terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, June 15, 2011

Pendarahan ketika mengandung...adakah berisiko??


BAKAL ibu mana yang tidak terkejut, berdebar dan risau apabila mengalami pendarahan vagina setelah mereka disahkan mengandung?

Pasti perkara negatif sahaja yang bermain di fikiran ketika itu. "Adakah aku mengalami keguguran?"

Ketika itu mereka mula kalut memikirkan apa yang telah dimakan atau pernah membuat sesuatu sehingga mengakibatkan pendarahan.

Pakar perbidanan dari Pusat Perubatan Taman Desa, Dr. Ng Choon Keat berkata, bakal ibu terbabit tidak sepatutnya panik.

Sebaliknya mereka yang mengalami pendarahan ketika peringkat trimester perlu segera ke hospital untuk memastikan keadaan sebenar.

Katanya, ibu-ibu juga perlu tahu pendarahan vagina bukanlah disebabkan apa dimakan atau apa yang telah lakukan.

"Untuk pengetahuan ibu-ibu, pendarahan di vagina ketika tiga bulan pertama kandungan adalah normal. Peratusannya di negara ini adalah lebih kurang 30 hingga 40 peratus kes sahaja," jelasnya yang ditemui di kliniknya di Taman Desa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr. Choon Keat berkata, memang tidak dinafikan semua bakal ibu akan berasa takut, panik dan soalan pertama yang keluar dari mulut mereka kepada doktor ialah adakah 'gugur atau tidak'.

Sudah pasti doktor akan melakukan pemeriksaan teliti. Ia dinilai dari jumlah pendarahan sama ada banyak darah turun atau tidak.

"Ujian pertama yang akan dilakukan ialah ultrabunyi. Dari situ doktor akan melihat sama ada kandungan berada di dalam atau di luar rahim," katanya.

Pentingnya ultrabunyi ialah untuk melihat sama ada kandungan masih bernyawa atau tidak.

Selepas didiagnosis, kalau ada denyutan jantung bayi bermakna 90 peratus kandungan tersebut akan berjaya hingga dilahirkan. Bakal ibu tidak perlu risau kerana darah itu hanyalah darah biasa yang akan turun sedikit menerusi vagina.

Bagaimanapun rawatan sebenar untuk pendarahan vagina ketika awal kandungan bergantung kepada diagnosis lengkap.

"Adakalanya pendarahan vagina boleh dikaitkan dengan kandungan molar atau kandungan anggur.

"Pendarahan juga boleh disebabkan oleh perkara lain seperti ada ketumbuhan di vagina, jangkitan kulat, kuman dan sebagainya. Tetapi darah yang keluar bukanlah dalam kuantiti yang banyak," jelasnya.

Menurut Dr. Choon Keat, kandungan yang gugur pula biasanya bukanlah satu kandungan yang sempurna dari segi genetik dan fizikalnya.

"Mungkin ia tidak sempurna maka sebab itulah ia tidak mampu bertahan.

"Jika dalam kes tersebut keguguran akan diperiksa sama ada keguguran penuh atau separa. Kalau penuh tidak perlu prosedur, tapi kalau tidak penuh perlukan prosedur seperti D&C," jelasnya yang memberitahu punca pendarahan tersebut sebenarnya memang belum dapat dipastikan.

Dr. Choon Keat juga menambah bahawa kes pendarahan atau keguguran kebanyakannya tidak berulang. Malah untuk kandungan kedua berjaya juga adalah lebih tinggi.

Rawatan kes pendarahan

Pertama sekali bakal ibu perlu kuat dari segi mental kerana itu sudah cukup untuk memberikan semangat agar kandungan tersebut berjaya hingga kelahiran.

Jika diagnosis menunjukkan bayi masih bernyawa, ibu dikehendaki memakan ubat dari jenis oral progestrogen untuk menguatkan kandungan.

"Untuk sesetengah kes, pendarahan itu adalah disebabkan perubahan hormon pada wanita baru mengandung sahaja, jadi tidak perlu risau.

"Sebaiknya jika ia berlaku pada anda, segera berjumpa doktor untuk diagnosis. Pertama kita perlu memastikan ia bukan kandungan ektopik (luar rahim) yang mengancam nyawa, kedua jangan lah sesekali seseorang ibu itu menyalahkan dirinya sendiri," katanya.

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...