terima kasih buat kalian semua..

Thursday, June 23, 2011

Nasihat berjimat menjelang Ramadan.....


HANYA lebih kurang sebulan lagi umat Islam di seluruh dunia akan mengerjakan ibadah yang ketiga daripada Rukun Islam yang lima iaitu berpuasa di bulan Ramadan yang penuh dengan berakah.

Pada bulan itu pintu langit akan dibuka seluas-luasnya bagi memberi peluang kepada hamba-hamba Allah untuk memohon ampun dan memanjatkan doa masing-masing serta mencari pahala sebanyak mungkin dan keredaan-Nya untuk bekalan di akhirat kelak.

Tujuan puasa adalah untuk mendidik hati dan jiwa serta mengawal nafsu sebaik yang mungkin dan dalam masa yang sama adalah untuk mengabdikan diri kepada Maha Yang Esa serta akan merasa insaf tetapi nampaknya di bulan-bulan puasa pada tahun-tahun berlalu umat Islam di negara ini lebih mementingkan apa hidangan yang lazat-lazat untuk dijamah, persediaan berbuka dengan lauk pauk berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan yang lain.

Setiap tahun harga ikan, udang, sotong, ketam, kelapa, gula dan sayuran akan naik dengan mendadak hanya kerana permintaan bahan-bahan mentah itu terlalu tinggi atas kehendak umat Islam itu sendiri.

Kalau sekarang harga ikan kembung mencecah RM12 sekilogram dan sotong, udang serta ketam telah mencecah RM20 bagaimana nanti di musim bulan Ramadan? Bagaimana pula harga daging dan ayam di masa itu?

Wang RM50 di tangan kini hanya mampu membeli dua atau tiga jenis bahan makanan apabila kita pergi ke pasar dan itu pun kalau mempunyai ahli keluarga yang kecil sahaja.

Oleh yang demikian mahu atau tidak mahu di bulan Ramadan ini kita hendaklah berbelanja mengikut kemampuan dan jangan terlalu boros kerana Hari Raya Aidilfitri pula akan menjelma untuk kita membuat persediaan dan jangan lupa tidak lama selepas itu persediaan akhir tahun pula menanti untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak sudah pasti menunggu.

Ibu bapa yang bertanggungjawab tidak akan membazir sewenang-wenangnya dan nasihat saya lagi jauhi daripada hutang sekadar untuk membeli peralatan atau hiasan rumah kerana potongan gaji bulanan dengan harga yang dikenakan berlipat kali ganda.

Adalah lebih bijak jika kita kumpulkan duit sebelum membelinya dengan harga tunai.

Entah apa sebabnya umat Islam di negara kita ini begitu unik sekali kalau di negara lain mereka sambut Hari Raya Aidilfitri hanya sehari atau dua hari tetapi mengapa kita sampai sebulan?

Walau apapun yang sebenarnya kita telah tersimpang jauh daripada makna berpuasa itu sendiri sekiranya sikap boros dan berbelanja ikut nafsu tidak dikekang sebagaimana yang dituntut oleh agama.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAILAmpangan Seremban

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...