terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, June 28, 2011

Beri peluang golongan muda Melayu miliki rumah di lokasi elit Prima !!


KAWASAN segi tiga emas Kuala Lumpur yang melibatkan Jalan Sungai Besi, Jalan Tun Razak, Jalan Tuanku Abdul Rahman pesat dengan pertumbuhan bangunan pencakar langit dan kondominium mewah.

Kawasan itu menjadi tumpuan kediaman untuk golongan kaya. Sekarang kawasan perumahan kerajaan di Jalan Davis dan Jalan Cochrane pun sedang bertukar wajah.

Jadi, kakitangan kerajaan dan golongan sederhana sudah berpindah ke kawasan pinggir Kuala Lumpur seperti Hulu Langat, Kajang, Puchong dan Sungai Buloh.

Paling ramai yang memulakan kehidupan baru di kawasan pinggir itu ialah Melayu. Kawasan orang Melayu di Kuala Lumpur hanya tinggal di Ampang Hulu Klang, Gombak dan Kampung Pandan.

Banyak kawasan yang dimajukan kini diisi oleh bukan Melayu. Sebabnya kita sendiri maklum – harga rumah yang melambung tinggi.

Dengan bekerja makan gaji dan berpendapatan RM3,000 sebulan pun belum tentu mampu memiliki sebuah rumah dua tingkat di Kuala Lumpur sekarang. Tidak ada harga rumah sekitar RM100,000 hingga RM250,000 seperti sepuluh tahun lalu. Dengan nilai sekarang RM400,000 hingga jutaan ringgit, tidak banyak Melayu mampu membelinya.

Sebab itu, banyak orang Melayu kini bertumpu di pinggir-pinggir Kuala Lumpur kerana harga rumah yang sederhana.

Kalau yang dapat terus tinggal di Kuala Lumpur ialah mereka yang dahulunya tinggal di kawasan setinggan. Mereka yang membina rumah haram akhirnya dipindahkan ke kawasan Projek Perumahan Rakyat - ada yang menyewa dan membelinya.

Bertuah golongan ini kerana dapat tinggal di dalam ibu kota. Kurang bernasib baik pula kepada mereka yang terpaksa membeli rumah berharga sederhana di luar Kuala Lumpur.

Masih ramai warga yang bekerja di ibu kota dahagakan rumah mampu milik. Oleh itu, cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu mentransfom (mengubah) sebahagian tanah Pangkalan Tentera Udara Sungai Besi untuk dibangunkan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (Prima) sangat dialu-alukan.

Kadang kala kerajaan kena memikirkan soal tempat tinggal rakyat dan bukan terus melayan pemaju kompleks komersial, bangunan pejabat dan kondominium apabila mengambil kawasan tanah seperti tanah KTMB di Brickfield, Flat Pekeliling dan beberapa lokasi lain.

Cadangan membina perumahan rakyat itu sekurang-kurangnya mengembalikan harapan untuk golongan muda memiliki rumah yang berdekatan dengan pusat ibu kota.

Kepada syarikat perumahan yang telah dirundingi oleh kerajaan seperti SP Setia, Sime Darby dan Perbadanan Putrajaya kita mengharapkan jangan memikirkan untuk mengaut keuntungan semata-mata.

Mereka juga perlu memikirkan hasrat dan nama projek itu atas nama 1Malaysia. Jadi, pastikan projek perumahan ini mampu dibeli oleh semua kaum. Keseimbangan pembeli juga penting dalam projek ini supaya ia tidak berat sebelah kepada kaum tertentu sahaja.

Saya amat berharap pembangunan Prima berkonsepkan kondominium mampu milik dengan harga setiap unit kira-kira RM220,000 ke bawah untuk golongan muda yang berpendapatan kurang RM3,000 boleh menjadi kenyataan.

Hasrat untuk melihat golongan muda pelbagai kaum tinggal dan bercampur gaul di kawasan bekas pangkalan TUDM ini tidak patut disabotaj oleh sikap sempit sesetengah pihak yang mahu membolot kawasan strategik ini.

Pihak bank jangan terlalu cerewet dalam meluluskan pinjaman jika syarat pinjaman dipenuhi. Agensi hartanah jangan dibenar membeli walau satu unit pun kerana mereka akan memanipulasi harga pasaran rumah tersebut.

Mungkin kuota pembeli mengikut komposisi kaum dibenarkan kerana kawasan majoriti Melayu di Kuala Lumpur kini semakin kurang. Elok juga jika mana-mana kawasan pembangunan baru di Kuala Lumpur tidak dibolot dan dikuasai hanya satu-satu kaum sahaja

Oleh Azman Anuar

1 comment:

  1. nak tanya, projek ni utk skim rumah pertamaku ker?? means, utk org2 yg bekerja swasta je lah yea...

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...