terima kasih buat kalian semua..

Sunday, July 31, 2011

Kenyataan klise artis kita...


SEBENARNYA kalau kita kumpul semua kenyataan artis-artis kita di akhbar atau majalah, tak banyak kenyataan baru yang diperkatakan. Kebanyakannya klise, ulang yang entah berapa puluh kali artis lain katakan. Mereka ulang lagi sampai Siti boleh hafal kenyataan yang keluar dari mulut mereka. Mustahil artis-artis kita terkena sumpahan burung kakak tua yang suka mengajuk orang bercakap.

Siti pasti banyak yang setuju antara kenyataan klise paling banyak diulang ialah “tak mahu mengejar glamor.” Dah berpuluh malah beratus artis cakap kenyataan yang sama, tetap juga ada yang mengulangnya. Tapi kata saja tak nak mengejar glamor, yang dia selalu sangat dalam majalah dan surat khabar tu apa bendanya?.

Siti pasti kita semua selalu juga baca kenyataan, “Biarlah apa orang nak kata, yang penting niat.” Begitulah lebih kurang ayat-ayat yang di kitar semula oleh berpuluh artis sejak dulu hingga kini. Pesan Siti, janganlah cakap pasal niat. Orang bercakap tentang apa yang dipertontonkan kepada umum secara percuma. Kalau dah pakai macam bogel, niat baik apa ke bendanya? Kalau macam itu senanglah, bila polis tangkap perompak, dia cakap kepada polis, “Yang tuan tengok jahat saja tapi niat saya baik.”

Apabila ditawarkan berlakon, selalu sangat artis kita bagi kenyataan, “Saya hadapi cabaran besar sebab watak lakonan saya bukan seperti saya.” Ini satu kenyataan hampir sasau namanya. Kalau sudah dinamakan berlakon, mestilah melakon bukan dirinya sendiri. Tapi pelakon kita, berlakon watak bertentangan dengan dirinya adalah cabaran besar. Sebab itulah agaknya lakonan mereka macam batang pisang bergerak.

Kalau yang bercinta bertahun-tahun dan tambah tahun-tahun lagi, bila orang tanya kenapa tak kahwin, mereka pun keluarkan kenyataan klise, “Ala kami sibuk sangat, sampai tak ada masa nak fikir soal kahwin.” Tapi Siti dapat tau pada masa yang sama tak ada tawaran apa pun. Jadi peminat pun kagum teramat sangat dengan artis pujaan mereka. Punyalah banyak tawaran hingga nak kahwin pun tak sempat. Ini sebenarnya adalah cerita-cerita yang tak diceritakan.

Jangan lupa artis juga kerap menyebut perjuangan misalnya, “Kami terus memperjuangkan irama bla bla bla.” Sebenarnya tak perjuangkan apa-apa pun, syarikat rakaman yang tentukan lagu apa yang mereka kena menyanyi. Satu lagi yang Siti tak boleh terima, bila penyanyi menerbitkan album, mereka selalu kata, “Ini adalah hadiah kepada peminat yang menyokong saya selama ini.” Kelentonglah. Mana ada hadiah, mereka jual, mahal pula tu. Sejak bila penyanyi kita baik sangat nak bagi album percuma? Tapi itulah kenyataan klise yang diulang-ulang sejak dulu, kini dan mungkin selamanya.

Oleh Siti Jarum

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...