terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, June 8, 2011

Derita diperdaya jerat cinta mat Lombok !!


“TOLONGlah bawa saya pulang. Saya tidak tahan hidup susah begini hingga terpaksa makan ubi rebus setiap hari.

“Hidup di sini amat memeritkan kerana kesenangan dijanjikan palsu semata-mata. Saya terpaksa membanting tulang bersama keluarga suami berkebun sayur, ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
“Ayah, ibu, saya tak cukup makan di sini, tidak cukup wang. Tolonglah, saya nak balik..”

Demikian rintihan tiga wanita Melayu mangsa perangkap cinta lelaki Lombok, Indonesia untuk renungan.

Kes wanita dilarikan lelaki Lombok yang datang ke negara ini sebagai buruh binaan atau ladang kelapa sawit bukan perkara baru. Saban tahun ia didedahkan media dengan harapan mereka yang cuba dijerat lelaki Lombok, sedar janji kemewahan atau kasih sayang untuk membina keluarga bahagia hanya helah pendatang untuk mendapat isteri percuma.

Mereka mahu menunjukkan kepada orang kampung kehebatan memikat hingga mampu bawa pulang wanita asing untuk dijadikan isteri.

Isu lelaki Lombok melarikan wanita tempatan tidak boleh dipandang remeh. Baik di Semenanjung, Sabah atau Sarawak ada saja kes dilaporkan. Malah media negara itu pernah melaporkan kajian mendapati kira-kira 500 kes wanita asing, terutama dari Malaysia berdepan masalah kerana kahwin lari dengan lelaki Lombok.
Statistik itu bukan persoalan kerana memang banyak kejadian seperti itu dilaporkan. Mungkin ada ibu bapa enggan mencari media atau pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan membawa pulang anak kerana malu.

Di Kedah, misalnya banyak kes dilaporkan termasuk di Kulim, Baling, Pendang, Sik, Langkawi dan Kuala Nerang. Terbaru dua minggu lalu apabila seorang ibu, Maryam Kasim, 49, dari Kampung Kuala Pai, Kuala Nerang merayu bantuan orang ramai bagi membawa anaknya, Zarina Abu Bakar, 30, yang hanya makan ubi rebus di Lombok selepas dilarikan dua tahun lalu.

Janda beranak tiga itu menjadi mangsa janji kosong apabila hasrat berkahwin dengan lelaki dikenali Helmi, 30, tidak kesampaian selepas dia melahirkan anak hasil hubungan sulit mereka. Zarina mengikut kekasihnya ke Lombok pada 2009 walaupun tidak sampai sebulan berkenalan. Apabila tiba di Lombok dia ditinggalkan begitu saja. Nasibnya baik kerana selepas masalahnya disiarkan media, penduduk Kubur Panjang, Pendang mengumpul RM3,000 membiayai kepulangan wanita itu.

Untuk pulang hujung minggu lalu, Zarina yang menaiki bot pancung dari Batam ke Sungai Tiram, Johor nyaris lemas kerana dipaksa terjun ke laut untuk berenang ke pantai. Perjalanannya sama seperti pendatang Indonesia yang menyeludup masuk ke negara ini.

Begitulah getirnya apabila terperangkap dengan janji manis jejaka Lombok yang menjadi kebanggaan gadis atau janda. Dek cair hati menyulam ayat cinta mereka sanggup melupakan ibu bapa dan keluarga. Di Kuala Nerang tahun lalu, seorang isteri beranak tiga lari dari rumah kerana angau dengan lelaki Lombok.

Mengapa terlalu mudah wanita kita diperbodohkan lelaki Lombok? Sudah jelas kedatangan buruh asing ke sini disebabkan kehidupan sukar di negara asal. Apakah susah bagi mereka memikirkannya hingga sanggup memperjudikan masa depan.

Ada mangsa berusia seawal 13 atau 14 tahun ketika dilarikan lelaki Lombok. Mereka sepatutnya bersekolah dan ibu bapa menaruh harapan tinggi untuk mengubah hidup keluarga.

Masalah ini boleh membawa kesan sosial serius dan perlu ditangani secara baik kerana turut membabitkan hubungan kedua-dua negara. Mungkin gejala ini sama serius kes gadis tempatan terjerat sebagai keldai dadah yang ditahan di luar negara.

Puncanya sama kerana mudah percaya kepada orang asing yang baru dikenali dan termakan pujuk rayu lelaki yang sebenarnya mahu memasang perangkap.

Mungkin Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau pertubuhan bukan kerajaan wanita perlu melihat perkara ini dengan lebih serius. Berikan maklumat supaya mereka lebih berhati-hati. Mereka yang melarikan wanita kita pula patut menerima hukuman setimpal

Oleh Azmi Md Derus


1 comment:

  1. serius masih ramai gadis m'sia yg bodoh....

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...