terima kasih buat kalian semua..

Thursday, June 23, 2011

Gores dan menang serang Kota Bharu !!


BARU-baru ini saya ke Pantai Timur (Kelantan) kerana mengikuti suami yang berkursus selama tiga hari dan peluang cuti hujung minggu kami gunakan untuk melawat beberapa tempat menarik termasuk singgah di beberapa buah pasar raya yang terdapat di sana.

Saya agak terkejut kerana hampir setiap lokasi pasar raya yang saya singgah pasti kami disambut dengan pelawaan lebih 10 remaja yang menawarkan kupon, baucer dan cenderahati seperti gelas. Mereka menjalankan modus operandi yang sama - kegiatan gores dan menang.

Lebih mengejutkan, di setiap lokasi berbeza, pasti ada individu terpengaruh mendengar penerangan mengena barangan elektronik yang ditawarkan.

Saya hampir tidak percaya, walaupun berkali-kali pihak media menghebahkan mengenai kegiatan menipu gores dan menang tetapi masih ada individu yang terpengaruh meskipun dari segi luarannya mereka terpelajar atau mempunyai kerjaya profesional.

Saya mengagak mereka ini berduit orangnya, malangnya mereka seperti dipukau oleh drama-drama lakonan pekerja di dalam kedai itu. Agak menyeramkan juga sebenarnya apabila selama sesi pujukan itu berlangsung, gerak-geri pekerja seolah-olah diperhatikan oleh beberapa individu yang mungkin juga kakitangan atasan.

Agak menyedihkan apabila kebanyakan pekerja yang terdiri di kalangan golongan remaja Melayu dalam lingkungan usia awal 20-an ini seperti direkrut oleh pihak majikan melakukan ‘drama bersiri’ terhadap mangsa di kalangan bangsa yang sama.

Saya juga ada menerima sehelai baucer di sebuah pasar raya yang bersambung dengan hotel tempat saya menginap. Saya diajak ke sebuah kedai yang dipenuhi barangan elektronik. Dua remaja Melayu kemudian meminta saya mengisi borang biodata diri dan bermulalah drama yang dilakonkan oleh kakitangan kedai terbabit.

Ternyata, modus operandi mereka serupa, sama ada di pasar raya A, B, C atau D. Strategi pekerja di kedai barangan elektronik itu tidak berubah walau di mana lokasi ia dilakukan.

Selepas mengisi borang, mereka memberi dua kupon dan meminta saya membukanya. Satu kupon saya mendapat baucer bernilai RM200 untuk barangan bernilai hampir RM1,000 dan boleh digunakan untuk tempoh dua bulan.

Menariknya, sebaik sahaja membuka kupon kedua, seorang pekerja tiba-tiba berlakon menjerit keriangan dan mengucapkan tahniah sambil menghulurkan tangan. Mereka buat-buat terkejut kononnya saya memenangi kupon bertuah yang menawarkan baucer RM100 dan dua barangan tajaan atau percuma iaitu sebuah penapis air dan dapur elektrik bernilai hampir RM6,500.

Umumnya tidak akan ada individu yang menolak mendapat barangan percuma itu apatah lagi liciknya mereka berdrama apabila salah seorang pekerja menghubungi seorang lelaki yang mengaku pengurus. Pengurus itu bercakap dengan saya melalui telefon untuk mengesahkan kupon dan hadiah yang akan diserahkan kepada saya itu adalah sah.

Di sinilah berlaku penganiayaan apabila untuk mendapatkan dua hadiah percuma itu saya ‘dipaksa’ membeli sebuah barangan lain berharga RM3,200 dan pendirian pun mudah rapuh apabila ditawarkan sebuah lagi produk bernilai RM1,000 jika memilih untuk membayar secara tunai.

Saya tahu mereka sedang melakukan provokasi terhadap mangsa seperti saya dan terpulang kepada bijak atau sebaliknya kita menangani situasi tersebut. Jika gelap mata dan terpesona dengan pujukan mereka, sementelah duit pula ada dalam simpanan memang kita akur dan tewas.

Sebenarnya empat barangan yang bakal saya peroleh itu tidak berbaloi dengan wang RM3,200 yang akan dibayar tetapi pelanggan sering terpedaya dengan perangkap yang telah dipasang. Lebih mengecewakan apabila pekerja di sana tanpa rasa bersalah terus menerus mendesak saya mengeluarkan wang atau gunakan apa sahaja cara termasuk kad visa, kad kredit atau bayaran ansuran asalkan saya bersetuju.

Persoalannya, bagaimana mereka (kedai) jenis perniagaan begini mendapat kelulusan lesen perniagaan malah beroperasi di pasar raya besar dan ternama.

HAMPIR JADI MANGSA

Pulau Pinang

1 comment:

  1. Giler karut smua ni..aku sndiri hmpir terkena..sib baik dh trbaca blog mcm ko punya ni..useful..ada few portal mcm Jurnal Malaysia..sesuai untuk rujukan utk elak kena tipu bende alah mcm ni..

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...