terima kasih buat kalian semua..

Friday, June 3, 2011

Akidah terpesong jika percayakan al-Quran sekadar penghalau hantu !!


MASYARAKAT kini dimomokkan ayat al-Quran untuk ‘menghalau hantu’, sedangkan Islam mahu umatnya mengetahui keseluruhan al-Quran. Paling malang,
anak kecil jadi takut ke bilik air selepas menonton cerita seram

HAMPIR setiap hari kita dihidangkan cerita seram sama ada drama di kaca televisyen, atau filem di layar perak hingga menjadi fenomena baru dalam industri filem tanah air. Penerbit berlumba-lumba menerbitkan drama dan filem seram kerana percaya bakal mendapat sambutan dan mempunyai khalayak yang sentiasa ternanti-nantikan cerita seumpamanya. Filem seram walaupun mendapat sambutan hebat, mewujudkan kebimbangan ia boleh memesongkan akidah kerana terlalu percaya bahawa kuasa ghaib ini boleh 'membantu' manusia mencapai hajat mereka

Sebahagian besar masyarakat kita juga seolah-olah ketagih untuk menonton filem seram kerana rasa takut menyeronokkan dan terhibur sekali gus melupakan seketika masalah dihadapi.

Menonton filem seram umpama makan cili api atau makan sambal belacan, walaupun pedas sehingga mengalir air mata, namun terus dijamah, kata pendakwah bebas, Datuk Zawawi Yusof.

Menurutnya, filem seram memberikan keuntungan besar kepada penerbit dan pada masa sama menjadi satu gejala kerana menimbulkan ketakutan melampau kepada orang ramai terutama kanak-kanak.
Beliau yang juga pakar motivasi, berkata kesan emosi kepada penonton begitu kuat seperti takut di tempat sunyi dan gelap, jika ada kedengaran bunyi atau berlaku sesuatu mereka terus beranggapan wujud makhluk halus.

“Jin atau hantu yang dipaparkan dalam filem dilihat mempunyai kuasa hebat sehingga boleh menguasai apa saja dan membuat anak takut pada kehidupan harian kerana percaya di sekeliling mereka ada kuasa jahat.

“Filem seram juga membuka ruang kepada golongan tertentu untuk mencari bomoh termasuk yang mengamalkan ilmu hitam kononnya dapat menghalang kuasa jahat lain juga di kalangan jin dan iblis, sepatutnya kita takut kepada kuasa Allah SWT,” katanya.

Lebih malang, masyarakat melihat ayat al-Quran hanya digunakan untuk menghalau hantu, sedangkan al-Quran diturunkan sebagai panduan hidup manusia sejagat.

Beliau berkata, disebabkan penggunaan ayat al-Quran dipaparkan sebegitu, sesetengah umat Islam hanya mempelajari ayat yang dapat menghalau hantu seperti ayat Kursi sehingga kurang minat mempelajari ayat suci lain.

Katanya, minda masyarakat kini dikongkong hasil menonton filem seram dan penerbit filem terus mengambil kesempatan menghasilkan filem seumpamanya. Beliau berharap penerbit filem juga menghasilkan filem yang membina pemikiran masyarakat terutama mengandungi unsur positif.

“Penerbit filem seram juga wajar mendapat pandangan mufti dan alim ulama bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan akidah Islam dan dapat memberi pengajaran kepada penonton,” katanya.

Pengarah Institut Sosial Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Fadzil Che Din, berkata filem seram menyebabkan ketakutan bebas atau open fear di kalangan masyarakat sehingga memberi kesan psikologi terutama kanak-kanak.

Beliau berkata, ketakutan bebas membantutkan sikap positif. Sebagai contoh jika kanak-kanak rajin seperti membantu keluarga ke kedai, tetapi kini mereka tidak mahu melakukannya kerana bimbang dalam perjalanan di tempat gelap diganggu hantu. Kesan menonton filem seram akan melekat dalam pemikiran mereka seperti wajah hodoh hantu dan ia tertanam dalam kotak rujukan dalaman seseorang.

Dr Mohd Fadzil berkata, ketika era 60-an, 70-an dan 80-an, kita dihidangkan dengan filem seram yang hanya menunjukkan gambar rupa hantu menakutkan dan dirasuk, tetapi era kini ia menjadi lebih sadis dan tragis dengan berlaku pembunuhan.

Malah, katanya, keadaan sama wujud dalam filem seram yang dihasilkan di negara jiran dan filem Barat dengan wujud elemen tahyul seperti pari-pari, bidadari, haiwan boleh bercakap yang jelas boleh menimbulkan kecelaruan dalam dunia nyata.

“Saya melihat dalam filem seram tempatan akan juga berlaku perkara yang sama kerana ia sudah pasti satu fenomena kurang baik kepada masyarakat dan jika orang ramai mempercayainya ia akan menjadi khurafat,” katanya.

Jika diamati ada benarnya pendapat dua pakar ini kerana apabila dirujuk kembali beberapa filem seram kebelakangan ini, sudah ada elemen yang mencurigakan dan boleh dipertikaikan, malah lebih teruk, mungkin juga boleh memesongkan akidah. Apa tidaknya, sering dipaparkan kemampuan hantu membunuh manusia.

Persoalannya, benarkah hantu boleh membunuh dan mengambil nyawa manusia? Bukankah hantu adalah syaitan dan berdasarkan kisah iblis, ia hanya berjanji untuk menyesatkan anak Adam, bukan membunuh anak Adam dan bukankah urusan membabitkan nyawa adalah milik Allah.

Itulah yang mungkin perlu diberi perhatian. Mereka yang gemar menonton filem seram mungkin kuat tertanam dalam minda mengenai kehebatan dan kekuatan kuasa. Benar, semua kesudahan filem seram menunjukkan kebaikan mengatasi kejahatan tetapi ceritanya pula menunjukkan sebaliknya apabila ramai nyawa terkorban kerana kehebatannya.

Senario ini perlu diberi perhatian. Mungkin benar, filem seram adalah fenomena dunia dan ia genre popular tetapi tidak salah jika penerbit dan pengarah filem menggarapnya sebaik mungkin supaya tidak tersasar daripada akidah sebenar

Oleh Ridzuan Yop dan Azrul Affandi


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...