terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, June 15, 2011

Terima kasih Khairul, Azman dan syabas Balai Polis Seri Kembangan..


PADA 9 Jun 2011, saya ke Balai Polis Seri Kembangan untuk mendapatkan bantuan daripada pihak polis. Ketika itu sudah hampir pukul dua pagi.

Sebuah kereta peronda polis dengan dua orang pegawai iaitu Khairul dan Azman di dalamnya menemani saya ke Puncak Jalil. Tujuannya adalah untuk memastikan keselamatan saya tidak terancam apabila menguruskan satu masalah keluarga.

Kenderaan polis itu dipandu dengan perlahan atas permintaan saya disebabkan keuzuran kereta dan usia yang meningkat. Saya juga tidak biasa dengan kawasan itu.

Dua orang penghuni di sebuah rumah dihubungi melalui telefon untuk keluar dari rumah. Dengan kebijaksanaan dua orang pegawai polis itu, kemusykilan itu dapat diselesaikan dengan baik tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Jam ketika itu menunjukkan hampir pukul empat pagi.

Namun begitu, dua orang pegawai polis itu sanggup menghabiskan masa yang agak lama untuk berbincang dan memberi nasihat serta tunjuk ajar yang berguna kepada saya untuk tindakan susulan kelak.

Mungkin disebabkan terlalu terharu dengan jasa baik dua orang pegawai polis itu, tiba-tiba saya menghulurkan RM40 kepada mereka, RM20 untuk setiap seorang, untuk 'minum kopi' kononnya.

Di luar sangkaan saya, kedua-dua pegawai polis itu menolak dengan serius. Selepas beberapa kali menghulurkan wang tersebut, Khairul pun menghalakan jari telunjuknya ke atas sambil berkata bahawa beliau berkhidmat untuk Maha Kuasa di atas.

Pemberian berupa wang secara ikhlas itu telah ditolak bulat-bulat oleh Khairul dan Azman.

Sebagai seorang bekas pendidik, saya berasa amat malu ke atas perbuatan saya itu. Terbukti ada sesuatu nilai murni yang tidak ada pada diri saya.

Terima kasih Khairul dan Azman.

Maafkan saya dan syabas kepada Balai Polis Seri Kembangan yang mendapat perkhidmatan kedua-dua pegawai polis yang berhemah tinggi itu. Ramai lagi insan kerdil yang perlu belajar daripada kamu berdua. Moga-moga banyak pahala yang akan disusuli kelak.

HSU KON POH
Taman Salak Selatan, Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...