terima kasih buat kalian semua..

Monday, July 25, 2011

Celaru jantina semakin menular...


SEJAK zaman awal para nabi lagi, telah diceritakan tentang manusia yang suka melakukan hubungan sesama jenis (jantina). Hakikatnya, gejala itu tidak pernah pudar walaupun selepas kaum Nabi Lut dimusnahkan.

Golongan gay, lesbian, pondan, mak nyah, pengkid dan bermacam-macam lagi gelaran untuk ‘cinta’ sejenis ini semakin menular berikutan menyalin budaya kuning Barat yang menghalalkan apa sahaja amalan kononnya atas dasar hak ‘peribadi individu’ dan ‘hak asasi manusia’.

Malaysia juga tidak terkecuali daripada menghadapi gejala sedemikian sama ada melalui pengaruh media Barat, kawan yang ‘terlalu kebaratan’ ataupun berikutan masalah psikologi dan hormon.

Gejala kecelaruan jantina di negara ini dikesan semakin ketara sejak era disko dan hippies di Amerika Syarikat (AS) sekitar 1970-an lagi tetapi paling nyata sejak awal 1990-an.

Antara kemuncaknya adalah perkahwinan dua wanita pada 1990-an yang mana keluarga pengantin perempuan dikatakan ditipu ‘pengantin lelaki’.

Wanita yang menyamar sebagai pengantin lelaki itu bukan sahaja berjaya mengaburi mata para hadirin dan tok kadi sendiri malah, didakwa menggunakan alat kemaluan tiruan pada malam pertama bersama ‘isteri’.

Wanita yang menyamar itu akhirnya tertangkap dan kemudian dihantar untuk menjalani pemulihan psikologi serta diberi pendidikan agama.

Dengan liputan meluas media terhadap kisah golongan celaru jantina ini, semakin banyak kes dibongkar kepada umum, sama ada cinta antara lelaki atau sesama wanita.

Selang ke abad baru, satu lagi kes menarik perhatian rakyat dan dunia berlaku iaitu apabila Mohammed Fazdil Min Bahari atau lebih dikenali sebagai Fatine, 36, mengahwini seorang warga Britain, Ian Young, 30, pada penghujung 2009.

Walaupun perhatian umat Islam lebih tertumpu kepada pegangan agama Fatine yang berkahwin secara sivil dengan Young, dunia hanya melihat kepada kebimbangan mak nyah itu dikenakan tindakan jika dihantar pulang ke Malaysia.

Fatine yang mengambil hormon wanita sejak berumur 17 tahun akhirnya meninggalkan ‘suaminya’ itu pada April lalu atas alasan kecewa kerana tidak dilayan dengan baik sementara Young mendakwa ditinggalkan selepas menghabiskan 12,000 pound sterling (RM60,000) untuk membolehkan pasangannya itu tinggal di United Kingdom.

Berbanding Fatine yang tidak menjalani pembedahan menukar jantina, kes membabitkan Mohd. Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 25, lebih unik kerana ia bukan sahaja melibatkan penukaran jantina tetapi juga memohon untuk menukar nama secara rasmi pada MyKad di mahkamah.

Selepas hampir dua tahun hidup dengan ‘alat kelamin baru’, permohonannya untuk menukar nama kepada Aleesha Farhana Abd. Aziz ditolak Mahkamah Tinggi Terengganu awal minggu ini.

Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa membuat keputusan itu setelah mendapati pemohon tidak menepati empat faktor yang menyokong permohonan berkenaan iaitu kromosom, kewujudan alat kelamin wanita, kewujudan organ dalaman wanita serta memiliki fizikal atau psikologi seorang wanita.

Sebaliknya, Mohd. Ashraf Hafiz dikatakan hanya memiliki satu daripada empat faktor itu iaitu fizikal dan psikologi seorang wanita sementara hakim turut bersetuju dengan hujahan bahawa permohonan tersebut tidak wajar diluluskan kerana pemohon bukanlah wanita tulen.

Tambahan pula, kata hakim, tiada peruntukan undang-undang negara ini yang membenarkan mana-mana pemohon untuk menukar atau mengubah status gender seks mereka dalam MyKad atau dokumen pengenalan diri yang lain.

Mohd. Ashraf Hafiz melakukan pembedahan menukar jantina di Thailand pada 2009 setelah disahkan layak dari segi psikologi oleh Pusat Perubatan Pantai (PMC).

Laporan akhbar sebelum ini melaporkan Mohd. Ashraf Hafiz berhasrat menukar nama bagi memudahkannya diterima masuk ke universiti tempatan untuk menyambung pelajaran sementara peguamnya, Horley Isaacs mendakwa anak guamnya itu mendapat sokongan penuh daripada ibu bapanya untuk berbuat demikian.

Mohd. Ashraf Hafiz yang tidak hadir pada hari penghakiman sebelum itu, hadir pada 25 Mei lalu dengan berbaju kurung merah putih dan bertudung merah jambu ketika penetapan tarikh.

Hakikatnya, masalah kecelaruan jantina bukan sesuatu yang baru di Malaysia dan masalah ini dilihat tidak akan hilang begitu sahaja.

Bilangan kes nyata semakin meningkat dengan beberapa kajian di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) juga menunjukkan ‘pelapis’ golongan itu semakin ramai dengan rata-rata daripada mereka adalah terdiri daripada anak-anak Melayu.

Walaupun tiada peruntukan undang-undang yang wujud ketika ini dapat mengekang gaya hidup songsang itu, namun kerajaan telah menegaskan negara ini tidak mengiktiraf hak individu yang menukar jantina termasuk perkahwinan sejenis.

Oleh NURUL ANUAR KARI

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...