terima kasih buat kalian semua..

Thursday, June 2, 2011

Teliti semula kaedah pengambilan PLKN..


Saya agak terkilan dengan kaedah tindakan yang dikenakan kepada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dikatakan 'ingkar' untuk hadir mengikuti program berkenaan.

PLKN sejak mula diperkenalkan pada tahun 2004, membuat pengambilan pelatihnya secara rawak dan menerima pelatih yang memohon secara sukarela. Ramai pelajar lepasan Tingkatan 5 yang berusia 18 tahun ke atas telah terpilih untuk mengikuti program ini, dan setakat ini dilaporkan lebih kurang 9,000 orang yang terpilih, namun gagal untuk hadir menyertainya.

Tindakan kepada pelatih yang ingkar ialah mereka terpaksa membuat kerja amal selama 240 jam yang akan dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Bukan itu sahaja, setelah selesai kerja amal, mereka tetap dikehendaki mengikuti PLKN selama 3 bulan.

Penangguhan mengikuti PLKN dibenarkan sekiranya pelajar ditawarkan melanjutkan pelajaran. Bagi pelatih yang lambat memasuki alam persekolahan, ada di antara mereka ditawarkan memasuki PLKN ketika mereka masih belajar dalam Tingkatan 5. Kumpulan ini ada juga yang terus ditawar melanjutkan pelajaran setelah tamat Tingkatan 5.

Apa yang menyedihkan, setelah tamat pengajian diploma, ijazah atau sarjana muda dan terus ditawarkan pekerjaan, ramai 'pelatih' ini dibayangi dengan panggilan dan paksaan untuk mengikuti PLKN. Bagi yang telah menjawat tugas sebagai kakitangan awam, mereka perlu memohon cuti tanpa gaji selama 3 bulan (jika dibenarkan), dan bagi yang bekerja di sektor swasta, cuti selama 3 bulan sudah pasti memaksa mereka meletak jawatan kerana dipaksa mengikuti PLKN.

Di manakah letaknya keberkesanan pelaksanaan dan pemilihan peserta PLKN apabila generasi muda yang baru mula bekerja dan bersemangat tinggi namun dipaksa untuk mengikuti PLKN, sedangkan ramai yang 'bertuah tidak terpilih' mengikuti PLKN menjadi penganggur dan mat rempit?

Adalah diharapkan agar kerajaan meneliti semula kaedah pengambilan pelajar PLKN serta tindakan ke atas pelatih yang 'ingkar'. Sekurang-kurangnya pelatih yang gagal menghadiri PLKN sekiranya terbukti disebabkan mereka melanjutkan pelajaran dan telah pun bekerjaya, boleh diberi pengecualian.

Apa gunanya terpaksa berhenti kerja untuk mengikuti PLKN di mana sijil yang diperoleh belum tentu menjamin peluang pekerjaan di luar? Keadaannya tidak sama seperti peminjam PTPTN yang ingkar membayar balik pinjaman, di mana tindakan menyenarai hitamkan mereka sememangnya betul.

Pelatih PLKN pula dipilih secara rawak. Mereka yang terpilih, sebahagiannya bukan ingkar tetapi mempunyai pilihan untuk belajar dan berkerjaya.

PUAN DERBIE,
Kuching, Sarawak

1 comment:

  1. Sebenarnya saya salah seorang pelatih yang terpaksa menangguh PLKN atas sebab belajar STPM. Sekarang saya sudah habis belajar STPM, namun saya sudah tidak berniat lagi balik menjalani program itu. Bukan sebab saya takut atau malas, tapi saya berasa dalam masa 3 bulan tersebut, saya boleh membuat perkara yang lebih bermanfaat. Saya juga banyak dengar senior-senior yang tidak peduli untuk pergi PLKN masih tidak dipanggil balik, adakah anda pernah dengar perkara macam ini?
    -Doggy

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...