terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, June 21, 2011

Sijil halal: Kerajaan perlu tegas !!


PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut dan merasa bimbang dengan pendedahan mengenai pelbagai produk makanan yang digunakan dengan meluas oleh umat Islam mengandungi DNA babi.

Terbaru pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendedahkan keputusan oleh Jabatan Kimia Malaysia yang menguji sampel produk HP Sauce dan Tabasco Pepper Sauce mengesahkan terdapat asid deoksiribonukleik (DNA) babi di dalamnya.

Laporan akhbar hari ini menyatakan semua pemegang dan pemohon baru Sijil Halal Malaysia yang menggunakan produk HP Sauce dan Tabasco Pepper Sauce diarah menukarkannya kepada produk lain yang memiliki sijil halal berikutan penemuan DNA babi dalam produk berkenaan.

Bagi umat Islam, sebarang isu yang berkaitan persoalan halal dan haram perlu diambil serius kerana ia sesuatu yang amat sensitif kepada mereka.

CAP juga menggesa pihak berkuasa bertindak tegas dengan menguji sampel produk berkaitan dengan sos selain daripada jenama berkenaan memandangkan begitu banyak sos yang dikeluarkan dalam negara atau pun dari luar negara.

Perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana sos digunakan di dalam banyak bahan masakan di rumah dan juga di kedai, restoran dan gerai-gerai makanan terutamanya dalam makanan ala Barat.

Melalui pembangunan teknologi makanan, pemprosesan makanan menjadi semakin kompleks dan pengguna juga mempunyai pelbagai makanan yang diproses untuk dipilih dan keadaan inilah yang mendedahkan pengguna kepada pelbagai jenis makanan yang mungkin mengandungi bahan Haram.

Oleh itu, CAP menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) supaya menarik balik dengan segera penjualan dua produk itu yang dijual di Malaysia.

CAP menggesa rakyat Malaysia supaya berhati-hati dan menghentikan segera pengambilan sos sehingga kandungannya disahkan halal oleh JAKIM.

Pengguna juga perlu mengelak daripada mengambil produk Chicken Burger Patties dan Chicken Taiwan Sausage kerana Sijil Pengesahan Halal telah ditarik balik.

Sehubungan itu, KPDNKK mestilah dengan segera mengambil tindakan untuk menarik balik sepenuhnya produk itu dari pasaran kerana ia sesuatu yang serius dan memerlukan tindakan segera.

S. M. MOHAMED IDRIS

Presiden Persatuan

Pengguna Pulau Pinang

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...