terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, July 12, 2011

Halal: Buat pemeriksaan mengejut !!!


SEBAGAI seorang Islam, saya tertarik dan bertanggungjawab untuk mengemukakan permasalahan mengenai kualiti pembekalan produk-produk halal oleh pihak industri yang selama ini dipantau oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Saya amat mengharapkan keperihatinan pihak Jakim untuk lebih kerap membuat pemeriksaan mengejut ke kilang-kilang atau ke premis-premis perniagaan produk-produk halal, terutamanya dalam industri pembekalan, pemprosesan, penyediaan dan pusat-pusat penyembelihan ayam/daging halal.

Ini kerana terdapat beberapa pusat-pusat penyembelihan ayam/daging halal ini diragui produk keluaran halalnya kerana rata-rata pemilik premis ini merupakan mereka yang bukan beragama Islam.

Malah daripada segi pemahaman mereka mengenai konsep makanan halal adalah terbatas kepada makanan yang selain daripada daging khinzir sahaja.

Ini berbeza dengan konsep makanan halal yang diajarkan oleh Islam iaitu makanan halal meliputi daripada segi penyembelihan, cara penyediaan dan kebersihan kualiti produk yang dihasilkan yang mengikut syariat Islam. Malah ada diantara mereka yang menggunakan khidmat pekerja asing untuk dijadikan sebagai tukang penyembelih.

Oleh itu, pemahaman dan penerangan seumpama ini perlu diberikan oleh pihak Jakim kepada mereka agar kefahaman terperinci mengenai konsep makanan halal mengikut syariat Islam terus terpelihara. Orang ramai pula dapat menikmati produk makanan halal tanpa rasa ragu-ragu.

Oleh itu pemantauan yang beterusan oleh pihak Jakim secara mengejut amat diperlukan bagi menjamim kualiti produk makanan halal yang berterusan.

Diharapkan isu ini dapat membuka mata pelbagai pihak agar dapat diperhalusi secara bijaksana dan tidak dipandang secara sinikal.

Saya mengharapkan tindakan sewajarnya daripada pihak Jakim mengenai isu yang dibangkitkan ini agar masyarakat Islam di Malaysia tidak disajikan dengan produk-produk yang diragui status halalnya.

PENGGUNA PRIHATIN
Klang, Selangor

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...