terima kasih buat kalian semua..

Thursday, May 5, 2011

Pintu sempadan biarlah kebal pendatang asing !!!


Jangan sampai kebanjiran warga luar ganggu keamanan rakyat

AGAKNYA bilakah rakyat negara ini boleh bernafas lega semula bebas daripada belenggu warga asing dan tidak lagi dilanda pelbagai kerenah negatif mereka itu hingga boleh pula mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

Penjawat awam pula bermata duitan hingga sanggup mengkhianati negara tanpa mengambil kisah tindakan mereka membenarkan kebolosan ketara di sempadan dan di pintu masuk yang mendatangkan pelbagai ancaman kepada rakyat, asalkan mereka dan anak isteri boleh hidup mewah dengan duit haram

Ini semua adalah juga gara-gara sikap kerajaan sendiri yang seolah-olah membenarkan kebanjiran itu tanpa bertindak serius mahu membanterasnya. Sudah banyak diperkatakan mengenai kerenah pendatang ini hinggakan memberi persepsi pihak berkuasa sendiri juga sudah tidak lagi bermaya dan amat lesu untuk menanganinya. Oleh itu salahkah anggapan rakyat yang prihatin bahawa pihak berkuasa sendiri tidak mengetahui cara terbaik menyekat kebanjiran yang begitu ketara sekarang.
Pelbagai persoalan yang ditimbulkan tidak mendapat reaksi serius daripada pihak berkuasa. Apakah mereka sudah tidak kisah dengan berleluasanya kejadian jenayah setiap hari membabitkan pendatang asing?

Rakyat pula berterusan saja disajikan berita bagaimana anak gadis kita yang majoritinya Melayu begitu mudah dipengaruhi teman lelaki atau kenalan untuk menjadi keldai dadah. Yang menghairankan kenapa gadis ini termasuk lulusan universiti pun begitu mudah mempercayai teman yang baru mereka kenali kebanyakannya dari Afrika dan Iran.

Kemudian ada saja berita bagaimana ada antara gadis Melayu begitu mudah dibawa lari ke Lombok, Kalimantan dan tidak berapa lama dulu ke Bangladesh tanpa pengetahuan ibu bapa atau sanak saudara hanya kerana hendak mengikuti teman lelaki yang memberikan janji manis.

Persoalannya bagaimana mereka ini dengan begitu mudahnya dipengaruhi lelaki Indonesia, Bangladesh, Afrika dan Iran hidung belang tanpa mengesyaki sesuatu? Apakah mereka tidak tahu bagaimana susahnya kehidupan orang biasa di Lombok atau Bangladesh? Apabila tiba ke destinasi itu barulah sedar betapa peritnya kehidupan yang mereka perlu lalui. Apakah mereka juga tidak tahu bahawa bungkusan yang diberikan kepada mereka untuk dibawa bersama keluar negara adalah dadah?
Usaha pertama ialah dengan melengkapi semua anak gadis kita dengan kekentalan dan kekuatan diri supaya tidak senang diperdayakan. Tidakkah boleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berusaha dengan kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin untuk menghalang anak gadis kita ini supaya tidak begitu mudah dipengaruhi anasir berniat jahat ini supaya mereka dapat menghidu janji manis kosong.

Tindakan kedua ialah dengan pihak yang bertanggung jawab menjaga sempadan dan setiap pintu masuk negara ini tidak mudah dibolosi pendatang khususnya yang berniat buruk untuk melakukan jenayah. Begitu berleluasanya mereka ketika berada di sini sehingga memberi gambaran betapa lesu dan tidak bermaya pihak berkuasa untuk membanteras kemasukan anasir pendatang berniat buruk ini.

Kita sering membaca bagaimana pihak berkuasa imigresen dan polis menyerbu sarang maksiat yang mana ada ramai gadis muda pendatang memberi khidmat seks kebanyakannya ke negara ini tanpa permit sah dan mungkin pula mangsa sindiket perdagangan manusia. Maka televisyen pun dipanggil dan merakamkan mereka yang ditahan. Anehnya gadis ini saja yang ditahan. Bagaimana orang yang bertanggungjawab membawa mereka ini masuk dan pengusaha tempat urut dan karaoke? Apakah mereka pernah dihadapkan ke pengadilan? Kalau tidak kenapa?
Susah sangatkah untuk menyiasat bagaimana mereka ini berterusan membawa masuk gadis itu? Susah sangatkah untuk menjejaki tauke sarang maksiat atau apakah mereka ini mempunyai pelindung? Susah sangatkah untuk mengetahui pegawai imigresen mana yang membenarkan mereka masuk dengan mudah?

Kita sememangnya mengalu-alukan pelawat yang benar-benar mahu melancong atau yang benar mahu belajar di IPT bukannya mereka yang ke negara ini dengan niat jahat. Inilah yang sepatutnya dilakukan antara Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pelancongan dan Kementerian Pelajaran Tinggi untuk berusaha dengan lebih berkesan, menyeluruh dan berterusan membanteras gejala buruk ini hingga ke akar umbinya.

Laporan tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk 2010 mengenai wujudnya segelintir anggota Imigresen Malaysia disogok untuk membenarkan pendatang asing memasuki negara ini bukanlah suatu yang menggemparkan kerana persoalan bagaimana begitu ramainya pendatang asing boleh ke negara ini sering ditimbulkan akhbar.

Apa yang dikatakan SPRM dalam laporan itu adalah berdasarkan laporan akhbar ini yang mendapat pengiktirafan bagi kedua-dua wartawannya dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Kajai, hadiah tertinggi untuk kewartawanan negara, Jumaat lalu.

Ini hanya di jeti penumpang di Pulau Ketam Pelabuhan Klang dan membabitkan pendatang dari Indonesia saja. Bagaimana pula dengan ribuan pendatang dari Cina, India, Vietnam, Kemboja, Afrika, Iran, hatta dari Amerika Selatan pun seperti dari Mexico, Peru, Columbia dengan mudah bolos ke negara ini dari puluhan pintu masuk lain.

Ada yang menggunakan visa pelajar kononnya untuk melanjutkan pelajaran mereka ada juga dengan alasan lain. Kenapa institusi pengajian tidak pula dikenakan tindakan kerana bersubahat memasukkan ramai daripada mereka ke negara ini bukan untuk belajar tetapi untuk menjalankan pelbagai kegiatan penipuan. Maka itu Kementerian Dalam Negeri yang memikul tanggungjawab besar untuk menghapuskan gejala ini harus menunjukkan sikap bersungguh-sungguh mahu membanterasnya.

Kini sudah ada hampir empat juta rakyat asing, separuh daripada mereka berada di sini secara haram. Tidak menghairankan wujudnya berpuluhan koloni pendatang asing ini di merata hingga mengganggu rakyat tempatan dengan pelbagai jolokan ‘kampung Kemboja’, ‘kampung Bangla’ dan sebagainya.

Sempadan kita dan setiap pintu masuk udara hendaklah dikendalikan dengan cekap dan tegas supaya negara tidak begitu mudah dibolosi. Punca untuk membanteras kemasukan mereka ialah dengan menentukan semua pintu masuk dikawal rapi supaya tidak berlaku ketirisan.

Jika ini dapat dilaksanakan dengan berkesan tentunya tidak perlu lagi RELA, penguat kuasa imigresen, pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM3) dan agensi lain membuat serbuan demi serbuan yang kelihatan tidak berkesudahan kerana begitu mudahnya mereka memasuki negara ini.

Oleh Rejal Arbee



Penulis ialah Felo Kanan UKM

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...