terima kasih buat kalian semua..

Thursday, June 9, 2011

Hebah saja nama penerima biasiswa JPA tak pulang kepada umum !!


NAMPAKNYA isu pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang tidak berkesudahan. Ia akan terus menjadi masalah kerana ada saja pihak yang mempolitikkannya di samping pelajar sendiri yang tidak berjaya membuat perbandingan dengan rakan atau kenalan yang mereka anggap tidak mempunyai keputusan setaraf, tetapi berjaya mendapat biasiswa.

Demikian juga campur tangan ibu bapa yang tidak akan berpuas hati selagi mereka anggap anak mereka berhak menerima biasiswa untuk pengajian jurusan tertentu seperti perubatan, pergigian atau kejuruteraan tidak diperoleh. Tindakan ibu bapa campur tangan ditambah pula pihak yang mempolitikkannya dengan sengaja memberi gambaran seolah-olah ada pilih kasih berdasarkan perkauman. Hal ini tentunya tidak akan berkesudahan.
Umum mengetahui apa jurusan yang menjadi pilihan ibu bapa tidak semestinya yang dikehendaki pelajar. Lebih-lebih lagi apabila mereka mahu melanjutkan pengajian di luar negara dalam jurusan tertentu saja.
Berikutan kejayaan MCA mendesak 86 pelajar diberi biasiswa, walau pun untuk pengajian dalam negara dan bukannya di luar negara seperti pelajar dan ibu bapa mereka mahu, parti itu pula menubuhkan sebuah jawatankuasa menyediakan panduannya sendiri mengenai pemilihan. Harapnya usaha MCA ini tidak akan menyulitkan lagi keadaan.

Sebenarnya semua yang berkepentingan harus sedar penerimaan sesuatu biasiswa bukannya suatu hak, tetapi adalah suatu keistimewaan dan diberi berdasarkan pelbagai panduan berlandaskan keadaan yang wujud dalam negara. Ia juga seharusnya diterima sebagai sebahagian usaha kita hendak mewujudkan keadaan seimbang di kalangan rakyat berbilang kaum.

Oleh itu keadaan yang tidak berimbang antara keluarga dan pelajar yang berada dengan yang tidak, kedudukan sekolah, guru, peralatan dan kemudahan yang berbeza dengan ketaranya antara sekolah di bandar dan luar bandar harus diberi pertimbangan.

Tentunya pencapaian seorang murid memiliki banyak kelebihan dari sekolah terbaik dilengkapi pelbagai kemudahan diajar pula oleh guru berkemahiran dan berpengalaman di bandar ditambah dengan tuisyen pula tidak boleh dibandingkan dengan pencapaian murid serba kekurangan dari sekolah biasa di luar bandar dengan guru yang kurang berpengalaman tanpa menerima tuisyen pula.
Dalam keadaan demikian tentunya pencapaian murid dari luar bandar itu harus diberi pertimbangan berbeza dengan murid bandar. Apakah pertimbangan demikian pun hendak dipertikaikan? Dan apa adanya dengan universiti luar negara lebih-lebih lagi bukan universiti ternama seperti Cambridge, Oxford, Harvard atau Yale?

Apakah universiti dalam negara tidak baik? Kalau demikian halnya kenapakah setiap tahun Singapura membuka tangannya menarik sebanyak mungkin lulusan perubatan dari UKM misalnya (tertumpu pada bukan Melayu saja. Ini pun menimbulkan suatu tanda tanya).

Inilah persoalan yang sepatutnya diberi pertimbangan dan jangan ada pihak yang sengaja memperlekehkan pencapaian pelajar luar bandar atau pun pencapaian lulusan universiti tempatan.

Agak malang dalam negara ini biasanya orang Melayu berdiam diri saja walaupun mereka tahu yang mereka layak menerima sesuatu termasuk biasiswa kerana berpendapat itu adalah takdir yang mereka harus hadapi dengan tabah tidak seperti pelajar bukan Melayu yang akan membuat tuntutan sehingga berjaya. Masanya sudah tiba bagi pelajar Melayu yang tidak menerima biasiswa walau pun layak juga perlu bertindak sedemikian.

Kini rakyat sudah tahu bahawa dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini lebih daripada 500 penerima biasiswa JPA tidak kembali berkhidmat untuk rakyat negara ini. Golongan yang tidak bersyukur dengan keistimewaan diperoleh tetapi lebih mementingkan diri sendiri ini harus dikenakan tindakan setimpal kerana mereka telah menidakkan hak pelajar lain yang lebih patriotik daripada menerima biasiswa berkenaan.

Seramai 355 daripada mereka dikatakan membayar balik biasiswa yang mereka peroleh. Tetapi masih ada 145 orang lagi kebanyakannya dalam bidang perubatan belum membayar balik jumlah biasiswa berkenaan.

Maka, JPA sepatutnya menghebahkan nama semua 500 pelajar tajaannya yang tamat pengajian mereka tetapi terus berkhidmat di luar negara. Bagi mereka yang belum melangsaikan bayaran, nama penjamin mereka juga perlu dihebahkan selain mengambil tindakan mendapat balik wang bantuan yang mereka terima supaya boleh diberikan kepada yang lebih berhak.

Suatu kaedah juga perlu dilakukan menghindar hal begini terus berulangan. Tidak cukup mereka yang tidak mahu pulang berkhidmat dengan rakyat diminta membayar balik saja jumlah biasiswa yang mereka terima. Mereka dan penjamin harus dikenakan tindakan bagi mengelak penerima lain mengikut jejak mereka yang tidak patriotik itu

Oleh Rejal Arbee

Penulis ialah Felo Kanan di UKM

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...