terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, June 8, 2011

Keberkesanan sistem kad debit perlu dikaji semula..masalah 2 kali bayaran !!


KEMUDAHAN kad debit yang diperkenalkan kebanyakan bank sejak beberapa tahun lalu memang diakui satu langkah bijak yang memudahkan pengguna ketika berbelanja. Ini kerana, pengguna tidak perlu lagi membawa banyak wang tunai untuk membeli-belah dan pada masa sama mengelakkan mereka terlalu bergantung kepada kad kredit yang lebih membebankan.

Namun, dalam kecanggihan teknologi dan kemudahan yang disediakan ini, nyata masih banyak kelemahan dan risiko yang terpaksa dihadapi pengguna. Apatah lagi, kad debit bukan seperti kad kredit yang selalunya dimiliki oleh orang berkemampuan.
Saya sering menggunakan kad itu untuk berbelanja dan menghadapi masalah dikenakan dua kali bayaran

Kejadian pertama berlaku ketika saya membeli pakaian anak di sebuah kedai pakaian bayi di kompleks beli-belah di Seri Kembangan. Jumlah pembelian adalah RM510 dan seperti biasa saya membuat pembayaran menggunakan kad debit.

Selepas dimasukkan jumlah harga, saya diminta menekan nombor pin tetapi selepas terlalu lama menunggu pengesahan, mesej menyatakan transaksi terlalu lama terpampang di skrin.

Juruwang mengulangi proses itu dan saya sekali lagi diminta menekan nombor pin dan kali ini berjaya. Lega rasanya, namun selepas balik ke rumah dan disemak transaksi dalam laman web, didapati berlaku dua kali pembayaran untuk jumlah RM510 itu.

Dua hari lalu, sekali lagi saya mengalami nasib sama selepas dua kali menggunakan kad debit. Nasib baik jumlahnya kecil tetapi tetap dianggap menyusahkan. Kali ini, pembayarannya RM253 dibuat di sebuah restoran Jepun di kompleks berkenaan.
Keadaannya sama, iaitu gagal untuk transaksi pertama dan berjaya untuk kali kedua, semak di laman web, ternyata berlaku dua kali pembayaran.

Saya yakin kejadian ini akan berulang menyebabkan saya serik untuk menggunakan kemudahan ini pada masa depan.

Sewajarnya pihak bertanggungjawab sama ada Bank Negara atau bank itu sendiri perlu melihat keberkesanan sistem mereka.

PENGGUNA SERIK,
Serdang, Selangor

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...