terima kasih buat kalian semua..

Saturday, May 7, 2011

Rumah tangga dikongkong mentua !!! Apa nak buat????


PERKAHWINAN bagi lelaki adalah untuk berkongsi hidup dengan orang yang dinikahinya, iaitu isteri.

Namun apa akan jadi jika si isteri masih di bawah kawalan ibu bapa dan tidak mendengar kata suami walaupun sudah bertahun-tahun berkahwin?

Agaknya benar kata orang, setelah bernikah elok tinggal jauh daripada mentua kerana bimbang akan membawa bala dalam hubungan suami isteri. Inilah yang dialami oleh Fendi (bukan nama sebenar) berusia awal 30-an, seorang pegawai kanan kerajaan yang telah enam tahun bernikah dengan Nida (bukan nama sebenar), seorang kerani.

Perkahwinan Fendi dan Nida telah diatur keluarga. Biarpun tidak bercinta seperti pasangan lain, Fendi yakin mereka akan bahagia. Majlis perkahwinan mereka meriah dan setelah bernikah, Fendi dan Nida tinggal bersama keluarga Nida kerana dia anak bongsu dalam keluarga.

Sayangnya bahagia yang diharapkan tidak menjadi apabila keluarga mentua mula mengatur hidup mereka setelah setahun berkahwin. Kita ikuti kisah selanjutnya seperti mana diceritakan oleh Fendi kepada saya.

"Saya telah bertegas, setelah kahwin saya akan membawa isteri tinggal berasingan daripada keluarga dan mentua. Malangnya mentua meminta kami tinggal bersama mereka untuk sementara dengan alasan isteri saya anak bongsu.

"Akur kehendak mentua, saya setuju. Sepanjang tinggal bersama mereka, saya nampak isteri tidak mendengar cakap saya. Dia banyak mengikut kata ibu bapanya. Apa yang saya cakap, banyak yang dia bantah tetapi apabila mentua saya berkata dan menyuruh sesuatu dia akan melakukannya tanpa membantah.

"Menyedari keadaan akan bertambah buruk jika saya tidak berpindah, saya mengajak isteri tinggal berasingan. Rancangan kami ditentang keras oleh keluarga mentua. Isteri pula macam keberatan mengikut saya.

"Mereka tetap mahu kami terus tinggal di rumah mereka kerana tidak mahu berpisah dengan Nida. Saya pelik kenapa mesti bergantung pada Nida, sedangkan mereka masih mempunyai dua orang anak yang lain.

"Saya beralah lagi. Masuk tahun kedua, saya tidak boleh tahan sabar lagi. Keadaan semakin tegang. Nida yang mula-mula saya kenal - lemah lembut, mendengar kata dan patuh kepada kata-kata saya, tetapi kini sudah berani melawan cakap saya dan selalu menyalahkan saya dalam semua masalah yang berlaku di dalam rumah.

"Saya akui ibu bapa menjadi keutamaan tetapi sebagai suami, saya juga ada hak ke atas dirinya. Pernah dia memarahi saya kerana tidak pulang awal untuk membawa ibu bapanya ke pekan, sedangkan dia tahu saya ada urusan yang harus diselesaikan.

"Dia juga selalu membuat keputusan penting tanpa memberitahu saya kerana didesak oleh ibunya yang pada saya mata duitan. Setiap kali cukup bulan, pasti ibunya akan meminta sesuatu.

"Makan angin menjadi agenda penting dalam hidup ibu bapa mentua saya. Boleh dikatakan setiap cuti sekolah dia mahu pergi bercuti. Isteri akan memaksa saya mengambil cuti dan mengikut mereka. Setiap kali bercuti, saya terpaksa berhabis beribu ringgit. Minyak, hotel, membeli-belah, makan minum semuanya saya yang tanggung. Bayangkan kalau setahun lima kali bercuti, berapa banyak wang saya habis?

