terima kasih buat kalian semua..

Saturday, June 11, 2011

Hanyut di malam Tahun baru...


SYAKIRA dan Hafiz sudah berjanji akan menyambut Tahun Baru kali ini dengan suasana yang paling romantis kerana kebetulan ini merupakan tahun ketiga mereka berpacaran.

Lagipun kebetulan 1 Januari kali ni jatuh hari cuti, pada hari Sabtu dan kebetulan pensyarah juga awal-awal lagi sudah memaklumkan semua kelas telah dibatalkan.

Inilah masa yang dinantikan oleh Syakira dan Hafiz di mana awal-awal lagi telah menempah sebuah bilik hotel di tepian pantai yang tersohor itu.

Sebaik sahaja mendaftar dan mendapat kunci bilik, tiba-tiba sahaja Syakira terus sahaja memaut pinggang Hafiz sambil keduanya berjalan beriringan dengan penuh mesra ke bilik yang ditempah.

Memang Syakira sudah begitu mabuk dalam nafsu cinta, dia sudah lupa diri, lupa segala janji-janjinya pada kedua ibubapanya, lupa pada cita-cita yang ingin dikejar ketika di menara gading, dia cuma ingin dibelai dengan penuh kasih sayang oleh Hafiz pada malam itu.

Hafiz yang sudah lama mengidam saat ini sesungguhnya umpama seekor kucing yang pastinya tidak akan menolak ikan yang sedang bergolek untuk menyerah diri di depan matanya.

Syakira semakin hanyut dengan belaian Hafiz yang semakin lama semakin tidak membuang masa seolah-olah bagi tiada masa esok untuk mereka berdua.

Tiba-tiba terdengar ketukan yang begitu kuat dari luar yang menyedarkan kedua pasangan ini yang tengah asyik-masyuk dalam hawa nafsu.

Masing-masing seolah-olah bagai diketuk untuk segera bertindak mencari sebahagian pakaian yang sudah separuh bersepah di atas katil.

Bagaimanapun kedua pasangan ini bernasib baik kerana jika dengan kehadiran pasukan pencegah maksiat itu telah menyelamatkan mereka dari terjebak dalam penzinaan pada malam yang diagung-agungkan oleh manusia yang tidak takut dengan azab Allah.

Pasangan muda yang merupakan penuntut institusi pengajian tinggi itu telah dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya untuk dibicarakan di hadapan Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad.

Kedua tertuduh hadir ke mahkamah mengikut bon jamin penguatkuasa pada 11 Januari 2011.

Selepas pertuduhan dibacakan keduanya mengaku salah dengan sukarela dan memahami akibat pengakuan salah serta mengetahui hukuman yang bakal dijatuhkan.

Mengikut fakta kes, tertuduh lelaki berusia 20 tahun dan pasangannya 21 tahun adalah penuntut IPT tempatan.

Keduanya didakwa atas kesalahan khalwat di sebuah bilik hotel di Subang Jaya, Selangor pada pukul 4.15 pagi pada 1 Januari 2011.

Tertuduh lelaki telah ditahan ketika bersembunyi dalam bilik air dengan pakaian seluar panjang tanpa memakai baju. Manakala tertuduh perempuan yang telah membuka pintu utama waktu itu berseluar jeans dan berkemeja T.

Mahkamah merujuk kes itu sebagai perbuatan khalwat yang dilarang oleh agama Islam kerana ditakuti akan membawa kepada dosa lebih besar iaitu zina.

Wan Mahyuddin berkata, Allah telah berfirman di dalam surah al-Israa’ ayat 32 bermaksud: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kepada kerosakan).

Oleh itu, katanya, disebabkan perbuatan khalwat membawa masalah dalam diri dan masyarakat maka ia hendaklah dihindarkan dan dihapuskan.

Jelasnya, walaupun itu kesalahan pertama kedua tertuduh tetapi prinsip mencegah diutamakan demi kebaikan dan pengajaran kepada kedua tertuduh malah masyarakat.

Mahkamah berpandangan walaupun kedua-dua tertuduh telah mengaku salah ia bukan salah satu faktor untuk meringankan hukuman kerana pengakuan bersalah tidak semestinya memberi keinsafan.

Dalam Islam keinsafan hendaklah bersekali dengan taubat.

Di dalam kes itu tiada keterangan yang menunjukkan tertuduh sudah bertaubat dan tiada keterangan akan bertaubat. Oleh itu mahkamah berpandangan dengan hukuman yang setimpal adalah salah satu cara bagi tertuduh menyedari dan menginsafi kepada Allah akan kesalahan yang telah dilakukan.

Mahkamah juga menimbangkan hukuman setimpal kerana keduanya pelajar IPT dan diharapkan hukuman itu akan menjadi pengajaran kepada mahasiswa lain supaya tidak menggunakan tiket sebagai pelajar untuk melakukan perbuatan melanggar hukum syarak.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua tertuduh, mahkamah berpandangan pembayaran denda bukanlah cara terbaik untuk menginsafkan kedua tertuduh yang masih lagi belajar dan memerlukan duit untuk membeli kelengkapan pelajaran.

Begitu juga dengan hukuman penjara ia bukanlah hukuman baik ke atas tertuduh kerana ia boleh memberi kesan psikologi memandangkan terpaksa bergaul dengan pesalah lain yang telah disabitkan melakukan kesalahan berat di sisi undang-undang jenayah.

Bagi memberi keinsafan, kedua-dua tertuduh dihantar ke Pusat Pemulihan yang diluluskan oleh Majis Agama Islam Negeri Selangor.

Wan Mahyuddin dalam penghakimannya menjelaskan mahkamah berpuas hati dengan pengakuan bersalah tertuduh di bawah Seksyen 29 (1)(b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor No.9 1995 di atas tuduhan berkhalwat, fakta kes, pertimbangan rayuan tertuduh dan hujah pendakwa syarie serta alasan-alasan lain.

Berikutan itu, katanya, mahkamah memerintahkan kedua tertuduh dihantar untuk pemulihan ke Pusat Pemulihan iaitu Baitul Iman selama tiga bulan.

1 comment:

  1. saat paling manis tu.... macam sejarah berulang ulang.... pencegah maksiat pun bernasib baik jugak

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...