terima kasih buat kalian semua..

Thursday, June 23, 2011

Kemelut Spratlys... kekacauan masa depan...


TIADA siapa dapat mempertikaikan bahawa kepulauan Spratlys akan menjadi pusat kekacauan pada masa depan. Kawasan laut itu kini dianggap oleh pemerhati politik sebagai sebuah kolam peliharaan yang ada kehidupan di dalamnya yang sentiasa aman damai. Suasana damai ini hanya di bawah permukaan air kerana di paras laut keadaannya sangat berbeza. Negara yang menuntut iaitu Brunei, China, Filipina, Malaysia, dan Vietnam menggunakan pelbagai strategi untuk melayakkan tuntutan kewilayahan mereka ke atas Spratlys.
Kepulauan Spratlys terdiri daripada sejumlah 750 terumbu, pulau dan batu laut dengan kawasan tanah hanya lima kilometer persegi. Walau bagaimanapun, keluasan samudera lebih kurang 425,000 km persegi dilingkungi oleh Vietnam, Filipina, Malaysia dan Brunei.
Tuntutan ke atas Spratlys bermula sejak 1930. Setakat ini, sebanyak 45 pulau dan terumbu Spratlys diduduki oleh China, Filipina, Malaysia, Taiwan dan Vietnam. Sebarang pendudukan tentera memberi kelebihan kepada sesebuah negara untuk menuntut kedaulatan dan kewilayahan, di samping menuntut zon ekonomi eksklusif (EEZ) yang diperuntukkan oleh Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982. Spratlys ialah satu laluan laut yang amat strategik yang kedua sibuknya di dunia. Kawasan ini membawa 25 peratus perjalanan minyak dunia ke Timur Jauh dan Pasifik serta 90 peratus minyak dari Asia Barat ke Jepun dan Korea. Sejumlah 80 peratus perdagangan Timur Jauh melalui laut Spratlys. Sebagai antara pelantar benua terbesar di dunia, Spratlys mempunyai banyak sumber minyak, gas dan galian. Sejak 1950, negara yang menuntut sudah membina lebih 30 telaga minyak dan lima telaga gas. Malah satu kajian China menunjukkan simpanan minyak dan gas di Spratlys melebihi simpanan minyak dan gas Kuwait. Spratlys mempunyai 17.7 bilion tan, manakala Kuwait mempunyai 13 bilion tan minyak dan gas. Di samping sumber minyak dan gas, Spratlys terkenal dengan kehidupan marin yang mana kepulauan itu menghasilkan ribuan tan ikan setahun. Spratlys juga mempunyai banyak habitat laut lain. Spratlys terkenal dengan terumbu karang yang berjumlah 600 semuanya. Kawasan yang ada permukaan tanah subur ditanam dengan kelapa, betik dan pisang. Selain itu, hutan liar seperti hutan tropika, bakau dan pokok pesisir pantai. Kawasan Spratlys juga menjadi bahan tarikan pelancong kerana ia mempunyai potensi aktiviti sukan laut seperti skuba, pasir bersih, pelayaran dan chalet untuk penginapan. Pelancong dapat menikmati suasana kehidupan samudera bersama bayu laut dengan suara burung dan pukulan ombak. Keupayaan tentera adalah mustahak bagi negara yang menuntut oleh kerana kawasan Spratlys adalah luas. Tidak hairanlah kawasan itu mempunyai tiga pelabuhan perikanan, beberapa dermaga, tiga lapangan helikopter, pejabat wilayah, 10 lapangan terbang, menara telekomunikasi, pejabat pos, balai polis, kediaman awam dan berek tentera. Pada 1992, persetujuan dicapai antara ASEAN dan China berhubung pengwujudan kod kelakuan yang mana semua negara yang menuntut bersetuju membekukan sebarang tindakan ketenteraan di Spratlys. Mereka juga bersetuju untuk tidak membuat sebarang pendudukan terbaru. China seterusnya mengadakan kontrak cari gali dengan firma Amerika Crestone Energy Corp pada 1992, diikuti Vietnam pada 1994 mengadakan kontrak cari gali dengan Exxon di utara Pulau Natuna dan pada 1996, Vietnam mengadakan kontrak cari gali dengan firma minyak Amerika Conoco. Bagaimanapun, pada 1992, tentera Vietnam dan China bertempur yang mana China menduduki terumbu Da Lac yang dikuasai Vietnam. China, pula pada 1995, menduduki terumbu Mischief yang dituntut Filipina. Pertempuran ini menyebabkan kod damai yang dipersetujui di antara ASEAN dan China pada 1992 dipertikaikan. Sesebuah pulau atau terumbu itu dianggap diduduki apabila ada anggota tentera di atasnya atau ada rakyat sesebuah negara yang mendudukinya secara tetap. Selain itu, sesebuah negara itu dianggap menduduki sebuah pulau atau terumbu yang berada dalam jarak sembilan kilometer dari pulau yang didudukinya. Jumlah pendudukan setakat ini ialah tujuh bagi China, Filipina (9), Malaysia (5), Taiwan (1) dan Vietnam (21) pulau atau terumbu. Pada 2002, ASEAN dan China sekali lagi bersetuju di Phnom Penh untuk menyelesaikan isu Spratlys secara aman tanpa menggunakan kekerasan dan mengelakkan daripada membuat sebarang pendudukan baru. Kod kelakuan sebenarnya satu persefahaman saja kerana ia tidak mempunyai sebarang pegangan undang-undang. Situasi di Spratlys mengundang ‘campur tangan’ Amerika apabila Setiausaha Negara, Hillary Clinton pada 2010 menyatakan Amerika mempunyai kepentingan untuk menentukan kawasan Spratlys dalam keadaan aman. Pada sidang keselamatan Asia di Singapura tahun ini, Setiausaha Pertahanan Amerika, Robert Gates pula menyatakan rasa bimbang mengenai kedudukan di Spratlys masa kini. Ada tiga cara penyelesaian terbaik ketika ini. Pertama, mengantarabangsakan isu Spratlys menerusi satu debat dalam PBB, kedua, bersetuju supaya isu Spratlys dibawa ke Mahkamah Dunia dan ketiga mengadakan usaha cari gali bersama di kawasan Spratlys tanpa menghiraukan status kewilayahan atau kedaulatan.


Oleh Abdul Halim Saad

Penulis ialah pensyarah jemputan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...