terima kasih buat kalian semua..

Thursday, June 23, 2011

Ketaatan isteri mesti berpada !!!


APABILA ketaatan isteri menjadi debat yang panjang, penulis tertarik dengan pelbagai pandangan awam diutarakan, antaranya isteri harus membuktikan medan ranjang mereka tidak mampu ditawan sesiapa, melainkan mereka suami isteri. Ada yang yakin mengikut kata suami lambang ketaatan, sekali gus menafikan kepentingan syura dalam rumah tangga. Isteri kurang arif perintah agama menganggap setiap suruhan dan tindak tanduk suami adalah perintah Allah dan Rasul, hatta maksiat pun ditaati.
Setiap isteri akan cuba sedaya upaya menjadi isteri yang taat kerana mereka tidak mahu meredah jalan sukar menuju ke syurga. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan, mentaati suami dan menjaga kehormatannya, maka dikatakan padanya: Masuklah ke dalam syurga melalui pintu mana saja yang kamu kehendaki.” (Hadis riwayat Ahmad dan Thabrani)
Antara ketaatan isteri terhadap suami yang dimaksudkan hadis Rasulullah SAW ialah tidak berpuasa sunnah tanpa izin suami, tidak membenarkan tetamu memasuki rumah tanpa izin suami dan tidak berinfak harta tanpa izin suami. Ketaatan kepada suami tidak semudah yang dinyatakan semua orang. Ia bermula seawal kesediaan menjadi isteri. Ramai tidak mampu menunjukkan rasa hormat lantaran mereka tidak menganggap suami sebagai pemimpin rumah tangga yang fungsinya menyediakan ilmu, keperluan rohani dan jasmani kepada setiap ahli keluarga. Puncanya kerana suami tidak menjalankan tanggungjawab diamanahkan Allah sehingga menyebabkan isteri dan anak mengabaikan amanah masing-masing. Dalam Islam, isteri wajib taat selagi suami tidak melanggar perintah Allah dan Rasul. Memang setiap isteri salihah berusaha memberi layanan terbaik buat suaminya. Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Tidak dibolehkan seseorang sujud kepada sesama manusia. Jika dibolehkan sujud kepada sesama manusia, nescaya aku perintahkan isteri sujud kepada suaminya, kerana besarnya hak suami atas isterinya.” (Hadis riwayat Ahmad dan Bazzar) Hadis itu menekankan hak suami yang banyak membuatkan isteri wajib mentaati suami. Namun, hak itu hanya layak dituntut suami jika menunaikan tanggungjawab sebagai pelindung dalam rumah tangga. Hak dalam Islam hanya menjadi milik sah seseorang jika ia tidak mengabaikan tanggungjawab yang harus ditunaikan kepada orang lain. Prinsip sama terpakai dalam hubungan suami isteri dan perlu difahami dengan jujur, bukan hanya menjadikan perumpamaan perintah bersujud kepada suami sebagai alat memperdaya isteri. Jika suami tidak menunaikan tanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dan anak, isteri dibenarkan menggunakan harta suami tanpa pengetahuan dengan jumlah secukupnya dan dengan cara baik. Hal ini bukan bermakna isteri tidak taat, kerana apa dilakukan isteri sekadar mengambil haknya yang tidak ditunaikan suami dan dibenarkan Rasulullah SAW. Setiap isteri harus menjadi matang dalam menerajui rumah tangga. Tidak dapat dinafikan isteri yang bijaksana akan menyumbang kepada keharmonian rumah tangga bersama suami salih. Tetapi jika wanita bersuamikan orang yang tidak mematuhi syariat, ia tidak bermakna jalan keluar hanya perceraian. Isteri salihah akan membantu suami mencari cinta Ilahi, bersabar menyiram kasih mengikut panduan agama sehingga ia subur di halaman rumah tangga. Ibnul Jauzi, seorang faqih menukilkan kisah dalam kitabnya Ahkamun Nisa, mengenai lelaki salih, rajin berpuasa dan bersolat malam bernama Syu’aib bin Harb. Ketika menikahi seorang wanita, Syu’aib berkata kepada wanita itu beliau lelaki yang buruk akhlaknya. Dengan penuh santun, wanita itu menjawab, orang yang lebih buruk akhlaknya darimu ialah orang menjadikan akhlakmu seperti itu. Hanya dengan jawapan itu, Syu’aib menyedari wanita bakal dinikahinya ialah wanita matang dan bijaksana. Justeru, beliau yakin wanita itu layak mendampinginya. Kisah itu menunjukkan wanita cenderung mentaati suami mempunyai minda cemerlang dan tidak menjadikan masalah dalam rumah tangga sebagai sebab berselisih faham, sebaliknya menekuni kekeruhan dengan bijaksana.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...