terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, July 20, 2011

Kehadiran peminta sedekah cemar imej negara !!


FENOMENA peminta sedekah jalanan di simpang lampu isyarat dilihat semakin berleluasa sejak kebelakangan ini dan ia menampilkan imej negatif kepada negara kita yang aman dan makmur.

Terbaru pada 9 Julai lalu, ketika saya dan keluarga memberhentikan kenderaan di persimpangan di bawah jejantas Lebuhraya Persekutuan berdekatan kompleks belil belah Jusco Bukit Raja, Klang menghala ke Jalan Batu Tiga Lama, kami didatangi peminta sedekah yang mengetuk pintu kenderaan yang berhenti ketika lampu trafik bertukar kepada merah.
Peminta sedekah dalam lingkungan umur 60-an membawa sekeping gambar seorang yang uzur dan daif, merayu simpati kepada setiap pemandu yang berhenti dengan bahasa yang saya tidak faham.
Berdasarkan kepada pakaian dan perwatakan, kemungkinan mereka berasal dari negara Selatan Asia sama ada India, Pakistan, Afghanistan atau Bangladesh.

Terdapat tiga peminta sedekah menjalankan aktiviti pada ketika itu. Untuk pengetahuan, ini adalah kali pertama saya berada di persimpangan jalan terbabit.

Mungkin aktiviti ini sudah berjalan sekian lama, dari simpang ke simpang yang berlainan. Kami yakin aktiviti tidak beretika ini dianjurkan sindiket yang tidak bertanggungjawab yang rakus mengaut keuntungan secara haram.

Sindiket sebegini harus dibanteras segera kerana aktiviti mereka yang jijik dan memaparkan imej negatif negara kita di mata dunia sekiranya ada pelancong asing yang melihatnya.
Tambahan pula, individu yang menjalankan aktiviti ini sanggup membahayakan keselamatan nyawa mereka sendiri dengan berada di laluan yang sibuk boleh menyebabkan berlaku kemalangan.

Saya percaya, kebanyakan pemandu yang pernah mengalami situasi seperti ini berasa tidak selesa dan ini menyebabkan tumpuan mereka terganggu.

Adalah diharap pihak berkuasa terbabit dapat mengambil tindakan segera membanteras aktiviti ini daripada terus berleluasa dan merosakkan imej negara.
Dalang penganjur aktiviti tidak sihat ini perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya.

AHMAD ALI,
Seremban, Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...