terima kasih buat kalian semua..

Friday, June 3, 2011

Guru keliru peruntukan cuti bersalin..kenapa tak 90 hari???


SAYA seorang guru yang berkhidmat di Melaka berasa begitu musykil berkenaan cuti bersalin yang dibenarkan oleh Kementerian Pelajaran. Menjadi satu kebanggaan buat kami kakitangan kerajaan terutama golongan wanita apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan cuti bersalin dipanjangkan daripada 60 kepada 90 hari.

Bagi kami itu satu rahmat yang tidak ternilai. Namun, apa yang menjadi tanda tanya saya ialah mengapa Jabatan Pelajaran Melaka mengeluarkan arahan kepada semua sekolah di negeri ini untuk memberikan cuti bersalin sebanyak 60 hari saja. Di manakah hak kami yang diberikan oleh Perdana Menteri?
Saya seperti melihat kedudukan Pengarah Pelajaran lebih berkuasa daripada Menteri Pelajaran. Apabila saya merujuk kepada pihak pentadbiran sekolah, apa yang diterima ialah jabatan tidak mempunyai peruntukan wang untuk membayar gaji guru untuk menggantikan guru bersalin

Malah, belum ada pekeliling dikeluarkan mengenai arahan ini. Saya juga ada bertanya kepada rakan lain yang mengajar di sekolah di negeri lain dan dimaklumkan mereka tidak mempunyai masalah dari segi mendapatkan cuti bersalin 90 hari. Malah, JPN mereka juga sudah menyediakan peruntukan untuk guru ganti.

Apabila saya menyemak di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), sudah dikeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Awam Bilangan 14 tahun 2010 yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah bertarikh 2 Disember 2010.

Malah, pekeliling itu sudah berkuat kuasa pada 15 Oktober tahun lalu. Oleh itu bagaimana Pengarah Pelajaran Melaka boleh mengeluarkan arahan kepada semua sekolah menyatakan bahawa cuti bersalin tidak boleh diambil 90 hari kerana tidak ada pekeliling yang baru dikeluarkan selepas itu.

Saya juga ingin mengetahui berapakah peruntukan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran kepada setiap Jabatan Pelajaran Negeri pada setiap tahun. Ini kerana alasan yang diberikan oleh JPN ialah tidak cukup ‘bajet’. Setiap tahun alasan yang sama diberikan oleh JPN apabila sekolah memerlukan guru ganti untuk menggantikan guru bersalin.

Persoalannya, bagaimana sebuah negeri yang kecil seperti Melaka tidak mempunyai peruntukan membayar guru ganti jika dibandingkan dengan negeri lain.
Hampir lima tahun saya mengajar di Melaka dan inilah alasan yang sering mereka berikan. Adakah peruntukan yang diberikan kepada JPN digunakan untuk membawa kakitangan mereka melancong pada hujung tahun?

Hendak dikatakan mengadakan kursus di luar dari Melaka, rasanya tidak juga kerana kebanyakan kursus yang diadakan hanya diadakan di JPN saja.

FADLINA OTHMAN,
Melaka

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...