terima kasih buat kalian semua..

Sunday, July 17, 2011

Ipar bersorak isteri dicerai !!


SAYA tidak pernah menyesal bercerai walaupun setelah 20 tahun berkahwin, tetapi apa yang saya sedih permasalahan kami suami isteri turut diracuni oleh ipar duai yang suka mengadu domba, munafik, manis dibibir tetapi suka tikam belakang. Kerana itu nasihat saya kaum wanita hati-hati dengan ipar duai yang “mulut manis.”

‘‘Mereka gembira jika permintaan mereka dikabulkan dan hajat ditunaikan. Selepas dapat segalanya, dan terlepas daripada kesusahan, burukkan saya pada suami, dengan niat merobohkan rumahtangga saya,’’ cerita Mashanizan dalam e-melnya.

‘‘Namun saya bersyukur dan redha walaupun setelah menjadi ibu tunggal kini, saya masih boleh menguruskan sekolah anak-anak, keluarga, ke pasar di samping bekerja mencari rezeki yang halal. Saya percaya ada hikmah di sebalik perceraian kali kedua ini.

‘‘Dulu bila rujuk semula saya berdoa biarlah jodoh saya hingga ke akhir hayat, tapi siapa boleh melawan takdir. Cuma apa yang saya kesal perilaku ipar duai saya. Kalau dulu punca saya berpisah dengan abang mereka kerana orang ketiga, begitu juga sekarang, tetapi kali ini mereka suka kami bercerai malah sanggup jadi saksi di mahkamah syariah.

‘‘Memang saya minta cerai untuk kedua kalinya, kerana suami saya ada kekasih dan mereka berhajat nak kahwin. Kekasihnya merupakah isteri kedua dan teman sepejabatnya. Saya rela sebab tak ada gunanya mencintai suami yang tidak kasihkan kita, pelbagai alasan dicari mencabar kesabaran saya. Jadi daripada bertengkar lebih baik saya beri dia jalan mudah supaya boleh kahwin. Dan dia setuju.

‘‘Sepatutnya ketika bekas suami saya ada skandal, ipar duai main peranan nasihatkan abang atau adiknya, cari jalan tengah supaya skandal itu diputuskan dan kami boleh berbaik. Malangnya mereka menggalakan kami bercerai. Mereka langsung tidak kesiankan anak-anak saya, walaupun mereka tahu perangai abang mereka yang tak habis-habis buat skandal sejak mula saya kahwin lagi. Kekasihnya saling berganti.

‘‘Dulu dua tahun lepas kahwin dan dapat anak pertama bekas suami dah buat hal. Saya hampir sasau fikirkan nasib. Lepas bertaubat, tiga tahun kemudian lepas dapat anak kedua dia buat hal lagi, kali ini dengan kekasih lamanya. Selama tiga tahun saya terpaksa bergantung dengan ubat tidur bagi menenang jiwa dan fikiran. Nasib baik ada jodoh lagi.

‘‘Tetapi kali keempat selepas 12 tahun dia buat hal lagi saya dah tak boleh sabar. Dia bercinta dengan isteri orang. Saya nekad biarlah kami bercerai, mungkin hidupnya boleh bahagia. Peliknya ada ipar saya yang galakkan abangnya menceraikan saya, kata mereka saya punca abang mereka gila bercinta. Tetapi entah macam mana kami rujuk semula setelah bekas suami tersedar daripada kesilapannya.

‘‘Namun saya bersyukur lagi banyak saya berbelanja untuk anak-anak, berlipat ganda rezeki saya. Malah saya bantu mana-mana ipar yang kesempitan. Saya lakukan atas permintaan mereka. Tapi malangnya budi saya langsung tidak dihargai.