"Pernah saya suarakan rasa tidak puas hati saya kepada isteri, dia melenting dan berkata saya berkira. Saya juga perlu fikirkan tentang ibu bapa saya. Kalau saya boleh berbelanja dan berhabis duit untuk mentua, kenapa tidak untuk ibu bapa saya. "Sayangnya isteri tidak mahu faham. Dia kalau boleh, mahu saya layan ibu bapanya sahaja. Saya juga ada ibu bapa yang perlu dijaga hati dan perasaan mereka. Ini tidak, dia asyik lebihkan ibu bapanya sahaja.

"Banyak kali saya ajak dia pindah, alasannya tetap sama, nak jaga ibu bapanya. Sampai bila? Kenapa dia yang perlu bersusah payah sedangkan dia ada abang dan kakak? Mereka langsung tidak ambil kisah dengan ibu bapa mereka kerana tahu saya dan isteri ada bersama tinggal di rumah itu. Perbelanjaan rumah, bil api, air dan segala-galanya di bawah tanggungjawab saya dan isteri.

"Mentua pula asyik minta macam-macam. Kadang kala saya naik rimas tetapi ikutkan juga sebab tidak mahu bising. Kawan-kawan nasihatkan saya pindah sahaja dari rumah itu.

"Kata mereka susah senang hidup sendiri boleh kita selesaikan sendiri tanpa campur tangan mentua.

"Saya telah membeli sebuah rumah dalam diam tanpa pengetahuan isteri. Hajat saya memang hendak pindah sebelum bulan Ramadan ini. Saya akan beri kata dua kepada isteri, sama ada ikut saya atau saya akan bertindak sebagai suami.

"Saya akan beritahu mentua keputusan saya untuk berpindah. Saya juga akan maklumkan yang saya sudah membeli rumah untuk saya dan isteri membina hidup baru. Saya akan membawa Nida bersama.

"Jika Nida enggan, saya akan buat keputusan tentang hubungan kami. Dayus kalau saya terus hidup di bawah telunjuk isteri dan mentua yang tidak tahu menghormati hak saya sebagai suami.

"Saya berharap isteri saya jika terbaca ruangan ini cepat sedar dan insaf dengan sikapnya. Kepada mentua juga saya berharap perkara yang sama. Bimbinglah anak menantu ke jalan yang baik, jangan pesongkan mereka ke arah keburukan kerana itu akan membinasakan hidup mereka.

Begitu Fendi menamatkan ceritanya. Semoga rumah tangga Fendi akan kembali pulih dan mentuanya juga akan menerima hakikat anak bongsu mereka telah menjadi isteri orang.

6 comments:

  1. ramai isteri tak sedar yg "syurga" dia dibawah tapak kaki suami.
    bukan pasangan muda jer, yg tua pun camtu. kalu tak, takkan la tua2 pun bergaduh...

    ~z

    ReplyDelete
  2. kes u same macam i... cuma i xduduk sebumbung with parent in law... but MIL stil masuk campur hal rumahtanga ktorg... Mil mmg suka control baik husband sendiri and anak menantu ni...nak semua orang ikut and dengar cakap dia...
    hubby memang anak yang baik... dia taat ngn parent dia.. tapi... i xsenang bila ada third party masuk campur hal rumahtanga i...
    bagi i biar hubby i berdikari sendiri... jadi ketua keluarga dalam rumahtanga ktorg... boleh buat keptusan sendri... nak tanya pendapat mak dia xsalah... tapi jangan ikut bulat2... ini x... apa mak dia cakap semua ikot... biar pon tau xkena...
    MIL i suke jaja cerita hal buruk menantu kat org lain... ada je yang xkena menantu tu kat mata dia... tp i xkisah... sebab i da tau.. 1st impression MIL mase mula2 hubby bwk i jumpa mummy dia... dari situ i da tau his mummy mmg xsuka i...
    sebab kan MIL suke amek tau hal rumahtanga anak2 dia... me and hubby gaduh besar and nyaris2 divorce...
    MIL datang jumpa i... and tanya i...dah xsuka and xbahagia ker with his son..??.. dia cakap kalo da xbahagia dia nk jumpa parent i and nak lepas kn i dgn cara elok... tediam i mase tu... tp i setuju...
    bila nk jumpa parent i.. ade je halangan... bila i free hubby ada hal... then bila hubby free i lak ada hal... last2 kes snyp mcm tu jer...
    now me ngan hubby da ok... and huby da tunjuk sifat ketua keluarga dia... ktorg akan discus sama2 kalau hal rumahtanga ktorg.. i kalau boley xnak jd mcm his mummy aturkan ape yang dia kena buat... i nak dia buat keptusan sndri...
    but me with his femili stil xbaik smpi skrg...

