terima kasih buat kalian semua..

Monday, June 6, 2011

Betulkah cara kita tangani PATI???


SAYA merasa terkejut dan sedikit kecewa melihat tindakan Jabatan Imigresen yang melepaskan dan menghantar pulang 17 pendatang tanpa izin Indonesia yang sebelum itu diselamatkan oleh Polis Marin dalam kejadian bot karam di Pengerang, Johor baru-baru ini.

Atas alasan kemanusiaan, 17 pendatang tanpa izin itu yang memasuki Malaysia secara tidak sah dihantar pulang dengan kos ditanggung kerajaan, tanpa dikenakan sebarang hukuman atas kesalahan yang dilakukan oleh mereka ini.

Jika dikira daripada aspek kemanusiaan, apakah tiada nilai kemanusiaan yang diambil oleh kerajaan ketika Polis Marin kita membantu menyelamatkan mereka, memberi rawatan perubatan, menyediakan tempat tinggal dan makan sementara kepada 17 pendatang haram ini?

Apakah kita terpaksa memejamkan sebelah mata dan melupakan pencerobohan undang-undang yang dilakukan oleh pendatang haram ini.

Saya khuatir kita telah memberi gambaran yang salah kepada jutaan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masih berada di negara kita ini.

Gambaran yang menunjukkan seolah-olah kerajaan kita tidak serius, terlalu berlembut hati, tidak tegas dalam menangani isu-isu berkaitan pendatang ini.

Dalam kes bot karam di Johor ini, walaupun 17 pendatang haram tersebut mengalami trauma dan pengalaman yang hampir meragut nyawa mereka, itu tidak sesekali 'menghalalkan' tindakan mereka yang menyeludup masuk ke tanah air kita. Sepatutnya kesemua mereka ini dihukum mengikut akta imigresen negara kita sebelum dihantar pulang.

Saya menyeru kepada kerajaan supaya melihat lebih serius masalah berkaitan pendatang tanpa izin ini. Dalam banyak kes, kita melihat kerajaan memang tidak mempunyai ketegasan langsung sama ada untuk mengekang, melaksanakan penguatkuasaan ataupun merangka pelan jangka masa panjang untuk mengatasi masalah ini.

MIENAMI
Puchong

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...