terima kasih buat kalian semua..

Saturday, July 23, 2011

Inilah yang dikatakan "hidayah" dari Allah...: Tinggalkan keluarga, budaya demi Islam..


MASYARAKAT Islam di Hungary dianggarkan lebih 60,000 orang. Kira-kira 0.6 peratus daripada jumlah penduduk di negara tersebut.

Namun kini, Islam merupakan agama paling cepat berkembang di Hungary. Sebenarnya, orang Islam telah lama bertapak di Hungary iaitu sejak tibanya mereka dari Magyar ke Eropah khususnya dalam pemerintahan Uthmaniyyah

Salah satu kisah penghijrahan akidah rakyat Hungary cuba diselongkar menerusi pengakuan yang dibuat oleh seorang gadis yang hanya menamakan dirinya Aysha.

Sama-samalah kita ikuti kisah bagaimana Aysha menemui hidayah Ilahi, kira-kira setahun setengah yang lalu dan bagaimana dia berjaya memperbaiki hubungannya dengan ibu dan bapanya disebabkan berbeza agama.

"Nama saya Aysha dan saya berasal dari utara, Hungary. Pertama kali saya mendengar tentang Islam ketika di peringkat sekolah menengah melalui matapelajaran sejarah. Menerusi kelas tersebut, barulah saya tahu bahawa Hungary pernah berada di bawah jajahan Khalifah Uthmaniah selama 150 tahun.

"Apabila menyambung pengajian ke peringkat universiti, minat saya terhadap Islam semakin memuncak. Di sinilah saya bertemu dengan lebih ramai pelajar Muslim antarabangsa. Pada ketika itu, saya mengambil pengajian biologi molekul.

"Sepanjang perkenalan dengan teman-teman yang beragama Islam itu, apa yang kerap bermain di minda saya ialah sikap bermegah-megah umat Islam dengan agama kepercayaan mereka. Apa hebatnya agama Islam sehingga ia mempunyai pengikut di seluruh dunia dan bilangannya semakin bertambah dari sehari ke sehari?

"Sebagai seorang penganut Kristian yang boleh dikatakan setia, jauh di sudut hati masih wujud sedikit kemusykilan mengenai ajaran agama Kristian itu.

"Boleh dikatakan hubungan saya dengan teman-teman baru yang beragama Islam semakin erat.

"Sejak itu saya selalu berbicara dengan mereka dan pernah suatu ketika, sedang kami sedang rancak berbual, tiba-tiba laungan azan bergema.

"Salah seorang teman yang bukan Islam yang ada dalam kumpulan tersebut meminta ia diberhentikan, tetapi saya menolak. Sungguhpun tidak mengetahui akan maksudnya, tetapi hati saya begitu tersentuh dan semacam ada satu tarikan dan ketenangan di sebaliknya.

"Peliknya, saya sendiri tidak memahami mengapa pada cuti musim panas saya telah memuat turun satu program al-Quran. Saya mendengarkan bacaan al-Quran dalam bahasa Arab. Pada masa yang sama membaca terjemahannya dalam bahasa Inggeris. Sejak itu saya semakin serius memikirkan tentang Islam dan mula membaca daripada pelbagai sumber ilmu.

"Selepas dua bulan memikirkannya, akhirnya saya memutuskan untuk memeluk Islam. Saya mengucapkan syahadah di hadapan dua sahabat Muslim. "

"Saya sendiri tidak menyangka bahawa pengislaman yang dilakukan itu seiring dengan sambutan bulan penuh keberkatan bagi umat Islam iaitu, Ramadan al Mubarak.

"Saya bertekad menjadikan bulan mulia itu sebagai permulaan penuh bermakna dalam diari baru bergelar Muslim.

"Alhamdulillah, saya berjaya mengharungi sebulan tersebut dengan sabar dan tawaduk. Walaupun berjaya berpuasa, cabaran mendirikan solat lima waktu memang besar ujiannya buat saya. Apatah lagi, orang di sekeliling saya tidak ramai yang mengamalkan Islam.

"Pada saat itu, pelbagai ketakutan bermain di benak saya. Bagaimana kalau sehingga kini saya masih belum menguasai bukan sahaja dari segi praktikal solat dan bacaan-bacaan dalam bahasa Arabnya? Bagaimana sekiranya selama ini saya melakukan kesalahan yang tidak saya sedari?

"Bagaimana pula dengan diri saya yang masih belum ada bertudung kepala dan tidak memiliki sejadah? Semua itu menjadikan diri saya kelam kabut dan resah gelisah.

"Lantas tidak mahu terus jahil, akhirnya saya belajar solat dan berwuduk menerusi Internet.

"Namun, sebaik melakukan solat, semua keresahan dan ketakutan yang mencengkam diri saya terlerai satu persatu.

"Saya sentiasa memujuk diri mengatakan, saya cuba melakukan yang terbaik dan semoga Allah menerimanya. Sekiranya berlaku kesalahan, semoga diberi petunjuk oleh-Nya.

"Pada masa yang sama, saya mula mengumpul lebih ramai kenalan menerusi laman sosial Facebook. Sedikit sebanyak saya memperoleh kumpulan sokongan yang terdiri daripada lelaki dan wanita Muslim yang sentiasa menghulur bantuan, perhatian, kasih sayang dan tunjuk ajar, waima kami berhubung menerusi maya sahaja.

"Tidak lama kemudian, saya berkenalan dengan seorang lelaki Muslim yang menghadiahkan sehelai tudung, sejadah dan buku-buku Islam. Di samping itu, pertama kali dalam hidup ini, saya menerima senaskah al-Quran dalam bahasa Arab dari Jordan yang dihantar melalui kiriman pos.

"Alhamdulillah, sekarang sudah lebih setahun saya memakai hijab," katanya

Susunan ZUARIDA MOHYIN

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...