terima kasih buat kalian semua..

Friday, July 22, 2011

Akibat berjoli dengan wang PTPTN.. Akhirnya ditangkap khalwat !!!


AYU (bukan nama sebenar) memang anak yang pintar malah sejak sekolah rendah lagi sudah menampakkan potensinya dalam pelajaran.

Justeru tidak hairanlah apabila permohonannya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti sebaik memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diterima.

Selain mahu memenuhi cita-cita, bagi Ayu melanjutkan pelajaran adalah tiket untuk hidup lebih bebas setelah selama ini segala pergerakan sentiasa dipantau keluarga.

Jauh dari ibu bapa membuatkan 'langkah' Ayu tambah panjang apatah lagi apabila memperoleh wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) .

Selepas melunaskan segala perbelanjaan seperti yuran, sewa rumah dan membeli buku rujukan, wang selebihnya digunakan untuk keperluan peribadi termasuk berhibur.

Bukan Ayu seorang, malah kebanyakan rakan-rakannya juga berbuat demikian.

Pada semester baru ini sebaik menerima wang PTPTN, Ayu dan beberapa rakan lain merancang untuk bersuka ria di Genting Highland.

Rancangan asal Ayu mereka pergi berenam iaitu tiga lelaki dan tiga perempuan.

Kesemua mereka bukanlah pasangan kekasih tetapi sekadar rakan sekuliah yang rapat dan apa jua yang dilakukan pasti bersama.

Apabila tiba hari yang dijanjikan, rancangan asal Ayu terpaksa bertukar kerana hanya Midi (bukan nama sebenar) yang muncul kerana rakan-rakan lain mempunyai hal.

Oleh kerana perancangan sudah dibuat dan Ayu terlalu ingin bercuti di Genting Highland dia membuat keputusan meneruskan rancangan asalnya bersama Midi.

Leka mencuba segala permainan di Genting Highland kedua-dua remaja itu terlewat turun dari pusat peranginan terkenal itu.

Memandangkan ketika itu masing-masing masih lagi bercuti, Ayu mencadangkan mereka bersiar-siar dulu di ibu kota dan kedua-duanya mengambil keputusan untuk bermalam di sebuah hotel murah dekat Petaling Jaya, Selangor.

Dan kerana ingin menjimatkan kos, mereka menyewa sebuah bilik sahaja.

Malang tidak berbau, walaupun bukan pasangan kekasih mereka berdua telah ditangkap berkhalwat dalam satu serbuan pencegahan maksiat oleh Jabatan Agama Islam.

Walaupun ketika ditangkap masing-masing lengkap berpakaian dan mendakwa tidak melakukan apa-apa, Midi dan Ayu tetap dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan berkhalwat.

Pertuduhan ke atas Midi yang dibacakan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya menyebut bahawa pada tarikh berkenaan di bilik sebuah premis hotel di Subang Jaya, dia dituduh berkhalwat dengan wanita bernama Ayu yang bukan isteri atau mahramnya yang sah dan dalam keadaan yang menimbulkan syak melakukan perbuatan tidak bermoral.

Maka dengan itu kedua-dua mereka dituduh melakukan kesalahan berkhalwat di bawah Seksyen 29 (1) (a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor, No 9 Tahun 1995.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen dan Enakmen yang sama.

Memandangkan mereka masih lagi belajar dan bagi menjaga kebajikan mereka yang berstatus pelajar, kesalahan tidak disabitkan. Sebaliknya hakim telah memerintahkan Ayu dan Midi menjalani hukuman pemulihan akhlak selama tiga bulan di salah sebuah pusat pemulihan akhlak di ibu negara.

Disebabkan tidak berpuas hati dengan perintah Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling itu, kedua-dua mereka telah melantik peguam untuk membuat penggantungan hukuman yang dijatuhkan dengan alasan mereka perlu menghadiri kelas dan takut sekiranya mereka dibuang dari pusat pengajian.

Notis rayuan telah dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam mengikut Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor).

Bagaimanapun, hakim telah menolak rayuan mereka dengan hujah, status pelajar mereka tidak akan terbatal dan alasan yang diberikan juga tidak kukuh.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah seterusnya memerintahkan mereka menjalani hukuman yang diperintahkan sebelum ini.

"Hukuman tersebut perlu untuk memberi pengajaran dan pendidikan kepada anda berdua serta jangan memandang remeh isu-isu khalwat seperti ini," kata hakim.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...