terima kasih buat kalian semua..

Monday, June 6, 2011

Elak jadi bodoh demi lelaki !!!


DARI dulu hingga kini saya masih tidak faham mengapa ramai wanita sanggup menderita mempertahankan perkahwinan yang sudah tidak bahagia lagi. Adakah kerana dia terlalu sayangkan suaminya, takut bergelar janda atau tak berani menghadapi kenyataan bahawa diri sudah tidak dikehendaki lagi.

"Kita berhak hidup bahagia, kerana kita hidup cuma sekali dan bukan lama sangat. Pada bila-bila masa kita akan dipanggil kembali. Jadi sentiasalah berfikiran positif dan ambil tindakan berani demi kebahagiaan diri sendiri dan anak-anak." Demikian nasihat Norzilawati dalam e-melnya kepada penulis.

"Saya ucapkan syabas kepada wanita yang bertindak berani melepaskan diri mereka daripada derita, terutama kepada ibu saya. Pada mulanya saya juga tak faham mengapa ibu tetap pertahankan perkahwinannya. Sedangkan kami adik-beradik tahu ibu menderita ditinggalkan ayah. Tetapi ibu sabar, untuk apa saya tak tahu. Nak kata ibu tak ada duit, dia bekerja. Tapi ibu tetap tanggung derita.

"Kehidupan ibu dengan ayah banyak meninggalkan kesan luka yang teramat perit. Namun ibu hadapinya dengan penuh tabah dan cekal. Tidak pernah sekali ibu menunjukkan kesedihannya pada saya dan tiga orang abang dan adik saya yang lain.

"Apabila ayah balik mungkin sebulan tiga empat kali, ibu cari waktu sesuai untuk berbincang masalah rumah tangga. Tetapi ayah akan membuka mulut dengan suara keras, kuat dan menengking setiap kali menjawab soalan ibu.

"Kami tahu tujuan ayah untuk memalukan ibu kepada jiran-jiran. Oleh kerana tak ada jalan untuk bertanya, ibu bawa kepada pengetahuan mertua di kampung. Bila opah datang, ayah berkelakuan sebaliknya. Dia sentiasa berada di rumah. Setiap hari kami dapat lihat muka ayah. Ayah tak pernah beli ikan, ayam dan daging. Sebaliknya bila opah ada waktu itulah kami dapat makanan mewah.

"Akhirnya tugas ibu tambah sibuk di pejabat dan di rumah memasak dan melayan opah. Opah cuba bertanya pada ayah tentang cerita dan perangainya sebelum itu, tetapi ayah nafikan. Katanya dia sayang anak-anak tak pernah terfikir untuk yang mencari kekasih apa lagi nak berkahwin lagi.

"Opah sudah pasti percaya cakap anaknya, sebaliknya mendakwa ibu sengaja mengadakan cerita. Opah nasihatkan ibu bersabar, kalau suami tak balik bukan bermakna tak sayangkan keluarga, mungkin dia banyak kerja luar. Ibu cuba terangkan tapi takkan opah percaya. Bila opah balik ayah kembali pada tabiat lamanya.

"Ibu tetap bertahan demi anak-anak katanya, tak mahu kami kehilangan ayah. Tapi kami tak kisah kalau ada ayah pun bukan boleh tengok mukanya atau berbual dengan ayah, memang dia tak layan kami, dia buat halnya, baca akhbar dan tidur.

"Pasal mengadu pada nenek dah lama ibu buat, tapi nenek serahkan pada ibu kerana tak mahu campur hal rumah tangga anak-anak, takut dituduh penghasut. Kata nenek, ibu lebih tahu apa yang baik dan buruk untuk diri dan keluarganya. Kalau sanggup bersabar, kau sabarlah, kalau tak sanggup nenek tak kisah kalau ibu bercerai.

"Oleh kerana perbuatan ayah sudah keterlaluan dan ibu tak sanggup lagi tanggung derita lebih lapan tahun, ibu memberanikan diri membuat tuntutan fasakh di mahkamah. Tapi ayah tak mahu ceraikan. Sebaliknya ayah tuduh ibu memang tak sayangkan anak-anak dan memang nak cari laki lain. Ketika itu abang dah masuk kolej saya dan adik-adik di sekolah menengah. Sebelum bertindak ibu tanya pendapat kami untuk pertama kalinya, dan ibu bercerita tentang ayah yang selalu tak balik rumah.

"Kata abang ibu tak payah cerita kami semua dah tahu, dan kami tak kisah kalau ibu bercerai. Lagi pun tak ada faedahnya ada ayah kalau muka pun jarang tengok di rumah. Dan kami amat simpati dengan ibu yang menderita selama ini.

"Bila ayah dapat surat mahkamah dia mengamuk marahkan ibu, tapi ibu dah tak takut lagi. Ayah cuba tanya pendapat kami, tapi kami semua lari masuk bilik. Ayah kata anak-anak bencikan ibu kerana minta cerai. Akhirnya abang buka mulut, kata abang kalau ayah kesiankan ibu dan anak-anak lepaskan ibu. Lagi ayah marah, dia tuduh ibu hasut anak-anak.

Cerai

"Kata abang kami dah besar panjang kami ada mata dan kami lihat setiap perbuatan ayah. Lima bulan kemudian ayah ceraikan ibu dengan talak satu.

"Ibu juga nasihatkan kami supaya jangan bergantung hidup dengan orang atau suami, tetapi belajarlah berdikari. Bina hidup dengan kebolehan sendiri.

"Nak jadikan cerita rezeki ibu semakin mencurah-curah selepas bercerai. Mungkin ibu dapat menumpukan sepenuh jiwa dan perasaannya terhadap pekerjaannya, sudah pasti ibu menjadi pekerja terbaik. Ibu tak pernah ambil peduli sama ada ayah nak bagi nafkah atau tidak. Kata ibu daripada bagi duit pada peguam untuk tuntut nafkah dan ambil cuti untuk turun naik mahkamah lebih baik bagi makan anak-anak.

"Sebaliknya kami lihat hidup ayah semakin hari semakin payah. Kini saya sudah pun bekerja begitu juga adik-adik ada yang bekerja dan belajar. Tetapi ayah masih terkial-kial hidup bersama anak kecilnya disamping anak-anak tirinya yang menyakitkan hatinya. Dulu kekasih ayah isteri orang dan dinikahi setelah bergelar janda.

"Tujuan saya bercerita tentang masalah ibu bukan nak berbangga kerana keberanian ibu saya menuntut cerai atau menyalahkan ayah kerana ada kekasih, apa lagi untuk menghasut kaum wanita. Tetapi untuk memberi contoh kepada kaum wanita lain dan diri saya sendiri, supaya jangan takut hadapi kenyataan jika ditakdirkan suami sudah ada kekasih lain, pandai-pandailah bawa diri.

"Jadi, wahai kaum wanita janganlah perbodohkan diri lagi.'' Demikian penutup Norzilawati

1 comment:

  1. ramainyer p'puan bodoh di dunia ni.... macam2... nampaknya macam tak pernah baca kisah2 camni. ye la, p'puan gini cuma suka baca majalah merapu spt URTV, Mangga ...etc...etc...
    Tambah lagi tak dengar bila mak bapak / org keliling bagi nasihat.

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...