteri tak boleh bersuara. Kak Nana memang tak boleh ditegur. Dia sudah terbiasa mengawal adik-adik mungkin kerana dia anak sulung. Tetapi berpada-padalah kerana kami semua telah berkahwin. Masing-masing sudah ada tanggungjawab dan perancangan hidup sendiri.

"Harapan saya janganlah ada yang bercerai berai kerana sikapnya sudahlah. Tujuan saya bercerita ini bukanlah berniat untuk memburukkan Kak Nana, namun saya tetap berharap dia akan sedar sekiranya terbaca luahan hati saya ini. Saya sentiasa berdoa agar Allah tunjukkan jalan dan membuka hati Kak Nana agar tahu batasan tanggungjawabnya dan kawalan terhadap adik-adiknya.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...