‘‘Pelik perangai bekas suami, dia cepat melenting bila bercakap pasal duit. Sedangkan saya tidak pernah meminta dia beli apa juga perabot dan keperluan dalam rumah. Semua saya beli sendiri. Tetapi dia ‘hot’ kalau saya beli keperluan dalam rumah tanpa beritahu dia dulu. Sedangkan dia sering tak ada di rumah macam mana nak tanya. Boleh dikatakan semua perabot rumah saya yang beli hasil titik peluh sendiri.

‘‘Isu ‘tak hormat suami ini’ dijaja merata-rata dan dijadikan alasan utama saya isteri engkar. Hinggakan mereka terlupa bahawa abang mereka tak pernah pedulikan makan minum anak-anak kerana asyik buat skandal yang menjadi isu utama kami bertengkar.

‘‘Kalaupun beli perabot rumah saya menjadi kesalahannya, tetapi mengapa tak jadi salah bila saya hadiahkan bekas ibu mertua dengan televisyen, peti sejuk, sofa, mesin basuh, dan barang kemas? Kenapa tak kata saya tak hormat suami, sedangkan bekas suami saya pun tak tahu apa yang saya hadiahkan pada emaknya. Jahatkah saya?

‘‘Berdosakah saya balik kampungnya jumpa ibunya setiap minggu dan beri duit belanja setiap bulan dari poket saya sendiri? Selain membeli pelbagai barangan keperluannya? Semuanya kerana bekas suami saya tak mahu keluar duit untuk ibunya.

‘‘Jahatkah saya menghadiahkan abang sulungnya dan keluarganya tiket kapal terbang dan melancong ke Langkawi atas perbelanjaan saya? Kerana mereka teringin naik kapal terbang. Salahkah saya membeli pakaian berjenama untuk anak-anak ipar saya selain memberi duit kepada anak buah yang hendak sambung belajar. Semua saya lakukan tanpa pengetahuan bekas suami saya, malah mereka berterima kasih pada saya.

‘‘Ketika saya beri pinjam wang untuk menebus tanah mertua yang dicagarkan ke bank tak ada sesiapa pun kata saya tak hormat suami, ketika itu mereka sesak tak ada duit, dan setelah tanah yang ditebus dijual hampir seratus ribu ringgit dan masing-masing menerima habuan tak ada siapa pun tuduh saya tak hormat suami? Tetapi setelah mereka senang baru timbul cerita tak hormat suami dan saya dijaja seperti isteri durhaka.

‘‘Sedihnya mereka gembira bila saya diceraikan. Malah tuduh bekas suami saya dayus kalau tak ceraikan saya. Sedangkan ketika susah mereka cari saya bukan bekas suami saya. Sikap mereka umpama peribahasa Melayu ‘lepas jambatan tongkat dibuang.’

‘‘Kepada Angah saya nak tanya tahukah makna dayus, sedangkan Angah sibuk bermasjidkan padang golf, berimamkan bola golf, belajar agama tak habis, tak pernah ke masjid, tapi tiba-tiba jadi ustaz. Sepatutnya Angah nasihatkan adik Angah itu jadi suami bertanggung jawab jangan gila buat skandal dengan isteri orang!

‘‘Kepada N cuba tanya diri sendiri siapa bayarkan bil hospital ketika anak N sakit? Begitu juga M cuba ingat siapa bawa M sekeluarga bercuti ke Cherating?

‘‘Kepada bekas suami, saya ingin bertanya tak adakah satu pun kebaikan telah saya lakukan untuk keluarga anda boleh anda kenangkan? Sesungguhnya perpisahan ini amat menyakitkan, namun ia indah buat saya kerana hikmahnya membuatkan saya dekat kepada Allah. Saya bersyukur setiap rezeki, nikmat, rahmat dan dugaan yang diberikanNya. Allah Amat Pengasih dan Penyayang.

‘‘Nasihat saya wahai wanita terutama kaum isteri semua berbuat baiklah kepada diri sendiri dan keluarga dahulu, sebelum dicurahkan kepada orang lain,’’ demikian nasihat Mashanizan

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...