terima kasih buat kalian semua..

Monday, May 16, 2011

sikap Ahli Parlimen di luar Parlimen...


ANGGOTA-anggota Parlimen Malaysia daripada pelbagai kaum termasuk mereka yang berpelajaran tinggi, bekas tenaga akademik, profesor, peguam, doktor, jurutera, eksekutif perniagaan dan korporat yang berjaya dan lain-lain profesion.

Kita boleh menganggap mereka sebagai golongan elit yang tertinggi di negara ini kerana selain berkelayakan, mereka juga berada di Dewan yang mulia itu sebagai penggubal undang undang negara.

Oleh kerana peraturan Dewan yang membenarkan hanya bahasa Melayu digunakan, maka kesemua mereka bercakap dalam bahasa Melayu sepenuhnya, malah Dewan Negara dan Dewan Rakyat telah menjadi medan bagi anggota bukan Melayu yang tidak fasih berbahasa Melayu untuk melatih diri mereka bertanya, berdebat atau menyampaikan fikiran dalam bahasa Melayu.

Peraturan ini menyebabkan ramai anggota bukan Melayu yang mulanya tidak dapat berbahasa Melayu dengan baik, tetapi setelah sekian lama berada di Dewan itu petah berbahasa itu dan dapat menguasainya dengan baik seperti Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Karpal Sing dan ramai lagi anggota DAP bukan Melayu di samping menteri-menteri bukan Melayu.

Malah boleh dikatakan beberapa orang anggota Parlimen bukan Melayu dapat bercakap dalam bahasa Melayu lebih baik daripada anggota Parlimen Melayu sendiri.

Maka itu, daripada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri dalam mengemukakan rang undang-undang, berbahas, menjawab dan sebagainya menggunakan bahasa Melayu dengan sepenuhnya.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendapat kesedaran baru apabila melawat ke Republik Rakyat China dan menghadapi realiti pemimpin-pemimpin China walaupun berkomunikasi dengannya dalam bahasa Inggeris, tetapi apabila berucap dalam majlis-majlis menggunakan bahasa Cina.

Bagaimanapun, sikap mereka adalah berbeza dengan sikap pemimpin-pemimpin negara kita yang apabila berucap di majlis-majlis atau upacara-upacara tempatan yang dihadirinya terdiri daripada kalangan profesional bukan Melayu seperti kalangan perniagaan, korporat, ahli-ahli bank, eksekutif kewangan atau golongan teknokrat. Mereka merasa rendah diri untuk berucap dalam bahasa Melayu.

Apakah pemimpin-pemimpin kita menganggap golongan elit di luar Parlimen lebih tinggi martabat dan kemuliaannya daripada anggota-anggota Parlimen yang mesti dihormati dengan penggunaan bahasa Inggeris?

Saya percaya sikap pemimpin-pemimpin kita ini adalah kerana keraguan mereka terhadap kemampuan memahami bahasa Malaysia dalam kalangan profesional tempatan atau ketidakupayaan pemimpin-pemimpin sendiri untuk menyampaikan fikiran dan perasaan dengan sepenuhnya dalam bahasa Melayu.

Saya sesungguhnya tidak bersetuju jika Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri berucap dalam bahasa Melayu kepada tetamu-tetamu dari luar negara yang memahami bahasa Inggeris seperti sikap pemimpin-pemimpin negara China dan Indonesia, tetapi kepada rakyat kita sendiri, wajarlah kita sebagai pemimpin menjadi contoh kepada semangat nasionalisme yang sejajar dengan Perlembagaan negara.

Tidaklah seharusnya golongan profesional di luar Parlimen dihormati dan dimuliakan lebih daripada anggota-anggota Parlimen. Ini melambangkan sikap rakyat tidak diutamakan.

Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri haruslah sedar bahawa profesional bukan Melayu di luar Parlimen adalah generasi baru yang memahami bahasa Melayu dengan baik.

Lihatlah kemampuan para doktor, peguam, jurutera dan lain-lain profesional bukan Melayu berbicara bahasa Melayu dalam berbagai program-program bahasa Melayu di televisyen.

Barangkali sudah sampai masanya sesudah 50 tahun merdeka, pemimpin-pemimpin kita mempunyai kesedaran terhadap harga diri supaya rakyat tidak berasa terpisah dan terhina dengan sikap mereka yang terlalu elitis.

TAN MALAKA
Putrajaya

1 comment:

  1. ah? dah 50 tahun medeka? betul ke ni? mimpi kah aku? argh sambung tidur lagi baik....
    zzzzzzzz
    zzzzzzzz
    zzzzzz
    zzzz
    zz
    ~z

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...