    ReplyDelete
  3. Ohhh kes saya pula,saya anak perempuan bongsu.masalah saya,bukan mil yg kongkong tp ibu sy sendiri sampaikan kadang kadang nak ikut ckp suami,rasa bersalah dgn mak sendiri. Entahla.munkin saya banyak dosa.ujian dtg.tp alhamdulillah setiap ujian yg dtg,ade hikmah.

    ReplyDelete
  4. Kesiannya. Kena tegas juga. Sebab kuasa pada suami. Kalu nak ikut mak di bersedialah jadi janda nanti baru dia dan keluarganya tau langit tu tinggi atau rendah. Sabar pun kena ada hadnya.

    andika

    ReplyDelete
  5. kes saya plak..kene duduk rumah ibu sndri,suami kene ulang alik dari utara k kl sebulan sekali nak tgk anak bini...sbny ibu tak bleh berpisah dgn cucu,nak tido dgn anak pun tak bleh,kene ade shift..siang dgn kami.malam dgn ibu..

    ReplyDelete
  6. emmm... saya ingat saya sorang jer mengalaminya... rupanya ramai juga yg sekapal... kadang2 susah nak cakap... cara nasihat lembut sudah, bergaduh besar sampai nak berpisah pun sudah... benar, mmg susah kalau ada campurtangan keluarga baik dari pihak suami atau isteri... suami/isteri tak reti nak hidup berdikari... susah senang sendiri tanggung... masih nak bergantung dgn keluarga... mmg rumahtangga akan porak peranda... mmg merimaskan... rumah tangga sendiri di buat mcm "drive thru"... si suami / isteri plak, kalau dah dapat sokongan dari keluarga / kuat tulang belakang nya, tak ubah mcm kaduk naik junjung... benar, sabar mmg ada had nya sb kita manusia... adakalanya terlalu byk yg di korbankan... kerana sygkan rumahtangga dan masa depan anak2... terpaksa di telan juga biarpun menjadam... kalau nak "peram" mcm tu, baik dari awal tak payah bagi kahwin, betul tak ?... bukan berdendam, tp sy cuma yakin, satu masa kita akan tua, kita juga akan terima menantu... what goes around comes around... kita akan terima bahagian kita, mungkin setara, mungkin juga lebih hebat dari itu... Allah tu Maha Adil... samada tahan atau tidak je nak menerima nya... jgn tunggu bila nyawa dah sampai kat kerongkong, baru nak sedar hakikat... mungkin ketika itu segalanya dah terlambat... masa tu, siapa pun tak boleh nak tolong... biarpun keluarga bangsawan setinggi langit... yg pasti akan merasa kesal sehingga membawa ke liang lahad... jika segala telah dilakukan utk mengubah pasangan, yg mengubah sesorang tu dgn izin dan kehendak Allah... biar apa pun pahit getir dala rumah tangga, pasti ada hikmah... kerana perancangan Allah buat kita pasti yg terbaik... (kata2 tu yg membuat diri sedikit lega... keyakinan kita kepada yg Pencipta diri kita)...

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...